Sarawak: Siapa akan ganti Taib Mahmud?
Terjemahan Siapa akan terajui politik Sarawak selepas Tan Seri Taib Mahmud? Itulah persoalan yang menghantui para pemerhati politik di bumi kenyalang sekarang menjelang berlangsungnya pilihanraya negeri tidak lama lagi.
Nama-nama seperti Datuk Haji Adenan Satem, Datuk Haji Abang Johari Tun Openg dan Datuk Affendi Norwawi disebut-sebut sebagai tokoh yang akan menjadi Ketua Menteri andainya Taib berundur pada pilihanraya kali ini.
Kini heboh diperkatakan mengenai kemungkinan Adenan akan menggantikan Taib kerana beliau telah meletakkan jawatannya dari kabinet Pusat. Namun terdapat pemerhati yang mengatakan beliau yang berusia 63 tahun itu telah bertindak terburu-buru dan kurang sabar.
Khabarnya inilah pandangan sesetengah ahli-ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berhubung Naib-Presiden mereka itu, yang secara tiba-tiba meletakkan jawatan dari kerajaan Pusat bagi membolehkannya memainkan peranan lebih aktif dalam politik Sarawak
Mungkinkah Taib yang kini berusia 69 tahun dan telah menjadi Ketua Menteri selama suku abad telah membisikkan kepada Adenan (gambar kanan) bahawa dia akan menggantikan tempatnya satu hari nanti?
Namun setakat ini Taib yang juga Presiden PBB merangkap Pengerusi Barisan Nasional Sarawak tidak pernah secara terbuka menamakan Adenan yang juga bekas adik iparnya itu sebagai penggantinya.
Mungkinkah secara tertutup Taib ada menyatakannya kepada kumpulan yang rapat dengannya kerana sejak setahun dua ini ramai pemimpin-pemimpin muda berbaik-baik dengan Adenan.
Malah akhbar Sarawak Tribune yang kini digantung permitnya pernah satu ketika dulu diarahkan supaya memberikan publisiti seluas mungkin kepada Adenan, mengatasi Timbalan Presiden PBB, Abang Johari (gambar kanan), saingan kuat Adenan untuk jawatan nombor satu di negeri itu.
Persoalannya sekarang ialah adakah Taib telah mengubah fikirannya terhadap Adenan?
Formula damai
Banyak pihak bertanya soalan ini sekarang berikutan kenyataan Taib pada hujung minggu lalu apabila beliau berkata akan hanya meletakkan jawatan jika sudah ada pasukan yang berkemampuan dapat menggantikannya.
Ucapan Taib pada hujung minggu lalu itu adalah yang pertama sejak beliau kembali dari menjalani rawatan di luar negara.
Sepanjang ucapannya Taib tidak menyebut nama Adenan walaupun Adenan dan isterinya, Jamilah Anu hadir pada majlis hari Sabtu itu.
"Kenyataan Taib itu jelas menunjukkan beliau tidak mahu mana-mana pemimpin PBB dipinggirkan apabila pasukan baru mengambilalih tampuk kerajaan negeri. "
"Taib juga memberikan isyarat bahawa beliau mahu semua persaingan atau perpecahan dalam parti yang timbul akibat perebutan jawatan Ketua Menteri diselesai dan dipulihkan sebelum beliau menyerahkan jawatan kepada calon yang dirasakannya paling sesuai,"kata seorang pemerhati politik.
Adalah menjadi rahsia umum bahawa persaingan kuat antara Adenan dan Abang Johari telah memecahkan PBB kepada dua kumpulan utama.
Dalam kata lain, Taib kini dilihat sebagai memberi amaran kepada semua kumpulan yang bersaing supaya berdamai dan beliau tidak akan meletakkan jawatan selagi parti itu tidak disatukan semula.
Malah kini timbul desas desus mengatakan kemungkinan mesyuarat agung adan pemilihan pucuk pimpinan PBB diadakan sebelum pilihanraya negeri dilangsungkan. Pilihanraya negeri mesti adiadakan sebelum 16 Novembr depan.
Rasional mengadakan pemilihan pucuk pimpinan parti sebelum pilihanraya adalah bagi membolehkan proses perubahan pucuk pimpinan dijalankan dengan baik.
Difahamkan kemungkinan satu formula untuk mengelakkan pertandingan bagi semua jawatan tertinggi parti akan dibuat dan jika dipersetujui perubahan pucuk pimpinan negeri dapat dibuat dengan lancar.
Menurut para pemerhati, jika Taib memutuskan mengadakan pilihanraya terlebih dahulu, beliau masih boleh mengemukakan formula yang sama pada pemilihan pucuk pimpinan PBB dengan syarat beliau masih menjadi Ketua Menteri bagi memastikan perubahan pucuk pimpinan parti dan kerajaan negeri yang lancar.
Dalam pada itu spekulasi mengenai kemungkinan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Effendi Norwawi (gambar kiri) , 58 tahun, yang juga Naib Presiden PBB kemungkinan dilantik menggantikan Taib tidak boleh ditolak begitu sahaja.
Ini berbalik kepada rancangan asal Taib yang mahu Johari, Adenan dan Effendi membuktikan kebolehan sebelum dipilih
sebagai penggantinya.
Johari dan Effendi masih mudah, berusia di bawah 60 tahun tetapi dapatkah Adenan yang hanya enam tahun lebih muda dari Taib menunggu lama? Berita asal