Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Setelah sekolah kembali dibuka selepas rusuhan kaum 13 Mei 1969, pertemuan semula pelajar Melayu dan Cina pastilah diganggu rasa prejudis dan janggal.

Tetapi bagi seorang bekas pelajar St John's Institution, Kuala Lumpur, Mohsin Abdullah, perkara itu tidak berlaku walaupun ada rakan karibnya berbangsa Cina yang nyaris terbunuh.

“Kalau kau biasa dengan Kampung Baru, dulu di situ ada perkampungan Cina tau. Orang Cina duduk di rumah batu sederet, dan ada juga rumah-rumah kedai orang Cina. Dulu.

“Ada kawan aku (berbangsa Cina), dia kena serang. Orang Melayu datang serang, dia kena lari dengan keluarga dia, ramai-ramai masuk dalam kereta, abang dia bawa kereta. Masa itu baru mula adegan keganasan.

“Dia keluar daripada kawasan Kelab Sultan Sulaiman, Melayu serang (lagi). Berlubang-lubang kereta dia, tapi selamat, dapat lari. Sekolah sama dengan aku, satu kelas, sampai sekarang aku baik dengan dia,” kata Mohsin, 64, kepada Malaysiakini.

Biarpun berdepan pengalaman mengerikan diburu sekumpulan orang Melayu ketika tragedi itu, menurut Mohsin, rakan karibnya dipanggil Michael Chang itu tidak pernah menyimpan rasa benci terhadap orang Melayu.

“Dia pernah kerja ada jawatan yang baik, yang dia boleh ambil orang (bekerja). Tapi dia tak ada berat sebelah terhadap orang Melayu,” tambah Mohsin yang juga seorang wartawan veteran.


Baca: 13 Mei, moga tak berulang


Mohsin dan Michael merupakan saksi mata yang pernah menyaksikan tragedi berdarah 13 Mei di depan mata.

Ketika kejadian, mereka yang berusia 14 tahun tinggal di kawasan Kampung Baru yang menurut Mohsin, mempunyai “kawasan Melayu” dan “kawasan Cina”.

Bagaimanapun, sejak lari daripada kawasan perumahannya pada petang 13 Mei, Michael dan keluarganya tidak lagi pulang untuk tinggal di kejiranan lama mereka di Kampung Baru.

Namun, dia masih bersekolah di sekolah yang sama di St John, Jalan Bukit Nanas.

Michael ialah salah seorang daripada beberapa kenalan Mohsin yang terpaksa meninggalkan rumah yang didiami sejak kecil akibat rusuhan tersebut.

Seorang lagi rakan sebayanya, Teh Jit Siang, turut mengalami pengalaman hampir serupa apabila sekumpulan orang Melayu “dari luar” ingin menyerang rumahnya di Kampung Baru.

Bagaimanapun, Teh dan keluarganya dipertahankan oleh jiran-jiran Melayu yang tinggal di sekitar situ.

“Kalau kau duduk di situ, kau kenal (jiran-jiran), ini orang luar, nak tabuh (pukul) mereka, dengan parang apa semua. Kumpulan Melayu juga yang pertahankan. Walaupun dalam keadaan macam itu, dengan kebencian, masih ada lagi sifat kasih sayang.

“Mereka (jiran Melayu) hentikan, dan orang itu pun dengar (akur). Tapi jiran nasihatkan kena larilah dari situ, tak boleh duduk situ. Mereka dapat lari. Tapi rumah terbakar,” katanya lagi.

Mohsin Abdullah

Perkara itu diakui oleh Mohsin sendiri, yang berkata itulah kali pertama dia melihat orang Melayu seramai itu ada di Kampung Baru.

“Tapi yang sedih, kawan-kawan aku rumahnya dibakar. Cikgu tingkatan aku, Rene Chang, rumah dia pun kena (bakar). Tapi bila sekolah buka balik, macam itu juga dia layan kita, tak ada prejudis.

“Pada masa itu, sudah tentu (sepatutnya) ada yang prejudis. Tapi pengalaman peribadi aku, tak ada. Semua okey.

“(Dalam kes Rene Chang) padahal dia cikgu, dia boleh saja main sikit prejudis (kalau dia mahu). Tak ada. Itu aku sangat-sangat hargai,” sambungnya lagi.

Berpeluang menemu bual Michael, Malaysiakini mendapatkan butiran kejadian mencemaskan yang menimpanya dan keluarga.

Dukung parang

Menurut Michael, pergaduhan antara kumpulan kongsi gelap sememangnya sering tercetus di kawasan perkampungan Cina di Kampung Baru.

Sangkanya, kekecohan yang berlaku di luar rumahnya pada jam 6.30 petang 13 Mei itu juga pergaduhan biasa.

“Semua budak lari balik rumah, tutup pintu semualah, ingatkan ada geng bergaduh. Kami lihat belakang rumah, di situ ada satu rumah Melayu. Penghuninya lari keluar bawa banyak parang, macam orang yang dukung bayi, tapi dukungannya penuh parang,” ungkapnya dalam wawancara bersama Malaysiakini.

“Jadi selepas 10-20 minit, kami ambil keputusan untuk larilah. Kami semua enam orang: emak, saya, tiga kakak dan abang yang bawa kereta. Ayah dan kakak sulung tinggal di rumah, kereta tak cukup tempat.

“Sampai di simpang Jalan Hale (kini Jalan Raja Abdullah) dan Jalan Stony (kini Jalan Dewan Sultan Sulaiman), kalau pusing ke kiri akan ke Majid Kampung Baru dan Stadium TPCA (Tamilian Physical Cultural Association: kini Stadium Jalan Raja Muda), kalau belok kanan akan ke Jalan Campbell (kini Jalan Dang Wangi).

“Kami ikut Jalan Campbell. Selepas belok, kami nampak begitu ramai orang di depan, kalau perkiraan saya, paling kurang dalam beberapa ratus. Dulu, Jalan Hale hanya dua lorong, [...] di tengah-tengah lorong itu ada dua buah motosikal sudah terbakar,” katanya.


Anda ada cerita 13 Mei? Sertai perbincangan dan kongsi kisah anda di sini.


Menurut Michael, pada masa itulah kereta keluarganya diserang oleh perusuh tersebut dengan pelbagai jenis senjata sehingga semua tingkap keretanya pecah. 

“Abang saya tekan petrol, kereta bergerak laju. Masa sampai ke rusuhan itu, mereka kerumuni kereta, kereta tak berhenti. Mereka hentam kereta dengan macam-macam senjata. Semua tingkap kereta pecah. Kami jeritlah. Nasib baik abang saya, dia terus jalan laju.

“Kalau kereta perlahan, bererti saya pun sudah tak ada lagi dekat sini,” ceritanya lagi.

Setelah berjaya lolos ke Jalan Campbell, mereka ke Jalan Tuanku Abdul Rahman. Di situ dia lihat semua orang sedang lari.

Michael Chang

“Semua orang berlari, kiri kanan depan belakang. Belum ada masalah (rusuhan) masa itu, tapi orang sudah lari. Masa itu lebih kurang pukul 7 petang. Orang berlari, saya tak tahu mereka hendak ke mana.

“Apabila sampai di Globe Silk Store di Emporium Selangor dulu, pada masa itu kami nampak ramai orang sudah tak tahu hendak buat apa. Sudah kucar-kacir,” ceritanya lanjut.

Biarpun tiada yang cedera, Michael memberitahu keadaan keretanya kemik teruk dan dipenuhi kaca. Malah katanya, serpih kaca turut bertabur dalam rambut mereka sekeluarga.

Mereka bermalam di rumah emak saudaranya di Jalan Klang Lama.

“Kami mandi, bersihkan diri, bersihkan kaca (dari badan). Malam itu, barulah kami dengar di radio, ada masalah di KL; di Kampung Baru, Kampung Kerinchi, Pantai, Chow Kit, Jalan Ipoh - di bahagian situlah.

“Keesokan paginya, kami lihat kereta kami ada beberapa lubang, bukan kemik saja. Kami tak tahu senjata apa boleh buat lubang pada badan kereta sebegitu. [...] Satu lubang itu, hanya kira-kira 2 inci dari cermin depan. Saya ingat, kalau kereta bergerak cepat sikit, mungkin dah kena abang saya punya tangan ke, perut ke, atau kepala. Mana tahu kan?” katanya.

Sejak hari itu, katanya, dia tidak mendapat khabar berita tentang ayah dan kakak sulungnya sehingga tiga minggu lamanya.

Malah, berita rumahnya dibakar juga hanya diketahui selepas satu minggu.

Rumah terbakar di Kampung Baru. Gambar ini diambil tidak lama selepas peristiwa itu.

Menurut berita yang sampai ke pengetahuannya sekeluarga, rumah orang Cina di Kampung Baru habis dibakar pada hari ketiga rusuhan, iaitu hari Khamis.

“Selepas satu minggu, ada kita dapat berita, penduduk sana (Kampung Baru) yang bertanggungjawab (maklumkan supaya) mak bapa saya baliklah tengok rumah, kalau masih ada apa, kalau ada nak simpan ke, nak cari ke, bolehlah pergi cari,” katanya yang kini tinggal di Petaling Jaya.

Bercerita lanjut, Michael memberitahu, selepas tiga minggu, mereka mendapat tahu ayah dan kakak sulungnya selamat dan tinggal di Stadium Chin Woo. Justeru, mereka sekeluarga juga turut ke Stadium Chin Woo dan tinggal di situ untuk kira-kira tiga bulan.

Selepas daripada itu, satu keluarga peniaga Cina membenarkan mereka tinggal di sebuah rumah di Jalan Kia Peng, di belakang rumah banglo keluarga tersebut.

Michael dan keluarganya tinggal di situ selama enam bulan.

Biarpun tidak mengingati secara tepat bilakah sekolah dibuka semula (sekolah dibuka ketika dia masih tinggal di Stadium Chin Woo), tetapi Michael tetap ingat bahawa tiada ketegangan antara pelajar dan guru di St John tempatnya belajar, biarpun terdiri daripada pelbagai kaum baik Melayu, Cina dan India.

“Tingkatan dua masa itu, boleh kata amat mudalah, tak ada rasa apa. Kalau tingkatan lima atau enam, mungkin ada ketegangan. Sekolah itu pelajar dan gurunya campur semua kaum.

“Agak malanglah kejadian itu berlaku. Tapi, sepanjang saya membesar, secara peribadi saya tak ada isu dengan kawan-kawan Melayu, India mahupun Cina sekalipun. Tak ada masalah langsung. Saya tak simpan dalam hati.

“Tak ada salahnya dengan mereka. Masalah (ditimbulkan) bukan oleh semua Melayu. Masalahnya hanya ada ditimbulkan oleh sekumpulan kecil sahaja,” katanya lagi yang telah bersara sebagai seorang akauntan.

Pandangan Michael itu turut dikongsi oleh Mohsin yang berpendapat, sikap tidak menyimpan benci seperti yang ditunjukkan Michael, Teh dan Rene, bukanlah kes langka dalam kejadian 13 Mei.

Kemanusiaan tetap ada

Kata Mohsin, daripada pengalaman orang-orang terdekatnya sendiri, dia amat yakin buat sebahagian besar rakyat, seberapa marah pun perasaan mereka, rasa kemanusiaan itu tetap ada dalam diri masing-masing.

Menurut Mohsin, atas dasar kemanusiaanlah, banyak pihak yang sanggup membantu menyembunyikan kaum lain di rumah sendiri, biarpun berdepan dengan risiko dituduh pengkhianat oleh kaum sendiri.

