Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Beberapa pelajar lepasan Matrikulasi menyuarakan pendapat berbeza berhubung kenyataan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad yang menyifatkan institusi tersebut sebagai pintu belakang untuk kemasukan ke universiti awam.

Pelajar lepasan Matrikulasi Kelantan, Muhamad Fahmi Sahruddin, 23, berkata, tindakan melabelkan Matrikulasi sebagai pintu belakang merendahkan nilai institusi tersebut.

“Ramai saja orang Melayu yang berjaya pada hari ini datang dari Matrikulasi.

“Bagi saya, Matrikulasi bukan pintu belakang tetapi lebih kepada alternatif untuk membantu pelajar Melayu menyiapkan diri ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA),” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Turut sependapat dengan Muhammad Fahmi ialah Azim Asyraf Abdul Ghafar, 24 yang menyifatkan kenyataan Perdana Menteri itu sebagai tidak tepat.

“Kemasukan Matrikulasi mempunyai cabaran dan halangan yang sukar ditempuh. Kami (pelajar Matrikulasi) terpaksa melalui beberapa ujian untuk menyiapkan diri sebelum ke IPTA.

“Program ini adalah satu platform buat membantu orang Melayu supaya lebih bersedia ke peringkat Ijazah Sarjana kelak,” katanya yang merupakan seorang pelajar lepasan Matrikulasi Melaka.

Matrikulasi merupakan program yang disediakan pada tahun 1999 oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi pelajar Bumiputera.

Ia bertujuan membantu pelajar melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah pertama dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan, matematik (STEM) profesional.

Mahathir baru-baru ini berkata ramai pelajar Melayu tidak mahu melalui Sijil Pengajian Tinggi Malaysia (STPM) untuk ke pengajian tinggi sebaliknya menjadikan Program Matrikulasi sebagai laluan alternatif kedua.

Pada 29 April lalu, Menteri Pendidikan Maszlee Malik mengumumkan penambahan kuota ke program Matrikulasi daripada 25,000 kepada 40,000 pelajar.

Penambahan itu membolehkan peningkatan pelajar bukan Melayu dan pada masa sama mengekalkan kuota pengambilan pada tahap 90 peratus Bumiputera.

Menurut Siti Nahdatul Nissa Rumlan, 23, pengunaan perkataan pintu belakang tidak relevan pada masa kini kerana Matrikulasi kini dianggap setaraf STPM.

“Mungkin pada masa dahulu ia boleh dikatakan sedemikian kerana standard STPM sangat tinggi. Maka ramai yang beralih kepada Matrikulasi,” katanya yang merupakan pelajar lepasan Matrikulasi Negeri Sembilan.

Jelas Siti yang kini merupakan pelajar Ijazah Sarjana Undang-Undang di Universiti awam, modul yang ditawarkan di Matrikulasi lengkap sebagai persiapan ke IPTA.

“Kelayakannya mungkin lebih rendah daripada pengajian asasi dan STPM. Namun dengan struktur pengajian Matrikulasi dapat membantu saya melanjutkan pelajaran ke IPTA,” katanya.

Sementara itu, Umu Kalthum Abd Latip, 19 pula mengakui kenyataan Perdana Menteri mempunyai kebenarannya namun ia bukan jalan mudah buat pelajar Melayu memasuki IPTA.

“Ia (Matrikulasi) memang membantu ke IPTA. Tetapi untuk ke institusi tersebut perlu keputusan yang baik dari Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Jika dikatakan mudah buat semua golongan Melayu. Tidak sama sekali,” katanya yang merupakan pelajar lepasan Matrikulasi Selangor.

Sementara itu, Adil Alimi Mohd Radzi, 23 pula bersetuju dengan pandangan Mahathir dengan mengakui lebih ramai pelajar Melayu menyertai Matrikulasi.

Katanya, silibus yang mudah antara faktor ramai pelajar Melayu tertarik ke Matrikulasi berbanding memasuki pra-universiti (STPM).

“Maka Matrikulasi menjadi destinasi utama bagi kebanyakan pelajar Melayu yang berhasrat ke IPTA," katanya yang merupakan pelajar lepasan Matrikulasi Kedah.

Lihat Komen
ADS