Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bekas pegawai Goldman diekstradisi ke AS
Diterbitkan:  May 6, 2019 2:20 PM
Dikemaskini: 6:23 AM

Bekas jurubank Goldman Sachs, Roger Ng diekstradisi ke Amerika Syarikat (AS) untuk menghadapi pertuduhan berkaitan 1MDB.

Menurut laporan di The Edge, penghantaran itu merupakan sebahagian daripada perjanjian antara penyiasat Malaysia dan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ).

Pada mulanya, Ng menentang ekstradisi itu di mahkamah Malaysia namun gagal.

Disember lepas, Ng menuntut perbicaraan ke atas empat pertuduhan bersubahat dengan bekas majikannya, Goldman Sachs kerana memasukkan maklumat dan  fakta yang tidak benar berhubung nota jaminan dan bon 1MDB berjumlah AS $6.5 bilion yang dikeluarkan antara tahun 2012 dan 2013.

Sumber, bercakap kepada The Edge, berkata pihak berkuasa Malaysia dan DOJ bersetuju mengenai perkara itu minggu lalu.

"Saya dapat sahkan bahawa dia berlepas (ke Amerika Syarikat) pada Jumaat lalu dan kini berada di AS di bawah pengawasan DOJ," kata sumber itu kepada akhbar perniagaan berkenaan.

Ng yang meninggalkan Goldman Sachs pada musim bunga tahun 2014 ditahan di Kuala Lumpur sejak 1 Nov sejurus selepas DOJ mengumumkan tuduhan terhadapnya kerana didakwa terlibat dengan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan 1MDB.

Tim Leissner, seorang lagi pegawai Goldman Sachs dan ahli perniagaan Malaysia Low Taek Jho juga didakwa di AS atas dakwaan mencuri berbilion ringgit dari 1MDB.

Baru-baru ini dilaporkan Amerika Syarikat dan Singapura bersedia mengembalikan lebih RM930 juta yang didakwa disalahgunakan dari 1MDB.

Bloomberg berkata dana yang dijangka dikembalikan oleh pihak berkuasa AS berjumlah kira-kira AS$ 200 juta (RM828 juta), termasuk AS$ 140 juta daripada penjualan saham di Park Lane Hotel New York dan sejumlah AS$ 60 juta dari penyelesaian yang dibayar oleh pengeluar filem Wolf of Wall Street.

Manakala AS$35 juta (RM106 juta) adalah dari Ng dan keluarganya di Singapura yang dikaitkan dengan wang 1MDB.

Pemindahan itu akan dilakukan dalam minggu ini, kata laporan itu.

Lihat Komen
ADS