“Jiran depan rumah aku, Pak cik Rahim. Dia ada dua kontraktor Cina yang sedang baik pulih rumah sejak pagi (13 Mei). Bila berlaku itu, Cina itu masih ada di rumahnya. Dia simpan.

“Dia simpan seminggu. Semua orang tak tahu, kami pun (jiran terdekat) tak tahu.

“Aku punya sepupu, Osman, dia pemandu kepada tauke Cina. Penduduk Cina di Chow Kit tahu tauke ini ada pemandu Melayu. (Pada 13 Mei) Mereka datang cari, tanya tauke mana Osman?

“Tauke cakap dah balik, padahal dia sorokkan Osman atas siling. Osman beritahu, nampak mereka datang dengan parang-parang. Seminggu dia sembunyi (di rumah tauke),” katanya lagi.

Pelacur lari ke Masjid Jamek

Tambah Mohsin, ketika tragedi itu sedang memuncak, balai polis menjadi tempat perlindungan buat semua kaum, manakala rumah ibadat pula menerima penganut agama masing-masing yang mencari perlindungan tanpa mengira latar belakang mereka.

“Masjid Jamek Kampung Baru itu dah jadi macam kem pelarian. Ramai orang datang. Orang yang tersangkut nak balik kerja, lari ke situlah. Mana nak lari lagi?

“Dekat Chow Kit, di hotel-hotel kecil, ada banyak pelacur-pelacur Melayu yang lari ke masjid. Duduk di situ.

“Pak imam tahu mereka kerja apa, tapi tak apa-apa. Ramai duduk dekat masjid. Dalam pukul 10 malam, baru askar masuk. Tapi selepas empat ke lima hari, baru mereka bagi makanan.

“Kena bagi makanan kerana perintah berkurung di kawasan-kawasan hangat macam Kampung Baru, Kampung Pandan dan beberapa tempat, dia punya perintah berkurung 24 jam selama 10 hari terus-menerus. Tempat lain ada kendur (kelonggaran),” katanya lagi.

Tambahnya, selain menjadi tempat perlindungan, masjid juga menjadi seperti pusat arahan bagi menggerakkan orang Melayu di Kampung Baru untuk membantu mereka yang ‘tersangkut’ di kawasan-kawasan lain.

“Dia macam bagi arahan, untuk tolong (orang Melayu). ‘Orang kita sangkut di sini, pergi tolong’. Dia tak suruh serang, setakat yang aku dengar,” katanya lagi.

Berdasarkan pengalamannya melalui hari cemas tersebut, seperti yang pernah dinukilkan dalam tulisan-tulisannya sebelum ini, Mohsin menganggap 13 Mei sebagai hari orang Melayu dan Cina sama-sama kalah.

“Dalam malam ketiga selepas 13 Mei, sekitar 15 haribulan. Malam itu hujan, dalam pukul 11 malam, ada orang surau datang ketuk rumah abang ipar aku, Hashim Mohd (allahyarham) di Taman Ibukota (Setapak).

“Rupanya nak minta bantuan untuk kebumikan jenazanah orang Melayu yang datang dari hospital. Dalam sebelas mayat. Askar yang bawa menaiki trak.

“Tapi pada masa itu, takkan askar nak uruskan semua itu kan? Hantar ke suraulah.

“Maksud aku cakap begini, orang Cina kena, orang Melayu pun kena. Dua-dua,” katanya lagi.

Oleh sebab itulah, dia berpendapat, isu perkauman dan agama tidak sepatutnya digunakan sebagai permainan ahli politik daripada mana-mana pihak.

“Jangan bagi ancaman terhadap sesuatu kaum. Kamu kata kaum itu kalah. Hakikatnya, semua orang kalah. Itu datang dari lubuk hati aku.

“Yang tukang cakap pun (ahli politik), ada yang masih muda, tak ada pun masa zaman itu (13 Mei). Kalaupun dia dah wujud waktu itu, tapi dia tak ada di sini (kawasan tegang ketika 13 Mei).

“Jadi, janganlah main benda-benda ini,” katanya.

Menurut Mohsin, beberapa bulan pertama selepas tercetusnya tragedi hitam tersebut, masyarakat berbilang kaum hidup dalam keadaan yang sensitif.

Pergaduhan susulan antara kaum Melayu, Cina dan India beberapa kali tercetus dalam tempoh itu akibat penyebaran khabar angin tidak benar namun tidak merebak ke pergaduhan lebih besar.

“Dalam Jun, Julai dan Ogos itu, semua orang nak kebal. Semua orang pakai selempang merah (tangkal kebal). Di Kampung Baru pun ada kiai dari luar datang ajar ilmu kebal.

“Yang baiknya, ramai orang tiba-tiba sembahyang. Empat bulan, lepas itu habislah (tidak sembahyang lagi). Banyak yang belajar silat, yang berniaga, dan yang pakai songkok.

“Dalam tiga empat bulan selepas itu, keadaan dah tenang sikit, tapi masihlah orang Melayu tak mahu pergi Chow Kit. Selepas kira-kira lapan bulan macam itu, barulah mereka pergi balik ke Chow Kit (membeli barang),” katanya.

Jamuan durian

Menurutnya lagi, memandangkan hubungan yang tidak mesra antara kaum, pihak kerajaan juga ada menganjurkan beberapa kempen bagi mengeratkan hubungan sesama kaum.

“Beberapa bulan selepas itu, nak bagi berbaik balik Cina dengan Melayu, kerajaan buat program parti muhibah, tapi yang melaksanakannya ialah askar Melayu.

“Dia bagi makan durian dekat tengah-tengah kawasan Kampung Baru (sekarang Jalan Raja Alang). Dulu ada jambatan di situ. Buat jamuanlah di situ, makan durian.

“Askar di tengah-tengah, orang Melayu buka durian, bagi pada orang Cina, orang Cina itu ambil. Masuk muka depan Straits Times keesokan harinya,” ceritanya lagi sambil ketawa.

Selain itu, tambahnya lagi, turut ditampal poster kempen “Jangan dengar khabar angin” di sekitar Kuala Lumpur dengan gambar jari telunjuk, bagi mengekang penularan khabar-khabar angin yang boleh mencetuskan pergaduhan kaum.

Ditanya tentang Michael, yang diceritakan pada awal-awal temu bual, Mohsin memberitahu, mereka masih akrab sehingga ke hari ini.

“Aku ada bawa Michael balik ke Kampung Baru, tengok balik (kawasan rumah lama). Dia pergi dengan kakaknya. Ibu dan ayahnya sudah tak ada.”

Sepanjang temu bual, Mohsin menceritakan pengalamannya mengharungi ketegangan 13 Mei seolah-olah kejadian itu baru berlaku beberapa bulan yang lepas.

Biarpun ada sedikit-sebanyak yang dia terlupa, tetapi banyak perkara yang diceritakannya disampaikan dengan terperinci, termasuk nama mereka yang terlibat, nama jalan dan lorong.

Akui Mohsin, kejadian 13 Mei 1969, biarpun setelah 50 tahun berlalu, masih begitu segar dalam ingatannya.

“Memang dah lama, tapi masih segar. Kau boleh terbayang-bayang lagi,” ujarnya perlahan mengakhiri temu bual.

Baca artikel berkaitan

13 Mei, moga tak berulang

Menyelak rahsia untuk membantu mangsa 13 Mei atasi trauma

Kenangan 13 Mei: Dari rumah Datuk Harun ke Chow Kit

50 tahun insiden 13 Mei, di mana jalan perdamaian?

Gadai nyawa selamatkan jiran pada 13 Mei 1969

Pembunuhan dan haru-biru di Kampung Baru

ADS