Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan mempertahankan tindakannya menggelarkan Presiden PKR Anwar Ibrahim sebagai bekas banduan.

Takiyuddin menyarankan pihak yang menggesanya memohon maaf berhubung kenyataannya itu menyemak fakta kes mahkamah yang melibatkan Anwar.

"Saya (bercakap) berdasarkan fakta dan (saya) minta orang yang menyeru saya supaya minta maaf itu agar semak pada fakta dan undang-undang, sebab kes ini adalah diputuskan di mahkamah.

"Dan negara kita ada undang-undang yang jelas mengenai kedudukan orang yang disabitkan oleh mahkamah, dia kena semaklah.

"Saya sudah semak, kalau tak, saya tak sebutlah," katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa sempena sambutan ulang tahun Umno ke-73 di Kuala Lumpur, malam tadi.

Ditanya sama ada beliau benar-benar pasti dengan kenyataannya itu, Takiyuddin secara ringkas berkata: "Ya, saya sudah amat pasti".

Perlekeh pengampunan diraja

Ketika berucap pada kempen PRK Sandakan Rabu lalu, Takiyuddin mempersoalkan sama ada rakyat mahu seorang bekas banduan seperti Anwar sebagai bakal perdana menteri.

Jelas Takiyuddin, pensabitan kesalahan ke atas Anwar dibuat oleh Mahkamah Persekutuan dan tidak lagi boleh dipersoalkan.

Takiyuddin merujuk kepada keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan bagi membatalkan keputusan tidak bersalah Anwar dalam kes liwat II oleh Mahkamah Tinggi.

Presiden PKR itu dihukum penjara lima tahun pada 2015.

Bagaimanapun, selepas pertukaran kerajaan pusat melalui kemenangan PH pada pilihan raya umum tahun lalu, Anwar mendapat pengampunan penuh daripada Yang di-Pertuan Agong ketika itu.

Kenyataan Takiyuddin itu mengundang kritikan pemimpin PH yang menyifatkan ia sebagai memperlekeh pengampunan Yang di-Pertuan Agong terhadap Anwar, selain menggesa agar pemimpin PAS itu memohon maaf.

Mengulas isu sama di Twitter, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata pengampunan penuh yang diberikan kepada Anwar sudah membersihkan rekod jenayah pemimpin PKR itu.

Lim juga menyifatkan kenyataan Takiyuddin sebagai "melawan" keputusan Yang di-Pertuan Agong ketika itu,  Sultan Muhammad V.

"Anwar bukanlah banduan lagi. Takkan seorang peguam tak faham (perkara ini).

"Siapa yg lawan raja sekarang? PAS hanya nak aibkan dan fitnahkan yang tak bersalah," katanya.

Lihat Komen
ADS