Khairy hairan mengapa Shah Alam banjir besar
Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin hairan bagaimana bandaraya maju seperti Shah Alam boleh dilanda banjir seburuk yang berlaku semalam sehingga lebih 4,000 rumah dinaiki air.
Beliau berkata banjir kerap kali dikaitkan dengan utara Semenanjung dan Pantai Timur kerana negeri-negeri di situ tidak mempunyai sistem perparitan yang begitu maju.
"Tetapi di kawasan seperti di negeri Selangor dan Lembah Klang, saya tidak tahu apa sebab perkara ini boleh berlaku," katanya kepada pemberita ketika melakukan lawatan ke taman perumahan TTDI Jaya, satu daripada enam kawasan yang dilanda banjir semalam akibat hujan lebat luar biasa.
Kawasan lain yang turut digenangi air ialah Kampung Kebun Bunga Batu Tiga, Kampung Landasan di Kampung Melayu Subang, kawasan sekitar pasar raya Giant di Seksyen 13, Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) di Bukit Jelutong; dan kawasan sekitar pasar raya Makro.
Menurut laporan Bernama, Khairy berkata beliau dimaklumkan bahawa antara punca banjir itu adalah sistem perparitan yang tidak dinaik taraf sedangkan terdapat peruntukan untuk tujuan itu.
"Saya ada mendengar bahawa sudah ada peruntukan untuk menaik taraf sistem perparitan di Shah Alam tetapi jelas pada kejadian semalam, usaha menaik taraf itu tidak berlaku," katanya.
Khairy juga mempertikaikan sistem maklumat awal yang tidak berkesan dalam menyebarkan maklumat kepada orang ramai mengenai banjir terbabit.
Katanya walaupun kejadian banjir bukan merupakan perkara baru di bandaraya itu tetapi amaran mengenai kejadian seumpama itu masih tidak dikeluarkan.
Khairy berkata Pemuda Umno telah menyumbangkan sebuah bot kepada Pemuda Umno Shah Alam untuk digunakan dalam operasi membantu dan menyelamat ketika berhadapan dengan situasi banjir pada masa datang.
Katanya pergerakan itu juga telah memohon agar Kementerian Pelajaran menyumbangkan buku teks kepada pelajar yang terbabit dalam banjir semalam.