Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Saksi: Projek SRC hanya nampak bagus atas kertas

LANGSUNG | Perbicaraan kes jenayah bekas perdana menteri Najib Abdul Razak berhubung dakwaan penyalahgunaan dana dari SRC International Sdn Bhd memasuki hari ke-14 di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur.

Malaysiakini membawa anda laporan langsung prosiding.

Ringkasan kes Najib berhubung dana SRC RM42 juta

Najib Razak berdepan 7 tuduhan berkaitan dana RM42 juta melibatkan SRC International, bekas anak syarikat 1MDB

  • 1 tuduhan salah guna kuasa
  • 3 tuduhan pecah amanah
  • 3 tuduhan pengubahan wang haram
  • Klik untuk perincian lanjut hakim, pasukan pendakwaan dan pembelaan


4.00pm - Terima kasih kerana mengikuti liputan langsung Malaysiakini hari ini.

Laporan oleh Hariz Mohd dan Hidir Reduan. Kemaskini media sosial oleh Ewe Ling Yenn.

3.10pm: Bekas pegawai KWAP, Amirul Imran Ahmat mempertahankan kenyataan kesaksiannya sebelum ini bahawa dia tidak pernah melihat pinjaman lebih besar daripada RM4 bilion yang diberikan kepada SRC International.

Dia berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam Harvinderjit Singh, yang telah bertanya sama ada kenyataannya itu didasarkan pada tiga tahun dan empat bulan dia bekerja dengan KWAP.

Harvinderjit: Anda bercakap dari masa tiga tahun empat bulan (dengan KWAP)?

Amirul: Ya.

Harvinderjit: Ada lebih besar (pinjaman yang diberikan oleh KWAP)?

Amirul: Pinjaman, tidak.

Harvinderjit: Sekiranya terdapat pinjaman yang lebih besar, ia akan dibincangkan oleh panel pelaburan (KWAP)?

Amirul: Ya.

Harvinderjit: Anda mungkin tidak tahu (pinjaman yang lebih besar) kerana anda tidak berurusan dengan kemudahan itu?

Amirul: Saya agak pasti, tiada.

Peguam kemudiannya mencadangkan bahawa hanya seseorang dari panel pelaburan dapat memberikan jawapan yang konklusif atas pertanyaan itu, namun tidak disetujui oleh Amirul.

Harvinderjit: Saya mencadangkan bahawa (dakwaan bahawa tidak ada pinjaman yang lebih besar) tidak benar. Anda tidak pasti. Adakah anda bersetuju?

Amirul: (Jika merujuk) pinjaman tunggal RM4 bilion, tidak.

Bagaimanapun, bekas pegawai KWAP itu mengakui bahawa, walaupun dia yakin tidak ada pinjaman yang lebih besar daripada RM4 bilion, mungkin ada pinjaman yang lebih besar daripada RM2 bilion tunggal yang yang dipindahkan dari KWAP ke SRC.

Harvinderjit: Ada perbezaan antara pinjaman kumulatif (pinjaman KWAP RM4 bilion kepada SRC International dibahagikan kepada dua bahagian, RM2 bilion setiap satu).

Mungkin terdapat pinjaman tunggal lebih besar daripada RM2 bilion? Mungkin ada orang lain (Amirul mungkin tidak tahu)?

Amirul: Okay.

Harvinderjit: Baik.


Projek SRC hanya nampak bagus atas kertas, kata Amirul

2.52pm: Saksi Amirul Imran Mahat memberi keterangan bahawa tidak ada pengarah SRC International lain yang pernah hadir dalam pertemuan dengan KWAP untuk membincangkan permohonan pinjaman syarikat itu pada tahun 2011.

Bekas pembantu naib presiden di Jabatan Pendapatan Tetap KWAP itu berkata dia hanya bertemu dengan Nik Faisal Ariff Kamil dari SRC International, selain Terrence Geh (bekas pengarah kewangan eksekutif 1MDB) dan peguam Jasmine Loo semasa mesyuarat.

Amirul memberi keterangan bahawa urusannya dengan Nik Faisal dan Terrence Geh dari SRC International tidak memberikan kesan yang baik terhadap pelaburan yang dituntut dalam perancangan oleh SRC International.

Semasa pemeriksaan balas oleh peguam Najib, Harvinderjit, bekas pegawai KWAP itu mengatakan bahawa mereka kelihatan terlalu bergantung pada dokumentasi untuk membuat penampilan positif mengenai projek-projek SRC International yang dikatakan.

