Prosedur operasi standard (SOP) pengambilan anggota bomba wanita akan diperbaharui bagi memberi peluang lebih ramai golongan hawa menyertai pasukan penyelamat itu, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin.
Zuraida berkata pihaknya meminta Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Muhammad Hamdan Wahid mengkaji semula proses dan ujian fizikal agar pengambilan golongan wanita dipermudahkan.
"Ketika ini peluang pekerjaan (anggota bomba) dibuka untuk semua tetapi golongan wanita kurang memohon kerana mereka menjangkakan kerja ini tidak sesuai dengan melibatkan banyak tugas-tugas fizikal yang agak kasar seperti panjat bangunan atau memadamkan kebakaran.
"Sebenarnya, ada banyak lagi tugas anggota bomba yang memerlukan penglibatan wanita seperti memberi latihan kesedaran dan kaunseling kepada orang awam khususnya suri rumah mengenai program-program pencegahan kebakaran," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perjumpaan bersama warga JBPM Perak yang turut disertai pengarahnya, Azmi Osman di Balai Bomba Meru Raya di Ipoh hari ini.
Zuraida berkata daripada 14,000 anggota anggota JBPM ketika ini, hanya lebih 200 orang - atau 5 peratus - terdiri daripada wanita.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata penilaian teknikal ke atas syarikat yang berjaya memperoleh tender bagi pembelian baju kalis api untuk anggota bomba kini dalam peringkat akhir.
Beliau berkata baju kalis api baharu itu bagi menggantikan pakaian sedia ada, akan diuji terlebih dahulu bagi memenuhi piawaian yang ditetapkan.
Media sebelum ini melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia merampas 6,000 baju kalis api bernilai RM13.5 juta selepas kontraktor dilantik membekalkan pakaian yang berisiko kepada anggota bomba biarpun bernilai RM2,400 hingga RM2,500 sepasang.
Malah, sembilan balai bomba di seluruh negara berdepan masalah kekurangan baju kalis api pada tahap kritikal berikutan tiada pembelian baru dibuat sejak dua tahun lalu, memaksa anggota JBPM menggunakan pakaian usang atau berkongsi dengan rakan yang tidak bertugas jika berlaku kebakaran.
- Bernama
