Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Saksi: Tiada obligasi untuk beritahu Najib hal meragukan

KES NAJIB | Saksi keempat perbicaraan Najib Razak berkenaan SRC International hari ini berkata dia "tiada komen" berkenaan sama ada bekas perdana menteri itu akan diberitahu jika Bank Negara diberi amaran berkenaan transaksi mencurigakan melibatkan akaunnya.

Ketika pemeriksaan balas dengan peguam bela Muhammad Shafee Abdullah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Ahmad Farhan Sharifuddin mengesahkan dia adalah pegawai penyiasat Bank Negara yang meneliti akaun Ambank Najib, dan bank itu didenda kerana gagal menghantar Laporan Transaksi Mencurigakan (STR).

Ketika Shafee bertanya jika pemegang akaun yang tertakluk dengan STR akan diberitahu dan ditanya oleh Bank Negara, Farhan berkata secara undang-undang, ia tidak dapat dilakukan.

Farhan berkata ada peruntukan khusus bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (Amla) yang menghalang penyiasat membuat tindakan yang boleh memberi amaran atau maklumat (tip off) kepada suspek.

Shafee: Adakah anda bersetuju bahawa jika Ambank telah melakukan tugasnya dalam memfailkan STR, anak guam saya (Najib) telah dimaklumkan seawal tahun 2015 atau lebih awal mengenai transaksi yang mencurigakan?

Farhan: Saya tidak bersetuju kerana itu sama dengan membocorkan maklumat.

Shafee: Jika Ambank melaporkan transaksi, ada kemungkinan Bank Negara atau agensi lain akan menghubungi pemilik akaun (Najib) dan menjelaskan transaksi yang disyaki.

Farhan: Saya tiada komen. Itu ialah soalan kesimpulan. Secara hipotetik, jika Ambank menghantar laporan dan analisisnya, jawapan saya kepada soalan anda ialah "tiada komen".

Shafee Abdullah

Shafee kemudian mencadangkan bahawa jika Bank Negara menerima STR, Najib akan diberitahu tentang apa yang berlaku.

Farhan beberapa kali berkata dia tidak boleh menjawab soalan kesimpulan (hypothetical question). Pada satu ketika, Farhan ketawa apabila Shafee bertanya soalan sama menggunakan ayat berbeza.

Peguam bela Harvinderjit Singh kemudian mengambil alih pemeriksaan balas dan sekali lagi bertanya Farhan sama ada badan penguatkuasaan akan menghubungi pemilik akaun untuk menjelaskan transaksi mencurigakan.

Farhan berkata dia tidak tahu.

Harvinderjit Singh

Ia menyebabkan DPP V Sithambaram membuat bantahan atas asas soalan itu berdasarkan anggapan dan telah dijawab oleh saksi.

"Berapa kali anda mahu tanya (soalan) ini?" soal Sithambaram.

Harvinderjit bagaimanapun tetap meneruskan soalannya.

Harvinderjit: Dalam jabatan perisikan kewangan, anda tidak tahu sama ada pemilik akaun akan disoal jawab berkenaan traksaksi mencurigakan?

Farhan: Ia berbeza dengan analisis. Saya tak boleh jawab bagi pihak SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia).

Harvinderjit: Ada transaksi mencurigakan. Anda boleh kata anda tak boleh jawab sama ada (agensi lain boleh melakukannya). Anda setuju jika dalam siasatan anda, anda boleh menyoal pemilik akaun?

Farhan: Tidak.

Lihat Komen
ADS