Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP saran SPRM siasat pegawai polis bantah IPCMC
Diterbitkan:  May 5, 2019 4:27 PM
Dikemaskini: 8:27 AM

Anggota Parlimen Kepong, Lim Lip Eng mencadangkan supaya pegawai polis yang membantah penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah laku Polis (IPCMC) disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau berkata kekayaan pegawai polis yang tidak sepadan dengan jawatan mereka mungkin menjadi kebimbangan kepada penubuhan IPCMC.

"Harus ada sebab mengapa mereka takut untuk menubuhkan IPCMC kerana mereka mempunyai alasan untuk takut bahawa mereka akan tertakluk kepada penyiasatan oleh IPCMC.

"Satu kes perlukan perhatian kamu ialah bekas pengarah CID (Jabatan Siasatan Jenayah), Wan Ahmad Najmuddin Mohd yang ada AS$320,000 dalam akaun bank Australia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lim berkata ketua polis negara yang baru, Abdul Hamid Bador boleh melaporkan pegawai-pegawai berkenaan kepada SPRM untuk siasatan menyeluruh bagi menentukan sama ada gaya hidup dan aset mereka sesuai dengan pendapatan mereka.

Beliau juga memuji sokongan Abdul Hamid terhadap IPCMC walaupun terdapat bantahan dari dalam pasukan polis sendiri.

Anggota Parlimen DAP juga meminta Abdul Hamid meneliti beberapa kes pembunuhan berprofil tinggi yang tidak dapat diselesaikan, termasuk kes Altantuyaa Shaariibuu, Teoh Beng Hock, Hussain Najadi, Kevin Morais dan "kehilangan paksa" Raymond Koh, Amri Che Mat, Joshua Hilmy dan Ruth Hilmy .

"Kontrak selama dua tahun sebagai IGP adalah pendek jika dibandingkan dengan dekad kerosakan yang dilakukan kepada sistem penguatkuasaan di bawah BN yang dilabel oleh Jabatan Keadilan AS sebagai 'kleptokrasi yang paling buruk'.

"Oleh itu, saya menggesa anda menggunakan sepenuhnya penggal anda dan menegakkan keadilan tanpa rasa takut demi negara kita yang dicintai dan generasi rakyat Malaysia akan datang," katanya.

Lihat Komen
ADS