Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Ketua Hakim Negara yang baru dilantik Tengku Maimun Tuan Mat dikenali dengan penghakiman menentang (dissenting judgement), walaupun ketika tiada seorang pun panel hakim lain yang setuju dengannya.

Beliau satu-satunya hakim yang membuat penghakiman menentang ketika menjadi panel Mahkamah Rayuan yang mengekalkan sabitan terhadap mendiang Karpal Singh menigkut Akta Hasutan pada 2016.

Pada Mac tahun ini, panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan sebulat suara bersetuju dengan pendirian Tengku Maimun ketika itu, dan membebaskan Karpal.

Beliau juga satu-satunya panel dalam kes Indira Gandhi yang membuat penghakiman menentang ketika Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh pada 2014 yang mengarah polis untuk mencari anak-anak Indira Gandhi. 

Pada 2016, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan mengambil kira penghakiman Tengku Maimun dan membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan.

Tengku Maimun diangkat menjadi hakim Mahkamah Persekutuan pada 26 November lalu.

Hari ini beliau mengangkat sumpah sebagai ketua hakim negara menggantikan Richard Malanjum. Beliau menjadi wanita pertama yang memegang jawatan tertinggi badan kehakiman negara.

Ketika sidang media pertama selaku ketua hakim negara hari ini, beliau tidak pernah memikirkan pendirian mahkamah atasan ketika membuat sebarang penghakiman.

"Sejujurnya bukan saya seorang saja tetapi ramai hakim, apabila kita mendengar kes dan membuat keputusan, kita sebenarnya tidak berapa bimbang sama ada penghakiman kita disahkan atau tidak oleh mahkamah atasan. Ini kerana kita telah melaksanakan tanggungjawab.

"Jika kebetulan keputusan itu disahkan, ia bermaksud mahkamah atasan setuju dengan pemahaman dan pendirian undang-undang kita. Itu saja.

"Maka tidak bermakna hakim perlu terlalu gembira jika keputusannya disahkan mahkamah atasan. Ia cuma satu proses biasa," katanya di Istana Kehakiman, Putrajaya hari ini.

Bukan sebab penghakiman menentang

Tengku Maimun menolak pandangan beliau dilantik kerana beberapa penghakiman menentang yang dibuatnya sebelum ini.

Katanya, antara kriteria utama untuk menjadi ketua hakim ialah bebas, boleh berpegang kepada fakta dan tidak dipengaruhi faktor lain.

"Selain itu, integiri, kecekapan dan pengetahuan luas dalam undang-undang tentu sekali (diperlukan)."

Beliau berkata keputusan sebulat suara oleh panel hakim bukan sesuatu yang tidak baik dan seseorang hakim tidak boleh dinilai berdasarkan penghakiman menentang yang dibuatnya.

"Kalau secara kebetulan seorang hakim memutuskan penghakiman menentang, itu tidak menjadikan beliau lebih baik berbanding hakim yang tidak berbuat demikian," katanya lagi.

Ditanya berkenaan perasaannya dilantik sebagai ketua hakim kedua termuda dalam sejarah, Tengku Maimun merasakan faktor umur tidak penting.

"Betulkah saya kedua termuda?

"Apa-apa pun saya masih percaya ia bukan satu isu," katanya.

Melangkaui senior

Beliau yakin hakim lain yang lebih berpengalaman daripadanya tidak berpandangan negatif dengan pelantikannya.

"Walaupun saya junior, saya percaya senior yang saya langkau (untuk ke jawatan itu) tidak ada perasaan kurang senang.

"Sekiranya ia ditakdirkan untuk kamu, ia akan jadi milik kamu," katanya yang menyifatkan lantikannya sebagai rezeki dari Allah.

Beliau akan mencapai umur 60 pada tahun ini. Ketua hakim boleh memegang jawatan itu sehingga berusia 66 tahun dan enam bulan.

Tengku Maimun mengulangi komitmennya untuk meneruskan pembaharuan yang dimulakan pendahulunya, Richard Malanjum.

Bagaimanapun beliau berkata apa-apa pembaharuan lain yang dirancangnya hanya akan diumumkan selepas rundingan dengan hakim lain, iaitu Hakim Besar Malaya, Hakim Besar Sabah dan Sarawak serta Presiden Mahkamah Rayuan.

"Saya perlu settle down dulu, terlalu awal untuk menyatakan rancangan saya. Kedua, saya ingin meneruskan apa yang telah dilakukan oleh Richard.

"Keempat-empat kami (hakim tertinggi) akan membuat keputusan berdasarkan kepimpinan kolektif. Jadi sebelum saya umumkan rancangan, saya pasti akan berunding dengan tiga yang lain," katanya.

Berkenaan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkenaan badan kehakiman, Tengku Maimun berkata keputusan penubuhannya telah dibuat oleh kerajaan.

"Apa yang berlaku seterusnya, kita perlu tunggu...Kerana ia adalah pendirian kerajaan," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS