Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ramaikan bomba wanita di bidang bukan operasi - Kesatuan pekerja
Diterbitkan:  May 14, 2019 9:21 PM
Dikemaskini: 1:21 PM

Pengumuman kerajaan untuk memudahkan proses pengambilan bagi meramaikan golongan wanita dalam jabatan bomba disambut baik oleh Presiden Kesatuan Pekerja Bomba Semenanjung Malaysia, Salimin Ayed.

Bagaimanapun, katanya, pengambilan itu boleh dilakukan untuk bidang tugas yang bukan melibatkan operasi menyelamat secara langsung.

Ssalimin sependapat dengan kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Zuraida Kamaruddin kelmarin yang menyebut ujian fizikal untuk pengambilan anggota bomba wanita wajar dipermudahkan dan tidak terlalu berat seperti ujian yang dikenakan ke atas calon lelaki.

“Kalau kita tengok negara-negara luar pun, memang boleh dikatakan peratusan bomba wanita amat rendah sekali.

“[...] Kalau penglibatan dalam perkhidmatan seperti itu (bukan operasi), kita terima. Jadi daripada segi cara pengambilan itu, maknanya mereka tak perlu diuji fizikal terlalu berat.

“Lebih lihat kepada akademik, pelajaran dan rekod prestasi dalam aktiviti kemasyarakatan mereka,” katanya kepada Malaysiakini.

Salimin jua menyambut baik hasrat Zuraida yang mahu lebih ramai wanita menyertai pasukan bomba.

"Ketika ini peluang pekerjaan (anggota bomba) dibuka untuk semua tetapi golongan wanita kurang memohon kerana mereka menjangkakan kerja ini tidak sesuai dengan melibatkan banyak tugas-tugas fizikal yang agak kasar seperti panjat bangunan atau memadamkan kebakaran.

"Sebenarnya, ada banyak lagi tugas anggota bomba yang memerlukan penglibatan wanita seperti memberi latihan kesedaran dan kaunseling kepada orang awam khususnya suri rumah mengenai program-program pencegahan kebakaran," kata menteri itu.

Mengulas lanjut, penggerak kesatuan sekerja bomba itu memberitahu, isu tentang ujian fizikal ke atas calon anggota bomba wanita bukan perkara baru, malah pernah dibangkitkannya ketika dia berada dalam perkhidmatan lagi.

“Saya pernah pertikaikan [...], kenapa pengambilan wanita ni dia punya temuduga praktikal itu kenapa perlu buat sebagaimana lelaki?

“Kalau (ujian) naik tangga tu naik sampai setengah pun cukup, tak perlu semua (sampai habis), janji kita nak tengok kekuatan mereka (calon anggota) itu sejauh mana.

“Mereka ini wanita. Kita kena fikirkan wanita. Dalam seribu, mungkin satu wanita yang cergas, yang boleh (buat) ujian macam lelaki,” katanya lagi.

Kelmarin, Zuraida turut mendedahkan, daripada 14,000 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) ketika ini, hanya lebih 200 orang - atau 5 peratus - terdiri daripada wanita.

Kekurangan golongan itu dalam perkhidmatan bomba turut dialami oleh negara-negara lain di seluruh dunia. Menurut perangkaan oleh National Fire Protection Association (NFPA), daripada tahun 2012 hinga 2016, hanya purata 4.5 peratus anggota bomba terdiri daripada wanita.

Sementara itu, aktivis wanita daripada badan bukan kerajaan (NGO) Gerakan Pembebasan Wanita (GPW) Shaqirah Shauqi menolak pandangan yang menyatakan ujian fizikal lebih ringan ke atas wanita merupakan satu bentuk diskriminasi dalam pekerjaan.

Sebaliknya, katanya, diskriminasi yang sebenar ialah tanggapan kononnya wanita tidak layak menyertai bidang-bidang tertentu yang dianggap sebagai ‘kerja lelaki’.

“Dalam dunia pekerjaan juga, terdapat diskriminasi terhadap wanita dalam bidang yang sedang didominasi oleh penyertaan dari golongan lelaki.

“Diskriminasi seperti ini (yang) harus dihapuskan dan golongan wanita juga harus diberikan peluang dan galakan untuk menyertai perkhidmatan awam,” katanya lagi.

Katanya lagi, peluang adil harus diberikan kepada sesiapa yang mahu menceburi mana-mana bidang pekerjaan tanpa mengira jantina seseorang.

Menurut satu kajian terhadap pengalaman anggota bomba di Amerika Syarikat, antara sebab kurangnya penglibatan wanita dalam jabatan bomba adalah keperluan fizikal yang terlampau tinggi (tetapi tidak relevan dengan tuntutan tugas), kekurangan kelengkapan, serta sikap tidak menyenangkan yang ditunjukkan anggota bomba lelaki terhadap rakan sejawat wanita.

Dalam perkhidmatan pula, antara cabaran yang perlu dihadapi anggota bomba wanita ialah diskriminasi dan gangguan seksual, yang juga menjadi antara faktor utama masalah kesihatan mental di kalangan mereka [laporan ‘Isu Kesihatan dan Keselamatan yang Di Kalangan Wanita dalam Perkhidmatan Bomba (Amerika Syarikat)]’.

Lihat Komen
ADS