Harvinderjit: Mengenai Terrence Geh dan Nik Faisal, apakah ada keyakinan bahawa pelaburan mereka (SRC International) akan berfungsi?

Amirul: Tidak.

Harvinderjit: Di atas kertas kelihatan baik?

Amirul: Sebenarnya merujuk kepada kesaksian terdahulu, mereka (Geh dan Nik Faisal) memberikan dokumen tetapi dokumen itu hanya representasi dan bukannya merit (sebenar).

Harvinderjit: Jadi dokumen-dokumen ini hanya kelihatan hebat pada permukaan saja?

Amirul: Ya.

Harvinderjit: Mereka seolah-olah bergantung pada apa yang ada di atas kertas dan berharap itu adalah muktamad untuk anda?

Amirul: Ya.

Saksi itu menjawab soalan Harvinderjit mengenai pertemuannya dengan Geh dan Nik Faisal berhubung perbincangan mengenai pinjaman RM2 bilion oleh KWAP kepada SRC International pada awal tahun 2012.


2.22pm: Prosiding disambung semula, dengan saksi Amirul menggambarkan Zahid Taib sebagai "individu pelbagai guna".

Bekas eksekutif KWAP itu berkata demikian sebagai menjawab soalan daripada peguam bela Harvinderjit mengenai identiti dan fungsi Zahid, yang namanya sering dikaitkan dalam urusan antara SRC International dan KWAP.

Harvinderjit: Anda telah bertemu dengan Zahid Taib?

Amirul: Ya

Harvinderjit: Siapa dia?

Amirul: Individu pelbagai guna kepada (bekas pengarah SRC) Nik Faisal (Ariff Kamil).

Harvinderjit: Tiada kad nama diberikan kepada anda (oleh Zahid)?

Amirul: Tiada

Dalam kenyataan kesaksian bertulisnya, Amirul mengatakan bahawa di antara surat-menyuratnya dengan Zahid adalah pada 6 Mac 2012, ketika dia menghantar e-mel kepada Zahid, Nik Faisal dan pengarah eksekutif kewangan 1MDB Terrence Geh untuk memberitahu SRC International bahawa KWAP masih belum menerima laporan suku pertama SRC International yang berakhir pada 29 Nov 2011.


1pm - Mahkamah berehat setengah jam.


Pinjaman tidak tergesa-gesa diluluskan

12.19pm - Bekas naib presiden KWAP (Jabatan Pendapatan Tetap) Amirul Imran Ahmat memberitahu mahkamah bahawa KWAP tidak tergesa-gesa untuk meluluskan permohonan pinjaman RM3.95 bilion SRC International .

Semasa pemeriksaan balas, saksi menjelaskan bahawa dia telah menyediakan kertas untuk panel pelaburan KWAP pada Julai 2011 mengenai pinjaman SRC.

Harvinderjit: Sekiranya ada gesaan untuk meluluskan pinjaman, mereka boleh meluluskannya dengan segera, tetapi mereka tidak berbuat demikian.

Amirul: Ya.

Harvinderjit: Setelah menangguhkan (permohonan pinjaman), mereka memutuskan (untuk meluluskan pinjaman itu kemudian)?

Amirul: Ya.

Semalam, bekas pegawai KWAP itu memberi keterangan apabila diperiksa oleh pihak pendakwa, bahawa dia berada di bawah tekanan dan merasa tergesa-gesa ketika menguruskan permohonan pinjaman SRC International.


Saksi, peguam bertengkar

12.10pm: Pertengkaran kecil berlaku antara peguam Harvinderjit Singh dan saksi Amirul Imran Ahmat berhubung dokumen yang diberikan kepada panel pelaburan KWAP mengenai pinjaman SRC International.

Ia berlaku apabila Harvinderjit berulang kali memaklumkan kepada bekas pegawai KWAP bahawa pinjaman untuk SRC adalah cadangan yang dibuat oleh Jabatan Pendapatan Tetap KWAP.

Bagaimanapun, Amirul menafikan dakwaan peguam itu, mengatakan dokumen itu hanya disediakan kepada panel pelaburan KWAP untuk "membincangkan dan mempertimbangkan".

Amirul memberitahu mahkamah bahawa jika dokumen itu sememangnya satu cadangan, ia akan mengandungi kata-kata bagi tujuan itu.

