Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Hari ke-18: Bekas pengarah Ihsan Perdana kata tak tahu akaun Ambank milik Najib

LANGSUNG | Perbicaraan kes membabitkan Najib Razak masuk hari ke-16 hari ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Malaysiakini membawakan laporan langsung perbicaraan berprofil tinggi itu di sini.

Ringkasan kes Najib berhubung dana SRC RM42 juta

Najib Razak berdepan 7 tuduhan berkaitan dana RM42 juta melibatkan SRC International, bekas anak syarikat 1MDB

  • 1 tuduhan salah guna kuasa
  • 3 tuduhan pecah amanah
  • 3 tuduhan pengubahan wang haram
  • Klik untuk perincian lanjut hakim, pasukan pendakwaan dan pembelaan

Pengarah urusan Ihsan Perdana tak tahu akaun milik Najib

2.20 petang: Bekas pengarah urusan Ihsan Perdana Shamsul Anwar Sulaiman membacakan keterangan saksinya berkenaan tindakannya meluluskan pemindahan wang sebanyak tiga kali dari syarikatnya ke akaun Najib.

Saksi pendakwaan ke-37 itu berkata, dia berbuat demikian tanpa mengetahui akaun Ambank tersebut milik Najib.

Dia pasti tidak akan meluluskan transaksi jika tahu berkenaan perkara itu, katanya lagi.

"Jika saya tahu akaun Ambank (dengan nombor berakhir) 880 milik Najib, saya tidak akan buat pembayaran RM10 juta," katanya, sambil menambah perkara sama untuk transaksi RM27 juta dan RM5 juta.

"Najib tidak pernah hubungi saya berkenaan bayaran itu," katanya yang pernah menjadi exco pemuda Umno.

Shamsul berkata, tujuan Ihsan Perdana ialah untuk bertindak sebagai pelaksana tanggungjawab sosial korporat kepada SRC dan ia menerima RM40 juta dari sumber tidak diketahui.

Katanya lagi, seorang wakil dari Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M) menghubunginya dan berkata akaun bank Ihsan Perdana akan digunakan untuk menggerakkan wang.


Pembelaan bantah arahan SPRM sekat akses fail Ambank

1.45 tengah hari: Perbicaraan disambung dengan pasukan pembelaan menyuarakan rasa tidak puas hati kepada hakim berkenaan arahan yang dikeluarkan SPRM kepada Ambank, yang menghalang Najib dan peguamnya untuk mendapatkan dokumen berkenaan akaun banknya yang telah ditutup.

Peguam Muhammad Shafee Abdullah dan Harvinderjit Singh berkata Ambank telah memberikan dokumen yang diperlukan selama setahun setengah kepada mereka untuk membuat persediaan dalam perbicaraan.

Namun, kata mereka, ia terhenti baru-baru ini apabila seorang pegawai Ambank memberitahu pihaknya telah diarah oleh SPRM untuk tidak memberikan sebarang dokumen berkenaan akaun Najib tanpa kebenaran mereka.

Muhammad Shafee

Kata Shafee, arahan itu menjejaskan persediaan pembelaan anak guamnya dan pengesahan dokumen-dokumen utama.

"Kami memerlukan dan berhak ke atas dokumen ini. Pemegang akaun sentiasa berhak terhadap dokumen, sama ada ia masih diteruskan atau telah ditutup... Untuk tahu transaksi (yang dibuat).

"Tiada asas untuk SPRM untuk melakukannya. Mereka tidak boleh berbuat demikian, kerana ini akaun anak guam saya," kata Shafee.

Dia mendakwa arahan itu diberi oleh pegawai penyiasat SPRM yang dikenali sebagai Rosli.

Pasukan pembelaan memberitahu hakim mereka telah menghantar emel berkenaan perkara itu kepada mahkamah.

Seorang anggota pendakwaan kemudian memberitahu mahkamah bahawa mereka perlu membincangkan perkara itu terlebih dahulu sebelum memberi maklum balas, memandangkan emel itu yang diterima sebaik sebelum mahkamah berehat pada pukul satu tengah hari tadi.


1 tengah hari: Mahkamah berehat 30 minit.

Pihak pendakwaan selepas ini dijangka menyambung semula pemeriksaan utama terhadap saksi ke-37, Dr Shamsul Anwar Sulaiman, bekas pengarah eksekutif 1MDB dan bekas pengarah Ihsan Perdana Sdn Bhd.


Saksi dedah bagaimana Ihsan Perdana dibentuk

12.30 tengah hari: Pasukan pendakwaan memanggil saksi ke-37 Dr Shamsul Anwar Sulaiman. 

Sebelum menerajui Ihsan Perdana Sdn Bhd, Dr Shamsul Anwar pernah menjadi pengarah eksekutif 1MDB pada tahun 2010 dan 2011.

Berdasarkan keterangannya, Ihsan Perdana dibentuk selepas dia diarahkan oleh lembaga pengarah 1MDB untuk membentuk sebuah syarikat untuk mengambil alih program tanggungjawab sosial (CSR) 1MDB.

“Cadangan membentuk syarikat sendirian berhad dibuat selepas lembaga pengarah mendapati terdapat percanggahan kepentingan untuk 1MDB menjalankan kegiatan CSR.

“Saya tidak tahu kenapa Yayasan 1MDB tidak terus menjalankan kegiatan CSR, yang saya tahu ia boleh buat kerja CSR tetapi tidak mempunyai kapasiti.

“Daripada perbincangan dalam mesyuarat lembaga pengarah, saya diarahkan untuk mencari shell company untuk mengambil alih kerja-kerja CSR,” katanya.

 Dr Shamsul Anwar Sulaiman

Shamsul, 58, yang mempunyai sebuah klinik di Kelana Jaya memberitahu mahkamah bahawa dia dicadangkan oleh setiausaha syarikat Rashidi Md Deris untuk mengambil alih Gem Horizon Sdn Bhd.

Katanya lembaga pengarah 1MDB kemudian mengarahkannya melepaskan jawatan dalam 1MDB dan menjalankan kerja-kerja CSR melalui Gem Horizon, yang kemudian ditukar nama kepada Ihsan Perdana Sdn Bhd.

Menurut Shamsul, dia dan Haji Aziz mula memegang saham Ihsan Perdana sebanyak RM1 dari 25 Julai 2011.


Saksi sangka RM27 juta ke akaun Ambank untuk CSR

11.35 pagi: Aishah mengaku pengarah urusan Ihsan Perdana ketika itu Shamsul Anwar Sulaiman tidak pernah memberitahunya secara spesifik bahawa RM27 juta yang dipindah dari syarikat itu kepada salah satu akaun Ambank Najib untuk CSR.

Dia berkata demikian ketika pemeriksaan balas dengan peguam bela Farhan Read.

Farhan: Dia (Shamsul) tidak pernah kata bayaran itu untuk CSR?

Aishah: Kami faham ia untuk CSR kerana Ihsan Perdana menjalankan kegiatan CSR (untuk pelanggan) dan saya rasa ia (RM27 juta) untuk CSR.

Farhan: Anda beri jawapan berdasarkan jumlah yang dibayar. Anda setuju bahawa jumlah RM27 juta itu besar? Misalnya, membeli peralatan pejabat hanya memakan kos ribuan ringgit, jadi sangkaan anda jumlah besar ini untuk program CSR?

Aishah: Saya tak ingat jika Datuk Dr (Shamsul) beritahu (saya tentang tunjuan pemindahan) atau tidak.

Farhan: Jadi hanya sangkaan anda bahawa ia untuk program CSR?

Aishah: Betul.

Jumlah RM27 juta itu dipindah kepada akaun Ambank Najib dengan nombor yang berakhir dengan 880 pada 26 Disember 2014.

Terdahulu, Aishah memberitahu sejumlah RM42 juta dipindah dari akaun Affin Bank Ihsan Perdana ke dua akaun Ambank dengan nombor berakhir dengan 880 dan 906.

Ketika perbicaraan sebelum ini, dua akaun Ambank itu diputuskan sebagai milik Najib.

Pemindahan wang dibuat melalui borang kiriman wang (remittance) yang ditandatangani oleh pengarah akaun Ihsan Perdana, Abdul Aziz dan dibuat pada 26 Disember 2014 dan 10 Februari 2015.


SRC, Gandingan Mentari beri Ihsan Perdana RM123 juta

11 pagi: Ihsan Perdana Sdn Bhd menerima sejumlah RM123 juta daripada SRC International dan subsidiarinya Gandingan Mentari Sdn Bhd antara 2014 dan 2015, kata saksi pendakwaan Aishah Ghazali.

Dia bersetuju dengan peguam bela Farhan Read bahawa syarikat CSR itu menerima RM20 juta daripada SRC International, dan RM103 juta dipindah daripada Gandingan Mentari.

Dia berkata RM20 juta lagi yang diterima Ihsan Perdana menerusi akaun Affin Banknya tidak diketahui sumbernya.

Ketika pemeriksaan balas, Aishah berkata setakat pengetahuannya, Ihsan Perdana tiada kaitan dengan dua syarikat itu.

Menurutnya, Ihsan Perdana hanya menerima dana daripada dua pihak yang menjadi pelanggannya - 1MDB dan Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M).

Mahkamah berehat sebentar pada pukul 11.10 pagi.


Ihsan Perdana terima dana dari 1MDB, YR1M untuk kegiatan CSR

10.50 pagi: Aishah berkata syarikat lamanya, Ihsan Perdana menerima dana daripada 1MDB dan Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M) untuk menjalankan kegiatan tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Dia berkata demikian ketika pemeriksaan balas oleh peguam bela Farhan Read.

Farhan: Dari mana Ihsan Perdana dapat dana?

Aishah: 1MDB dan YR1M. Mereka beri dana kepada Ihsan Perdana untuk buat CSR.

Farhan: Selain 1MDB dan YR1M, ada lagi sumber dana untuk Ihsan Perdana?

Aishah: Tiada.


Saksi: RM42 juta masuk akaun Najib untuk CSR

10 pagi: Saksi ke-36 Aishah Ghazali berkata RM42 juta yang dipindah dari akaun Affin Bank Ihsan Perdana ke dua akaun Ambank milik Najib Razak antara Disember 2014 dan Februari 2015 adalah untuk tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Bekas eksekutif akaun kanan Ihsan Perdana itu memberitahu DPP Mohd Ahsrof Adrin Kamarul bahawa transaksi dibuat berdasarkan arahan yang diberi kepadanya oleh pengarah urusan syarikat ketika itu, Shamsul Anwar Sulaiman.

"Merujuk kepada wang berjumlah RM27 juta, RM5 juta dan RM10 juta, di mana jumlah keseluruhan ialah RM42 juta, saya sahkan kesemua jumlah wang tersebut telah dihantar dari akaun IPSB (Ihsan Perdana) dan telah dipindahkan kepada akaun-akaun penerima di Ambank atas arahan daripada Shamsul Anwar.

"Saya difahamkan bahawa pemindahan kesemua wang ini adalah untuk tujuan CSR," katanya kepada hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Aishah juga mengesahkan bahawa dia mengisi borang kiriman wang (remittance) untuk pemindahan RM27 juta dan RM5 juta pada 26 Disember 2014. RM27 juta dipindah ke akaun Ambank dengan nombor yang berakhir dengan 880, manakala RM5 juta ke akaun dengan nombor yang berakhir dengan 906.

Katanya, dia mengisi borang kiriman wang untuk pemindahan RM10 juta pada 10 Februari 2015, yang dipindah ke akaun Ambank dengan nombor berakhir dengan 880.

Sebelum ini, akaun Ambank yang berakhir dengan 880 dan 906 telah diputuskan sebagai milik Najib.

Pengurus Ambank cawangan Raja Chulan, R Uma Devi dalam keterangannya sebelum ini turut menyatakan berkenaan transaksi sama yang berlaku.


'Ihsan Perdana terima RM50 juta dalam 3 transaksi'

9.40 pagi: Bekas eksekutif akaun Ihsan Perdana Sdn Bhd Aishah Ghazali dipanggil sebagai saksi ke-36 pendakwaan.

Dia memberi keterangan bahawa Ihsan Perdana - sebelumnya dikenali sebagai Gem Horizon Sdn Bhd - adalah syarikat tanggungjawab sosial korporat yang menjalankan kegiatan untuk entiti lain yang mendapatkan perkhidmatannya.

Ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Mohd Ashrof Adrin Kamarul, Aishah mengesahkan bahawa antara 24 Disember 2014 dan 6 Februari 2015, akaun Affin Bank syarikat itu menerima sejumlah RM50 juta menerusi tiga transaksi.

Aishah juga memberitahu bahawa sebagai eksekutif akaun kanan syarikat, dia bekerja bawah arahan pengarah urusan Shamsul Anuar Sulaiman dan pengarah kewangan Abdul Aziz Ismail.


Surat jaminan diundur tarikh

9.20 pagi: Azlida setuju bahawa surat jaminan daripada Kementerian Kewangan diundur tarikh (backdated) kerana ia disediakan bersama dengan kemudahan pinjaman (loan facility) patuh Syariah untuk pinjaman RM2 bilion kepada SRC International pada Mac 2012.

Dalam keterangan semalam, dia berkata Kementerian Kewangan menghantar sepucuk surat kepada KWAP bertarikh 28 Mac 2012 yang memaklumkan badan itu bahawa surat jaminan untuk pinjaman SRC akan dihantar sepuluh hari lewat daripada tarikh surat.

Surat jaminan itu bertarikh 27 Mac 2012.

Ketika pemeriksaan balas dengan peguam Harvinderjit Singh, Azlida setuju dengan soalannya bahawa tarikh surat jaminan sama dengan surat perjanjian penjualan aset dan perjanjian pembelian aset berkaitan kemudahan pinjaman patuh Syariah kepada SRC International.

Harvinderjit: Tarikh surat jaminan sama dengan surat perjanjian penjualan aset dan perjanjian pembelian aset iaitu 27 Mac 2012. Ketiga-tiganya mungkin dibuat bersama?

Azlida: Ya.


Perbicaraan bermula

9.11 pagi: Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali memulakan perbicaraan. Najib masuk ke kandang tertuduh.

Peguam Harvinderjit meneruskan pemeriksaan balasnya terhadap saksi ke-35, Naib Presiden (undang-undang) KWAP Azlida Mazni Arshad.


Najib tiba di mahkamah

9 pagi: Dengan bersut warna krim, tertuduh Najib Razak tiba di mahkamah dan duduk di baris depan galeri awam untuk menunggu perbicaraan dimulakan.

Bersama Najib di depan mahkamah ialah pasukan peguam belanya, serta Peguam Negara Tommy Thomas dan anggota pasukan pendakwaan yang lain.

Ketua pasukan pembelaan Muhammad Shafee Abdullah dilihat tiba di mahkamah tak lama kemudian.


Masuk hari ke-18 perbicaraan kes SRC International terhadap bekas perdana menteri Najib Razak, proses membuat keputusan yang membawa kepada kelulusan Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) dalam pinjaman RM4 bilion kepada syarikat itu menjadi perhatian.

Hari ini, sesi pemeriksaan utama pasukan pembelaan terhadap Naib Presiden (undang-undang) KWAP Azlida Mazni Arshad dijangka akan diteruskan.

Pasukan pembelaan Najib antara lain cuba memisahkan anak guam mereka daripada proses membuat keputusan KWAP dalam meluluskan pinjaman itu, yang diberi melalui dua peringkat - pada Ogos 2011 dan Mac 2012.

Melalui siri soalan semalam, peguam Harvinderjit Singh mendapat persetujuan daripada Azlida - saksi ke-35 perbicaraan - bahawa panel pelaburan KWAP tidak perlu mendapatkan kelulusan kabinet untuk membuat keputusan, tidak terikat dengan kabinet, dan tidak dibenar meminjamkan wang kecuali ia berpuas hati badan itu akan mendapat untung daripada pinjaman tersebut.

Ketika pemeriksaan balas, Azlida juga setuju panel tidak membuat minit berkenaan apa-apa arahan daripada Najib agar pinjaman diluluskan, panel menangguhkan keputusan - yang mencadangkan ia tidak membuat keputusan dengan tergesa-gesa, dan nota tulisan tangan oleh Najib bukanlah arahan.

Ketika pemeriksaan utama oleh pendakwaan pula, Azlida berkata Najib menggesa pengerusi KWAP ketika itu Wan Abdul Aziz Wan Abdullah untuk mempercepat permohonan pinjaman SRC.

Panel pelaburan KWAP akhirnya meluluskan pinjaman RM2 bilion selepas mendapat jaminan kerajaan pada 2011.

Lihat Komen
ADS