Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Celcom kini bukan lagi syarikat Malaysia, kata Najib
Diterbitkan:  May 6, 2019 7:42 PM
Dikemaskini: May 7, 2019 9:03 AM

Bekas perdana menteri, Najib membidas penggabungan syarikat telekomunikasi tempatan, Celcom dengan DiGi dari Norway.

Dalam hantaran di Facebook, Najib berkata, Celcom dan Digi akan menjadi syarikat telekomunikasi terbesar di Malaysia dalam tahun 2019, berikutan Kumpulan Axiata Berhad dan Telenor ASA mengumumkan bahawa mereka akan bergabung.

"Dengan ini, Celcom bukan lagi syarikat telekomunikasi Malaysia dan menjadi syarikat negara Norway.

“Kebiasaannya untuk gabungan syarikat dalam industri yang sama, ramai di Celcom dan DiGi bakal kehilangan pekerjaan mereka,” katanya.

Selepas penggabungan itu, syarikat negara Norway Telenor akan memilik dan menguasai syarikat baru berkenaan dengan kepentingan saham 56.5 peratus manakala Axiata pula hanya mempunyai 43.5 peratus saham.

Menurut Najib, pada tahun 2017, Axiata untung RM909.48 juta iaitu kenaikkan 80 peratus berbanding tahun 2016.

Pada tahun 2018 pula katanya, di bawah Pakatan Harapan (PH), Axiata mencatat kerugian RM5.03 billion iaitu paling besar dalam sejarah mereka.

“Oleh itu, Axiata telah jual banyak aset selepas tahun lepas. Bulan Februari ini, Axiata menjual syarikat telekomunikasi M1 kepada Singapura dengan harga RM1.65bil.

"Bulan April, Axiata jual perniagaan digital mereka kepada Singapura dengan harga RM579 juta,” katanya.

Bekas perdana menteri itu juga berkata, minggu lalu, Axiata turut kepentingan dalam aset digital lain kepada Mitsui dari Jepun tetapi peratusan kepentingan dan harga tidak dinyatakan.

"Hari ini, menyerah kuasa mengawal dan kepentingan saham terbesar dalam Celcom kepada syarikat Norway," kata Najib.

Najib juga "mensekolahkan" kerjaan PH tentang apa maksud menjual negara.

“Kes 1: Syarikat kereta negara Proton bertukar menjadi 51 peratus milik syarikat Malaysia, 49 peratus milik syarikat China.

“Kesimpulan: Ini jual negara. Anak kehilangan. Patut nangis. Ini jelas salah Najib.

“Kes 2: Syarikat telekomunikasi negara, Celcom bertukar menjadi 56.5 peratus milik syarikat Norway, 43.5 peratus milik Malaysia.

“Kesimpulan: Ini bukan jual negara. Tiada apa yang kehilangan. Tak perlu nangis.

“Tak berapa pasti tapi mungkin salah Najib juga,” katanya dalam bentuk menyindir.

 

Lihat Komen
ADS