Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Najib tandatangan perjanjian pinjaman tambahan RM2 bilion KWAP’
Diterbitkan:  May 6, 2019 11:36 AM
Dikemaskini: 7:30 AM

KES NAJIB l Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini dimaklumkan bahawa Najib Razak menandatangani menandatangani surat jaminan kerajaan Malaysia ke atas pembiayaan pinjaman Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) kepada SRC International berjumlah RM2 bilion bagi tempoh 10 tahun.

Perkara itu dinyatakan bekas Penolong Naib Presiden KWAP (Bahagian Pendapatan Tetap), Amirul Imran Ahmat, dalam keterangannya.

Saksi ke-29 pendakwaan itu berkata, Najib menandatangani surat tersebut selaku perdana menteri dan menteri kewangan ketika itu.

Dokumen perjanjian pinjaman itu, turut ditandatangani antara CEO KWAP pada masa itu, Azian Mohd Noh dan pengarah SRC International Suboh Md Yassin.

Amirul Imran Ahmat

Menurutnya, KWAP menerima resolusi daripada Lembaga Pengarah SRC International untuk mendapatkan pinjaman tambahan RM2 bilion pada 14 Mac 2012.

Amirul berkata pada 22 Mac 2012, beliau menerima e-mel dari Nik Faisal kepada Azian Nor bahawa Najib selaku perdana menteri dan menteri kewangan telah membuat keputusan mengenai pembiayaan tambahan RM2 bilion.

Saksi itu berkata, dia diarahkan oleh ketuanya ketika itu, Nor Hisyam untuk menyediakan 'surat pekeliling' atas pinjaman berkenaan.

"Ia adalah satu jumlah sekali gus, berdasarkan perbincangan dengan PM," kata Amirul.

Amirul berkata Najib adalah pengerusi lembaga penasihat 1MDB dalam kaitan kertas pelaburan panel yang disediakannya, berhubung pembiayaan tambahan berkenaan.

"Surat ini turut memohon KWAP untuk mempertimbangkan agar pengeluaran wang pinjaman dapat dilakukan terlebih dahulu dan kementerian Kewangan memberikan akujanji untuk menyerahkan jaminan kerajaan selewat-lewatnya 10 hari," katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff pada perbicaraan hari ke-13 kes Najib yang didakwa atas tujuh pertuduhan berhubung dana SRC berjumlah RM42 juta.

Ishak: Surat jaminan itu untuk apa?

Amirul: Surat dari Kementerian Kewangan bertujuan untuk menyatakan persetujuan Kerajaan memberikan jaminan kepada SRC berhubung pinjaman RM2 bilion.

Ishak: Ada atau tidak kebiasaannya orang pinjam duit dan duit keluar dulu tetapi surat jaminan dikeluarkan kemudian?

Amirul: Tidak pernah berlaku.

Ishak: Adakah ini kali pertama (kejadian ini) berlaku?

Amirul: Ya.

Amirul Imran, yang kini naib presiden pinjaman tetap SME Bank berkata KWAP kemudian telah menerima "Form of Utilization Notice" iaitu surat permohonan pengeluaran wang pinjaman oleh SRC kepada KWAP yang menyatakan butiran akaun bank SRC di AmIslamic Bank Berhad dengan nombor akaun 211-202-201065-0.

"Pada 28 Mac 2012, saya dimaklumkan oleh Amirah Muhamad Nor daripada Investment Support Services Department KWAP bahawa wang pinjaman tambahan berjumlah RM2 bilion telah dikeluarkan oleh KWAP dan telah dimasukkan ke dalam akaun SRC," katanya.

Saksi pendakwaan ke-29 itu turut menjelaskan bahawa pinjaman tambahan RM2 bilion itu adalah untuk membiayai aktiviti pelaburan dalam sumber asli dan modal pusingan sahaja dan bukan aktiviti pelaburan am.

"Wang pinjaman daripada KWAP tidak boleh digunakan untuk tujuan ‘corporate social responsibility’ (tanggungjawab sosial korporat) kerana kerja-kerja sosial, amal dan politik tidak dinyatakan dalam perjanjian pinjaman.

"Wang pinjaman RM2 bilion itu juga tidak boleh digunakan untuk tujuan pelaburan dalam 'fund management' atau di 'asset management company' (syarikat pengurusan dana dan pengurusan aset) dalam atau luar negara dengan bertujuan untuk mengambil keuntungan," katanya.

Dr Kamariah Noruddin

Khamis lalu, bekas Timbalan Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU) di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Dr Kamariah Noruddin, dalam keterangannya , mengesahkan SRC International menerima geran RM20 juta daripada kerajaan sebagai modal permulaan.

Kamariah dilaporkan berkata, syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebelum itu memohon peruntukan RM3 bilion bagi penubuhan SRC International yang bertujuan mengekalkan pegangan strategik dalam pengeluaran negara.

Najib, 66, didakwa atas tiga tuduhan pecah amanah, satu tuduhan salah guna kedudukan dan tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Lihat Komen
ADS