Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Batu api pertembungan Putrajaya-istana Johor

ULASAN | Hubungan antara Putrajaya dan istana Johor berterusan keruh.

Serang menyerang antara Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berterusan.

Terbaru, dalam wawancara bersama media sempena setahun pemerintahan Pakatan Harapan (PH), Dr Mahathir menyifatkan TMJ sebagai "budak hingusan yang bodoh".

"Saya tidak mahu mengulas mengenai sultan kerana sekiranya saya mengatakan apa-apa yang tidak baik, maka ia tidak elok kerana baginda ialah seorang sultan.

"Tetapi TMJ (Tunku Ismail) ini seorang budak ... Dia ini 'budak bodoh' kerana dia tidak tahu apa yang sedang berlaku.

"Jadi jangan cakap, kalau kamu tidak tahu apa-apa, jangan berkata-kata," katanya.

TMJ dan Sultan Johor

Dr Mahathir diminta mengulas mengenai kenyataan Tunku Ismail perbuatan baik ayahandanya, seperti mengurniakan tanah kepada rakyat dan kerajaan, tidak ditonjolkan.

Kenyataan yang dikeluarkan pada hari pertama bulan Ramadan itu memperlihatkan bahawa Dr Mahathir tidak akan berundur dalam perang bersama Istana Johor kali ini.

Walaupun usia tidak berpihak kepadanya, Dr Mahathir tetap menunjukkan "taringnya" sebagai seorang yang menjadi perdana menteri sebanyak dua kali.

Sebelum itu, Putrajaya dan Istana Johor bertegang urat dalam beberapa isu seperti isu tanah Bukit Chagar, Statut Rom, pengganti menteri besar Johor dan rombakan exco kerajaan negeri.

Peta Bukit Chagar

Sebelum digelar "budak hingusan yang bodoh", TMJ juga beberapa kali mengeluarkan kata-kata kesat terhadap Dr Mahathir seoalah-olah perdana menteri itu sebaya dengannya.

Siapa batu api?

Ramai yang tertanya-tanya siapakah sebenarnya "batu api" dalam kekeruhan hubungan antara Putrajaya dan istana Johor pada hari ini.

Sebenarnya, yang perlu ditanyakan, siapa yang bakal mendapat keuntungan daripada ketegangan hubungan antara Johor dan Putrajaya?

Secara zahirnya, parti pembangkang Umno dan PAS dilihat mendapat keuntungan daripada pertembungan ini.

Antara penyokong TMJ dalam perhimpunan Ummah, pada 4 Mei

Dalam demonstrasi di ibu negara pada Sabtu, ahli-ahli Umno dan PAS secara terang-terangan menyatakan sokongan terbuka kepada TMJ.

Kerajaan pimpinan Dr Mahathir dihina dan dicerca dan digambarkan seolah-olah langsung tidak memberikan sebarang jasa kepada orang-orang Melayu yang beragama Islam.

Namun secara batinnya, siapa yang bakal mengaut keuntungan?

Dalam PH, siapa yang akan mendapat keuntungan sekiranya Putrajaya terus berbalah dengan istana Johor?

Apakah terdapat pihak yang mahu kekeruhan ini berterusan demi keuntungan politik mereka?

Dr Mahathir Mohamad

Apakah pertembungan ini merupakan langkah awal sebelum satu gerakan lebih besar dimulakan untuk menjatuhkan Dr Mahathir?

Dan pihak yang terlibat dengan gerakan ini dikatakan sudah mengadakan beberapa pertemuan untuk merancang gerakan menggulingkan Dr Mahathir termasuk di ibu kota dan selatan tanah air.

Gerakan ini juga dikatakan mendapatkan tajaan yang besar.

Akan tetapi pihak-pihak yang cuba menjatuhkan kerajaan PH secara tidak demokratik ini diharapkan menilai fakta ini terlebih dahulu sebelum meneruskan gerakan jahat mereka:

"Dr Mahathir tidak pernah kalah dalam setiap pertempuran politiknya."


AMIN ISKANDAR berkicau menggunakan akaun Twitter @aminiskandar. Tulisan beliau merupakan pandangan peribadi atas kapasiti sebagai seorang penulis dan tidak ada kena mengena dengan sebarang jawatan yang “mungkin” beliau pegang.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

ADS