Apabila Harvinderjit cuba menekannya lagi, Amirul menyuarakan, memberitahu Harvinderjit untuk memberikannya peuang menjawab.

"Tidak, anda tanya kepada saya soalan, bagi saya jawab," kata Amirul.

Bagaimanapun, peguam itu sebaliknya mengulangi tuntutannya dengan bertanya sama ada pinjaman itu dicadangkan oleh Jabatan Pendapatan Tetap KWAP, yang mana Amirul menjawab, "Tidak".


Saksi: KWAP akan tolak tawaran pinjaman SRC jika diberi pilihan

12pm: Saksi ke-29 Amirul Imran Ahmat memberi keterangan bahawa panel pelaburan KWAP akan menolak pinjaman yang dicadangkan sebanyak RM3.95 bilion kepada SRC International, jika ia mempunyai pilihan.

Bekas pegawai KWAP mengatakan demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam Najib, Harvinderjit Singh.

Bagaimanapun, apabila ditekan oleh Harvinderjit, beliau menjelaskan ini adalah pendapat peribadinya dan dia tidak boleh bercakap bagi pihak panel pelaburan.

Harvinderjit: Anda tahu bahawa panel pelaburan tidak meluluskan kertas (pinjaman) itu langsung?

Amirul: Mereka akan menolak jika mereka mempunyai pilihan. Ia ditunda, tidak ditolak (pada akhirnya).

Harvinderjit: Anda tidak boleh bercakap bagi pihak panel pelaburan.

Amirul: Ya.

Harvinderjit: Semua yang anda katakan bahawa mereka akan menolaknya adalah pendapat peribadi anda mengenai perkara itu.

Amirul: Ya.


11.08am - Suasana serius bertukar ceria sebentar ketika Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Ishak Mohd Yusoff meminta saksi ke-29 Amirul Imran Ahmat untuk mengenal pasti bekas pengarah SRC International Nik Faisal Ariff Kamil.

Saksi ke-29, Amirul Imran Ahmat merupakan bekas pegawai KWAP.

Difahamkan Nik Faisal belum berjaya dijumpai oleh pihak berkuasa setakat ini.

Hadirin didengar tertawa apabila foto Nik Faisal diserahkan kepada saksi, yang merupakan bekas pegawai KWAP.

Ishak: Bolehkah anda mengenal pasti Nik Faisal Ariff Kamil?

Amirul: Ya.

Ishak: Lihat gambar (hadirin ketawa).

Amirul: Ya (sambil melihat gambar).

11.00am - Perbicaraan bermula dengan peguam bela Farhan Read meneruskan pemeriksaan balas terhadap saksi ke-30, Norhayati Mohd Yunus, yang merupakan pengurus cawangan Affin Bank di The Curve, Petaling Jaya.

Saksi ke-30, Norhayati Mohd Yunus, yang merupakan pengurus cawangan Affin Bank.

Pemeriksaan balas itu bagaimanapun hanya berlangsung selama satu minit, dengan Farhan meminta Norhayati untuk mengesahkan sama ada kenyataan kesaksiannya didasarkan pada dokumen bank.

Norhayati mengesahkan perkara itu.

Saksi ke-29, bekas pegawai KWAP Amirul Imran Ahmat, kemudian dipanggil.


10.58 pagi - Bekas perdana menteri Najib Razak memasuki mahkamah, disusuli hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali untuk memulakan pendengaran.


10.50am - Ketua pasukan pembelaan, peguam Muhammad Shafee Abdullah memasuki bilik mahkamah dan mengambil tempat duduk di hadapan untuk menanti permulaan prosiding.

Peguam veteran itu tiba selepas menguruskan urusan undang-undang berasingan di Mahkamah Rayuan pagi tadi.

Urusan berkenaan melibatkan rayuan Najib untuk menggugurkan bekas hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram daripada memimpin pendakwaan dalam perbicaraan 1MDB.

Dilaporkan awal pagi ini bahawa Mahkamah Rayuan menolak rayuan Najib, dengan itu membenarkan Sri Ram untuk terus menjadi sebahagian daripada pendakwaan dalam perbicaraan 1MDB.


10.26am: Peguam bela Najib, Harvinderjit Singh dilihat memasuki mahkamah dengan anggota pasukan pertahanan lain.

