Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Guan Eng: Adakah 'Bossku' ke Sandakan nak ajar rasuah?

PRK SANDAKAN | Menjelang ketibaan Najib Razak ke Sandakan petang ini, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mengutarakan soalan: adakah bekas perdana menteri tersebut yang kini dibicarakan atas tuduhan pecah amanah dan salah guna kuasa - akan mengajar penduduk tempatan mengamalkan rasuah?

Kata Lim hal itu kerana, di sebalik kes mahkamah dan kaitan dengan skandal 1MDB, Najib masih tidak segan silu menggunakan slogan "Malu Apa Bossku".

“Saya dah cakap, kalau 'bossku' itu datang, apa dia nak buat kepada penduduk Sandakan?

"Adakah dia nak mengajar macam mana nak rasuah dan kes 1MDB? Mungkin (boleh mengajar) penduduk Sandakan untuk memasukkan berbillion ringgit dalam akaun mereka," katanya.

Lim yang juga menteri kewangan berkata sebelum ini pun Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sudah menegaskan Najib tidak berasa malu walaupun dikaitkan dengan skandal 1MDB yang turut melibatkan banyak negara lain.

Malah katanya Najib juga tampil seperti seorang wira.

"Saya rasa itu amat luar biasa," katanya.

Lim berkata demikian kepada media selepas menghadiri ceramah di Sek Men Yu Yuan di Sandakan malam semalam.

Kata Lim pada asasnya Najib memang berhak datang ke Sandakan. Lebih-lebih lagi, katanya, DAP memang meraikan amalan demokrasi.

Persoal pendirian PBS pada PAS

Pada masa sama kata Lim orang ramai juga berhak bertanya, apakah kebaikan yang boleh dibawa bekas perdana menteri itu dalam kunjungannya.

"Apakah kita boleh belajar sesuatu daripada beliau?

“Rakyat akan tanya: macam mana dia masuk berbilion-bilion dalam akaun peribadi mereka?” katanya.

Sementara itu mengulas tentang arahan kerajaan Kelantan yang diterajui PAS untuk menutup warung makan sementara solat Tarawih dijalankan, Lim turut melontarkan soalan kepada Parti Bersatu Sabah (PBS).

Kata Lim, adalah calon PBS Linda Tsen bersetuju polisi tersebut dilaksanakan di Sabah.

Untuk rekod PAS Sabah mengadakan kerjasama secara rasmi dengan PBS di sebalik pendirian parti berpangkalan di Sabah itu menentang pelaksanaan hudud.

Hubungan berkenaan diumumkan kira-kira seminggu sebelum PRK Sandakan diadakan esok. 

Sebelum ini, Lim membidas PBS kerana mendapatkan sokongan Umno dan PAS ketika kedua-dua parti Melayu Islam itu didakwanya tidak membantu rakyat Sandakan.

“Adakah Umno boleh dipercayai lagi? Apakah Umno boleh membantu kita? Apa yang dia boleh minta rakyat buat? Dia cuma boleh minta kita membuat perkara jahat, makan suap dan rasuahlah,” katanya.

Untuk menyerang PAS Lim menjadikan arahan agar perniagaan kedai makan dan restoran di seluruh negeri ditutup bermula jam 8.30 hingga 10 malam sepanjang Ramadan ini sebagai contoh.

Semua orang Malaysia

“PAS lagi teruk. Sekarang kerajaan Kelantan (pada bulan Ramadan) melarang peniagaan dari 8.30 hingga 10 malam.

"Ini telah menyebabkan kerunsingan peniaga Melayu dan Muslim.

“Anda memanggil orang sebegini untuk membantu pembangkang? Anda mahu dilarang berniaga dari pukul 8 hingga 10 malam?

“Jangan.... ini umpama menabur pasir dalam periuk nasi. Tidak boleh,” katanya.

Untuk rekod semalam Malaysiakini melaporkan kerajaan Kelantan berkata pengusaha kedai makan atau restoran di negeri itu boleh meneruskan aktiviti perniagaan mereka seperti biasa.

Timbalan Menteri Besar Mohd Amar Nik Abdullah berkata hal itu kerana arahan penutupan sementara kedai makan pada jam 8.30 hingga 10 malam sepanjang Ramadan yang dikeluarkan oleh Setiusaha Kerajaan Negeri masih di peringkat awal.

"Belum ada arahan lagi kepada peniaga, PBT pun tak keluarkan apa-apa arahan lagi kepada peniaga. Masih boleh niaga seperti biasa," katanya. 

Dalam ceramah sama Lim turut mendakwa Umno dan PAS menganggap orang bukan Melayu dan bukan Muslim tidak setaraf dengan mereka.

“Parti ekstremis tersebut, selain rasis mereka juga antiorang bukan Melayu dan Muslim dan nak menghapuskan hak orang bukan Muslim.

"(Misalnya) orang bukan Melayu tidak boleh menjadi menteri.

“Ini adalah kenyataan Umno dan PAS. Orang bukan Melayu tidak boleh menjadi menteri.

"Kita semua orang Malaysia, kan? Kenapa tidak boleh menjawat jawatan menteri, adakah anda tidak mahu Lim Guan Eng menjadi menteri kewangan?” katanya lagi.

Lihat Komen
ADS