Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Parlimen akan perkenal Waktu Pertanyaan Perdana Menteri

Waktu Pertanyaan Perdana Menteri adalah salah satu daripada tiga  pembaharuan parlimen yang akan dibentangkan dalam sesi parlimen pada Julai.

Perkara itu dinyatakan Timbalan Speaker, Nga Kor Ming semasa forum "New Malaysia - Old Politics" di Wisma Methodist di Kuala Lumpur hari ini.

Waktu Pertanyaan Perdana Menteri adalah mengikut amalan sama dilakukan di United Kingdom (UK), kata Nga.

Di UK, ia diadakan dalam satu sesi setiap Rabu di mana Perdana Menteri memperuntukkan kira-kira 30 minit bagi menjawab soalan daripada anggota parlimen.

"Ini adalah salah satu amalan terbaik yang dilaksanakan di House of Common di UK.

"PM akan datang untuk menjawab soalan oleh anggota Parlimen, dan dia tidak boleh mewakilkan tugas itu kepada timbalannya.

"Kami sebenarnya merancang untuk menyiarkan secara langsung Waktu Pertanyaan Perdana Menteri, jadi anda tidak perlu bergantung pada berita lain yang tidak berasas," kata Nga dalam ucapannya.

Nga berkata perubahan seterusnya adalah pengenalan Hari Kementerian.

"Sebagai contoh, Isnin adalah hari Kementerian Kewangan, maka menterinya Lim Guan Eng diwajibkan untuk datang dan menjawab soalan-soalan yang berkaitan dengan kementeriannya. 

"Untuk hari-hari lain, beliau boleh menumpukan perhatian kepada kerjanya dan dia tidak perlu menghabiskan keseluruhan minggu dalam parlimen," katanya.

Kerajaan juga akan mencadangkan Suruhanjaya Perkhidmatan Parlimen 2019 dalam sidang seterusnya untuk memisahkan parlimen daripada kuasa eksekutif melalui Jabatan Perdana Menteri.

Pada masa ini, menteri undang-undang, Liew Vui Keong bertanggungjawab terhadap hal ehwal parlimen.

"Kami mahu menjadikan parlimen sebagai dewan yang bebas selaras dengan doktrin pemisahan kuasa.

"Struktur sekarang adalah parlimen tertakluk kepada jabatan Perdana Menteri, ia tidak masuk akal. Ia harus bebas daripadanya," kata beliau.

Untuk rekod, Nga menyebut mengenai rancangan untuk menggubal rang undang-undang berkenaan pada Oktober tahun lepas.

Lihat Komen
ADS