Peguam itu dilihat berbincang dengan peguam bela lain sementara pihak pendakwaan mula mengisi kerusi bahagian depan untuk menunggu permulaan prosiding.

Semalam, peguam Shafee Abdullah memaklumkan hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bahawa Harvinderjit tidak dapat menghadiri prosiding kerana mengalami keracunan makanan.


Ketika perbicaraan mahkamah Najib Razak berhubung dakwaan penyelewengan sebanyak RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd memasuki hari ke-14 hari ini, pasukan peguam bela bekas perdana menteri itu dijangka menyoal saksi ke-30, pengurus cawangan Affin Bank The Curve, Norhayati Mohd Yunus, berhubung transaksi yang melibatkan Akaun Ihsan Perdana.

Ia bermula petang semalam apabila peguam bela tertuduh Farhan Read menimbulkan isu Mail Global Resources Sdn Bhd yang dikatakan menerima RM35 juta daripada akaun Ihsan Perdana melalui tujuh cek bertarikh 13 Januari 2015.

Peguam telah membuat pemeriksaan balas ke atas saksi ke-30 berhubung pengetahuannya tentang transaksi itu, terutama mengenai sama ada dia disiasat berhubung transaksi itu sebelum atau selepas Pilihan Raya Umum ke-13 pada 2013.

Saksi ke-30 itu kemudiannya memberi keterangan bahawa SPRM atau Bank Negara sudah mengambil keterangannya berhubung perkara itu.

Sejauh mana penglibatan Mail Global Resources dalam kes itu akan diambil kira, kerana Naib Presiden PKR Rafizi Ramli sejak 2017 melalui blognya mendakwa bahawa Ihsan Perdana telah mengeluarkan jumlah cek yang sama iaitu sebanyak RM35 juta kepadaMail Global Resources pada tarikh yang sama iaitu pada 13 Jan 2015.

Semalam, peguam utama Najib, Muhammad Shafee Abdullah berkata pasukan pembelaan akan melaksanakan kaedah pemeriksaan balas yang bertujuan menentukan sama ada beberapa saksi telah dipujuk untuk mengubah kesaksian mereka selepas PRU13.

Semasa pemeriksaan utama oleh pihak pendakwa semalam, bekas pegawai Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) Amirul Imran Ahmat memberi keterangan bahawa Najib telah menandatangani jaminan kerajaan persekutuan untuk pinjaman RM2 bilion tambahan dari KWAP kepada SRC International.

Saksi ke-29 itu berkata Najib menandatangani dokumen tersebut pada 2012, atas kapasiti sebagai perdana menteri dan menteri kewangan.

Amirul berkata SRC International telah menerima pinjaman sebanyak RM4 bilion daripada KWAP antara Ogos 2011 dan Mac 2012, dan menyifatkannya sebagai pinjaman terbesar yang pernah diberikan oleh KWAP.

Pada masa itu, SRC International adalah anak syarikat 1Malaysia Development Bhd (1MDB). Ia dipindahkan ke Kementerian Kewangan Diperbadankan pada tahun 2012, selepas menghadapi masalah.

Najib ketika itu adalah pengerusi lembaga penasihat 1MDB dan, mengikut perlembagaan syarikat, dan berkuasa memutuskan pelantikan ahli lembaga, termasuk dalam SRC International.

Amirul boleh kepada dipanggil semula ke kandang saksi untuk disoal balas oleh pasukan pembelaan memandangkan pemeriksaan balas tidak dapat dijalankan semalam kerana peguam Najib Harvinderjit Singh tidak dapat menghadiri prosiding susulan mengalami keracunan makanan.

Pendengaran hari ini di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohd Nazlan Mohd Ghazali dijangka bermula pada pukul 10 pagi dan bukan pada waktu yang ditetapkan sebelum ini iaitu 9 pagi, kerana Najib dan Shafee perlu menghadiri urusan yang berasingan di Mahkamah Rayuan di Istana Kehakiman di Putrajaya pada jam 9 pagi tadi.

Urusan berkenaan adalah berhubung keputusan Mahkamah Rayuan mengenai rayuan Najib untuk menggugurkan bekas hakim Gopal Sri Ram dari menjadi sebahagian daripada pihak pendakwaan dalam perbicaraan 1MDB, yang akan didengar di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Collin Lawrence Sequerah pada 19 Ogos.

Lihat Komen
ADS