Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Penulis kreatif dan penerbit buku, Firdaus Abdillah Hamzah atau lebih dikenali sebagai Pipiyapong telah dilepaskan dengan jaminan polis, maklum sumber yang dekat dengan kes ini.

Pembebasan Pipiyapong dibuat kira-kira sejam selepas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkicau di Twitter menyatakan rasa kesal dengan berita tangkapan seorang penulis susulan “satu tweet mengenai anak raja".

Sumber memberitahu Malaysiakini, berkata Pipiyapong telah menyerahkan telefon bimbitnya kepada pihak polis selepas diminta berbuat demikian oleh pihak berkuasa.

Pipiyapong, kata sumber telah dibebaskan sekitar jam 4.45 petang tadi di Balai Polis Tampoi Johor Bahru.

“Semalam dia (Pipiyapong) ditahan di Kuala Lipis Pahang dan dibawa ke Balai Polis Johor sekitar jam 11 malam.

“Pagi ini dia (Pipiyapong) dibawa ke mahkamah untuk proses tahan reman dan petang tadi baru dijalankan siasatan,” katanya.

'Akta sakit hati'

Berita penangkapan Pipiyapong telah dimuat naik oleh aktivis dan pereka grafik Fahmi Reza melalui laman facebook peribadi beliau tengah hari tadi.

Fahmi yang terkenal dengan 'karikatur badut' juga mengkritik kerajaan sekarang supaya tidak mengikuti perangai kerajaan dahulu dengan menyekat pengguna media sosial.

Fahmi melalui hantaran itu juga berkata Pipiyapong berkemungkinan besar ditahan dibawah 'akta sakit hati' berkaitan ciapan mengenai seorang anak raja.

Dr Mahathir pada siri ciapan di Twitternya petang ini menjelaskan rakyat bebas untuk mengkritik pemimpin jika perlu dan menekankan kebebasan bersuara adalah penting di dalam sesebuah demokrasi.

Kemudiannya, Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertitah istana Johor tiada kaitan dengan penahanan seorang penulis yang dikatakan mengkritik seorang putera raja.

Mengulas lanjut hal ini, sumber memaklumkan Pipiyapong ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 namun menyifatkan akta tersebut disalah guna.

“Akta Seksyen 233 tidak patut disalah guna.

“Ini kerana tiada kenyataan bertulis dikeluarkan oleh Pipiyapong yang boleh disabitkan atas Seksyen tersebut,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Menurut sumber lagi, siasatan terhadap kes ini boleh dianggap remeh dan tiada keperluan untuk penulis itu ditahan semalaman.

Menurut sumber lagi, buat masa ini, tiada tindakan lebih lanjut dilihat untuk susulan kes Pipiyapong.

“Buat masa ini tiada apa-apa pertuduhan lagi, kami sedang menunggu keputusan dari pihak polis.

“Saudara Firdaus (Pipiyapong) juga telah memberi kerjasama sebaiknya dari awal ditahan sehingga dilepaskan,” katanya.

Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan kesalahan bagi penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian bagi menyebarkan kandungan berunsur lucah, sumbang, palsu, mengancam dan jelik dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau menggangu orang lain.

Lihat Komen
ADS