Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kemakmuran Bersama: PM jelas hala tuju ekonomi negara
Diterbitkan:  May 9, 2019 6:04 PM
Dikemaskini: 10:10 AM

Dalam ucapan sempena ulang tahun pertama pentadbiran Pakatan Harapan (PH), Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengakui cabaran untuk menepati harapan dan jangkaan.

Menjawab kritikan bahawa PH obses dengan skandal kerajaan terdahulu, Mahathir juga mengumumkan hala tuju kerajaan pada masa akan datang dengan tema "Kemakmuran Bersama 2030", dengan tumpuan terhadap pembangunan ekonomi.

Beliau memulakan ucapannya dengan sekali lagi menyentuh usaha kerajaan memperbaiki kerosakan yang disebabkan kerajaan terdahulu, pada masa sama maklum bahawa orang ramai sudah bosan dengan perkara itu.

"Rakyat mungkin bosan dengan cerita dan laporan berkenaan perbuatan pemerintah dahulu.

"Tetapi walaupun kita bosan, hakikatnya perbuatan yang salah oleh Kerajaan BN di bawah Najib, memang menjadi masalah besar yang mengganggu pemulihan Negara dan kesejahteraan rakyat," katanya, dalam ucapan yang disiarkan secara langsung di televisyen.

Beliau berkata "Najib dan rakan-rakannya" terus tidak mengakui kesalahan walaupun Amerika Syarikat dan Singapura telah memulangkan berbilion yang dicuri dari 1MDB.

"Kita sedar ramai di kalangan rakyat yang tidak berpuas hati dan menuduh Kerajaan PH telah gagal memenuhi beberapa janji yang terdapat di dalam manifesto," katanya, sambil menegaskan ia dihalang oleh kerosakan yang telah dilakukan BN.

"Umpamanya untuk hapus tol Plus sahaja RM30 bilion diperlukan, dan beberapa bilion lagi untuk memperbaiki jalan tiap tahun... Sedangkan Kerajaan terpaksa bayar hutang berbillion Ringgit setahun untuk puluhan tahun."

Bagaimanapun beliau memberi jaminan bahawa PH tetap komited untuk menunaikan janji-janjinya.

Beliau berkata 39.01 peratus daripada 464 inisiatif telah dilakukan, termasuk penggantungan pembatalan undang-undang zalim, memberikan kebebasan media, menegakkan Perjanjian Malaysia 1963 dan kedaulatan undang-undang, mengekalkan kestabilan ekonomi dan merangka dasar khusus untuk Felda dan masyarakat India.

Beliau juga membangkitkan pelantikan golongan muda dan wanita untuk sejumlah jawatan utama dalam kerajaan, serta usaha menyatukan pelaksanaanrumah mampu milik.

Perompak mengelak undang-undang

Untuk bergerak ke hadapan, perdana menteri menggariskan usaha menangani isu struktural dalam ekonomi negara, yang menurutnya penting bagi menjamin kemakmuran bersama.

Beliau memberi amaran usaha itu kini dihalang oleh "perompak" yang menggunakan isu kaum dan agama untuk mengelak hukuman.

"Yang lebih menekan ialah wujud satu gerakan, pastinya didalangi oleh mereka yang tewas di dalam pilihan raya dan agak ketakutan menghadapi proses undang-undang yang telah mula membelenggu mereka," katanya.

Mahathir juga mengkritik PAS kerana bersama-sama dengan gerakan itu.

Menjadikan kerjasama Umno dan PAS sebagai contoh, beliau mempersoalkan PAS kerana menurutnya kurang bertindak ketika Umno dan pemimpinnya yang didakwa "mencuri dan menjarah" harta negara menerusi 1MDB, Tabung Haji, Felda, Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

"Kerana itu, perjuangan yang kononnya untuk mempertahankan Melayu dan Islam tidak lebih daripada mempertahankan perompak-perompak negara, yang berharap jika Kerajaan ini jatuh maka kes yang mereka hadapi akan gugur dan mereka tidak perlu bertanggungjawab dengan dosa dan kerosakan yang telah dilakukan.

"Pesanan saya, cukup-cukuplah menggunakan isu perkauman dan agama untuk kepentingan politik," katanya lagi.

Hala tuju ekonomi PH

Mengakui rakyat ingin mengetahui hala tuju PH untuk ekonomi negara, perdana menteri menjelaskan tema Kemakmuran Bersama 2030.

"Kita mengambil pendekatan bahawa pembangunan negara pada hari ini bermaksud memberi kemakmuran bersama kepada semua rakyat dengan meningkatkan kuasa beli dan menghapuskan jurang pendapatan dan kekayaan antara kelas, kaum, wilayah dan rantaian bekalan yang melampau," katanya.

Beliau juga menegaskan dasar dan program mesti berdasarkan "ekonomi keperluan" (need based).

"Kita tidak mahu semasa mengejar kemakmuran negara ada kalangan rakyat yang tertinggal. Walaupun begitu, usaha ini bukan bermaksud negara menyuap nasi ke mulut mereka namun dengan tujuan membantu membangun keupayaan mereka keluar dari kekurangan dan keadaan yang berisiko," katanya lagi.

Katanya, Kemakmuran Bersama 2030 mempunyai tujuh teras, antaranya pengstrukturan dan penambahbaikan ekosistem perniagaan dan industri, meneroka sektor pertumbuhan baru, reformasi bakat dan sumber tenaga, dan memperbaiki pasaran buruh dan pendapatan pekerja.

Beliau berkata kerajaan akan mendapatkan pandangan semua pihak dalam meneruskan matlamat tersebut.

"Kita harap konsep dan perancangan ini dapat diteliti dengan lebih mendalam oleh semua peringkat dan kumpulan rakyat dan akan dibawa ke peringkat akar umbi, untuk mendapat maklum balas dan idea-idea yang lebih baik sebelum ia dapat dimasukkan dalam Rancangan Malaysia ke-12 dan ke-13," katanya.

Beliau menekankan kepentingan pelaksanaan kerana tanpanya, setiap perancangan tidak bermakna.

"Ia juga menuntut kita untuk bekerja bersama-sama secara bersungguh-sungguh sebagai satu negara supaya rakyat seluruhnya dapat menikmati kemakmuran bersama dalam sebuah negara Malaysia yang betul-betul maju, bermaruah dan merdeka.

"Oleh itu kerajaan akan terus berusaha bagi memastikan semua inisiatif kerajaan dipenuhi agar pencapaian pada masa akan datang tercapai di atas semangat inklusiviti dan nilai keadilan, yang akan menyumbang kepada kekayaan untuk dikongsi bersama seluruh rakyat berlandaskan perkongsian kemakmuran," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS