Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MB: Roboh sekatan Orang Asli Cunex dibuat ikut undang-undang

ULASAN | Kampung Tasik Cunex adalah sebuah kampung serpihan dari Kampung Orang Asli Sungai Sarok. Kampung Sungai Sarok adalah sebahagian daripada tujuh kampung yang berada dalam Rancangan Penempatan Semula (RPS) Dala.

RPS Dala memiliki populasi seramai 1,358 penduduk. Ada tujuh kampung di RPS Dala iaitu Kampung Melela 1 dan Melela 2, Kampung Sungai Tengah, Kampung Bukit Nangka, Kampung Sungai Urat, Kampung Sungai Untong dan Kampung Sungai Sarok.

RPS Dala dilengkapi dengan petempatan, kawasan pertanian, pejabat pentadbiran RPS, sekolah dan Tabika Kemas dengan keluasan tanah direzabkan sebanyak 2,116.82 hektar.

Penduduk kampung Cunex berasal dari kampung Sungai Sarok yang terletak di dalam rizab Orang Asli RPS Dala.

Punca pendapatan utama penduduk di situ adalah hasil kebun getah dalam rezab Orang Asli RPS Dala yang dimajukan oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan telah diserahkan kepada penduduk pada 2017.

Mereka juga memperoleh pendapatan daripada hasil hutan.

Akibat perselisihan faham dengan Penghulu Kampung Sungai Sarok, sekumpulan penduduk terdiri daripada 26 keluarga - melibatkan 74 orang lelaki dan 42 orang perempuan - berpindah keluar dari RPS Dala pada awal 2017 dan menceroboh kawasan Hutan Simpan (HS) Air Cepam milik kerajaan negeri yang terletak 5km di luar kawasan rizab Orang Asli RPS Dala.

Bantahan diterima, diteliti

Sebuah syarikat pembalakan mendapat kelulusan untuk menjalankan aktiviti pembalakan di kawasan HS Air Cepam yang berada dalam daerah Hulu Perak dengan keluasan 42 hektar (petak 1) dan 38 hektar (petak 2).

Ia diluluskan selepas mereka mematuhi semua syarat, termasuk menyediakan laporan Kajian Impak Alam Sekitar (EIA).

Jarak antara kawasan pembalakan dan kawasan rizab Orang Asli RPS Dala lebih kurang 2km dan antara 4km hingga 5km dari Kampung Tasik Cunex.

Aktiviti pembalakan berkenaan dihalang penduduk Kampung Tasik Cunex kerana mendakwa ia menyebabkan pencemaran pada kawasan tadahan air.

Bantahan itu diterima dan diteliti oleh kerajaan negeri melalui pihak Jakoa, Jabatan Perhutanan Perak, Pejabat Daerah Gerik dan pihak-pihak berkaitan.

Bantahan turut diterima daripada penduduk Kampung Sungai Urat dan Kampung Sungai Tengah.

Susulan perbincangan di antara wakil dua kampung itu dengan pihak syarikat pembalak, penduduk Kampung Sungai Urat dan Kampung Sungai Tengah mendapat penyelesaian.

Pada 18 Feb 2019 Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P Waythamoorthy mengadakan lawatan ke Kampung Cunex bagi membincangkan penyelesaian terhadap bantahan aktiviti pembalakan dikawasan tersebut.

Turut hadir Pegawai Daerah Dan Tanah Hulu Perak, Zulhisham Ahmad Shukori, Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan Jakoa Malaysia, Saiful Zahlan Muhamad Azmi serta Pengarah Jakoa Perak dan Kedah, Harulnizam Abdul Rahman.

Penduduk mendakwa mereka membina sekatan (blockade) kerana kerana tiada perbincangan bersama penduduk setempat dan mendakwa ia dibuat di atas tanah adat mereka.

Bagaimanapun, semakan menunjukkan kerajaan masih belum mengiktiraf kawasan tanah adat yang dituntut oleh penduduk.

Dakwaan tak berasas

Penduduk Kampung Tasik Cunex menyatakan bahawa tuntutan tanah adat mereka mesti dipersetujui bagi membolehkan mereka membenarkan kayu-kayu yang telah ditebang dibawa keluar dari kawasan pembalakan.

Menteri memaklumkan kepada penduduk bahawa perbincangan semula bersama menteri besar, Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Perak, Jabatan Hutan Perak dan agensi-agensi berkaitan akan dijalankan bagi mencari penyelesaian terhadap tuntutan mereka.

Susulan itu, pada 1 April lalu satu lawatan Jabatan Peguam Negara dan Jakoa negeri, Jakoa daerah dan RPS Dala diadakan bagi menyiasat berkenaan permohonan mewartakan kawasan Tanah Adat Orang Asli seluas 12,465 hektar.

Jabatan Peguam Negara masih belum menimbang permohonan berkenaan.

Berhubung dakwaan penduduk sebelum ini yang berkata pihak berkuasa mengugut mereka dengan senjata ketika mengiringi syarikat pembalak menghantar bekalan makanan kepada para pekerja di tapak pembalakan Mac lalu, siasatan menunjukkan dakwaan tersebut tidak berasas.

Setelah diteliti dan disiasat didapati pihak berkuasa hanya membawa senjata bagi tujuan keselamatan dan sama sekali tidak berlaku sebarang ugutan terhadap penduduk.

Kerajaan negeri juga menafikan aktiviti pembalakan di kawasan itu dijalankan secara ”cuci mangkuk”.

Untuk makluman, semua aktiviti pembalakan yang diluluskan dijalankan secara lestari apabila hanya pokok-pokok yang mengikut piawaian dibenarkan ditebang melalui kaedah tagging.

Kerajaan negeri secara konsisten memastikan urusan pembalakan tidak melebihi Catuan Pembalakan Tahunan iaitu 7,744 hektar setiap tahun, sesuai dengan kehendak Majlis Tanah Negara.

Pada 3 Apr surat pemberitahuan pembukaan sekatan laluan pembalakan dikeluarkan kepada penduduk kampung Tasik Asal Cunex.

Surat dikeluarkan oleh Pejabat Daerah dan Tanah Gerik yang memaklumkan bahawa sekatan laluan pembalakan itu didirikan di atas tanah kerajaan negeri dan mereka melakukan kesalahan mengikut Seksyen 425 (1) (a) Kanun Tanah Negara 1965 iaitu "menduduki, atau membina apa-apa bangunan di atas mana-mana tanah kerajaan, tanah rizab atau tanah perlombongan."

Operasi berjalan tenang

Bagi mengelakkan konfrantasi dengan penduduk, syarikat pembalak cuba menggunakan laluan alternatif untuk mengeluarkan kayu balak yang ditebang, tetapi telah dihalang oleh penduduk Kampung Tasik Cunex.

Pada 9 Apr Pejabat Daerah dan Tanah Gerik menghantar dan menampal notis merobohkan sekatandalam masa dua minggu selepas notis dikeluarkan.

Pembukaan sekatan sepatutnya dilakukan Pejabat Daerah Dan Tanah pada 23 Apr namun kerja-kerja pembukaan telah dilakukan oleh syarikat pembalakan tanpa melibatkan mana-mana agensi kerajaan yang berkaitan.

Penduduk membuat bantahan dan cuba menghalang lori daripada mengeluarkan hasil balak pada 23 Apr dengan membuat perisai manusia.

Isu ini telah disensasikan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tertentu yang mendakwa ia sebagai perbuatan pembalak membuli komuniti Orang Asli.

Susulan kejadian itu, laporan polis berasingan dibuat wakil penduduk dan wakil syarikat pembalakan.

Siasatan ke atas kes aduan ini sedang dijalankan oleh polis dan sekiranya wujud sebarang unsur jenayah atau kekerasan, tindakan akan diambil mengikut lunas undang-undang.

Setelah meneliti semua aduan dan sudut perundangan, kerajaan negeri memutuskan untuk membenarkan tindakan penguatkuasaan merobohkan sekatan yang dibina tanpa kebenaran di atas tanah kerajaan negeri.

Operasi ini dijalankan pada pagi Khamis 16 Mei dengan aman tanpa sebarang insiden tidak diingini.


AHMAD FAIZAL AZUMU ialah menteri besar Perak.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS