Malaysiakini BERITA

'Kerajaan dan SPR perlu bincang peraturan pilihan raya'

Haspaizi Zain  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Kerajaan perlu mengadakan perbincangan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi menyelesaikan isu berbangkit berhubung peraturan pilihan raya, kata Wah Ahmad Wan Omar.

Bekas timbalan pengerusi SPR itu bagaimanapun berkata, langkah Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad tidak menggunakan aset kerajaan dengan menyewa sendiri helikopter ketika kempen pilihan raya adalah tepat.

"Kerajaan sebagai pihak berkepentingan yang utama kepada SPR sewajarnya mengadakan perbincangan berhubung perkara berbangkit mengenai peraturan pilihan raya.

"Kemudian hasil perbincangan itu dimaklumkan kepada umum, kerana semua pihak mempunyai hak ke atas SPR termasuk parti politik dan pengundi.

"Saya kira langkah Dr Mahathir menyewa helikopter itu adalah perkara yang baik, ia tidak nampak menggunakan harta kerajaan ataupun duit pembayar cukai," katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap peraturan SPR yang melarang anggota kabinet menjalankan aktiviti kempen ketika waktu bekerja pada pilihan raya.

Katanya, keputusan itu akan memberi kesan kepada pentadbiran Pakatan Harapan (PH) selain menurutnya seolah-olah memberi kelebihan kepada pembangkang yang tidak mempunyai kerja, untuk berkempen selama 24 jam.

"Kita dapati bahawa ada arahan supaya pegawai kerajaan, menteri dan timbalan tidak boleh berkempen masa bekerja jadi mereka masa kerja mesti ada dalam pejabat dan tidak boleh kempen sedangkan lepas waktu kerja menteri kerja juga.

"Sekatan terhadap menteri seolah-olah memberikan peluang kepada parti lawan yang tidak kerja apapun dan mereka boleh berkempen 24 jam," kata Dr Mahathir.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun sebelum ini berkata menjadi kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya (AKPR) 1954 sekiranya mana-mana pemimpin didapati menggunakan aset kerajaan untuk turun berkempen.

Sementara itu, Wan Ahmad bagaimanapun menyifatkan langkah SPR menguatkuasakan peraturan berkenaan adalah satu tindakan tepat.

Mengulas mengenai larangan menteri dan penjawat awam berkempen pada hari bekerja, Wan Ahmad berkata kumpulan berkenaan tetap masih boleh berkempen.

"Mereka masih boleh berkempen selepas waktu bekerja, bagi saya tiada masalah. Begitu juga dengan penjawat awam yang tertakluk kepada etika dan peraturan.

"Tetapi sekiranya program menteri berlangsung ketika masa kempen jika tidak dapat dielak bagi saya tiada masalah, asalkan jangan berkempen dan memberi habuan bagi memancing undi," katanya.