Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
97 jentera bomba tersadai masih dalam proses pembaikan

Sejumlah 97 jentera Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), yang ‘tersadai’ akibat kerosakan, masih dalam proses pembaikan.

Ketua Pengarah JBPM Mohammad Hamdan Wahid berkata, proses membaik pulih kesemua jentera itu mengambil masa berikutan ada antara alat ganti jentera yang perlu diimport dari luar negara.

"Ada jentera yang alat gantinya kita kena import jadi itu memakan sedikit masa.

"Kita juga perlu buat proses perolehan untuk kita dapatkan peruntukan dari kerajaan bagi membaiki jentera berkenaan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Semarak Ramadan BIMB Holdings Berhad (BHB) - Berita Harian (BH) di Shah Alam, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif BHB Mohd Muazzam Mohamed dan Pengarang Eksekutif Komersial dan Hal Ehwal Semasa BH, Ahmad Zaini Kamaruzzaman.

Mengulas lanjut, Mohammad Hamdan berkata keadaan jentera jabatan itu yang masih boleh digunakan di seluruh negara masih belum mencapai tahap kritikal.

"Yang tidak boleh digunakan hanyalah 20 peratus termasuk yang tersadai itu, jadi lagi 80 peratus masih boleh digunakan dan itu sudah memadai bagi jabatan," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan kegagalan pembekal menyediakan reka bentuk dan pemasangan peralatan mengikut spesifikasi sepatutnya dipercayai punca utama jentera pemadam kebakaran JBPM yang dibeli pada 2007, 2010 dan 2014 ‘tersadai’.

Sementara itu, Mohammad Hamdan menyeru warga JBPM mencontohi semangat kerja yang ditunjukkan Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, sebagai penjawat awam di jabatan itu.

Beliau berkata ia kerana kematian Muhammad Adib ketika rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, November tahun lalu membuktikan allahyarham merupakan seorang penjawat awam yang sejati.

"Kes Adib merupakan simbol khidmat awam yang sejati, gaji tidak seberapa tetapi sanggup berkorban untuk masyarakat.

"Tidak kira pada bila-bila masa, petang atau malam, kita tetap berada di mana sahaja untuk beri khidmat pada masyarakat," katanya.

Muhammad Adib, 24, cedera parah dipercayai dipukul ketika insiden di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya, November lepas dan anggota bomba itu disahkan meninggal dunia pada 18 Disember di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.

Mohammad Hamdan berkata selain Muhammad Adib, enam lagi anggota JBPM yang maut akibat lemas ketika menyelamatkan seorang remaja lelaki di Puchong Oktober tahun lalu, turut disifatkan penjawat awam yang berdedikasi dalam melaksanakan tugas.

-Bernama

Lihat Komen
ADS