Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
IGP: Polis tangkap 3 lagi suspek pengganas IS
Diterbitkan:  May 16, 2019 10:12 PM
Dikemaskini: 2:12 PM

Polis telah menangkap tiga lagi anggota pengganas IS yang merancang melancarkan serangan di Malaysia dan Indonesia.

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador memaklumkan ketiga-tiga suspek terdiri daripada dua rakyat Malaysia dan seorang warga Indonesia ditahan di Kedah dan di Selangor pada 14 Mei lalu.

"PDRM telah berjaya menangkap dua suspek warganegara Malaysia dan seorang warganegara Indonesia di sekitar Kedah dan Selangor.

"Mereka disyaki terlibat dalam memberi sokongan kepada kumpulan IS dan merancang untuk melancarkan serangan di Malaysia dan Indonesia," katanya pada suatu kenyataan hari ini.

Penangkapan tersebut selepas operasi yang menahan empat suspek, termasuk dua orang Rohingya di Terengganu dan di Lembah Klang antara 5 dan 7 Mei.

Hamid juga berkata suspek rakyat Malaysia itu ditahan di Kuala Muda di Kedah pada 14 Mei lalu.

Jalani latihan buat bom di Jogja

"Kedua-dua mereka yang disenaraikan sebagai individu dikehendaki polis pada 13 Mei 2019 ditangkap ketika menyerah diri hasil kerjasama daripada keluarga masing-masing.

"Seorang bekerja sebagai penjual burger dan seorang lagi pula bekerja sebagai pekebun.

"Kedua-dua suspek bersama warga Malaysia yang ditangkap pada 22 November lalu pernah menjalani latihan membuat bom di Jogjakarta, Indonesia pada 2018 yang dikendalikan kumpulan pengganas Jemaah Ansharut Daulah Indonesia.

"Semasa di sana mereka telah mempelajari kaedah untuk menghasilkan triacetone triperoxide (sejenis bahan kimia) yang digunakan untuk menghasilkan letupan berskala besar dan bom kenderaan.

"Selain itu, seorang suspek disyaki merancang untuk melancarkan serangan ke atas rumah ibadat bukan Islam di Malaysia dengan menggunakan kaedah serangan bom bunuh diri," katanya lagi.

Abdul Hamid berkata tangkapan kedua di Banting melibatkan seorang warga Indonesia berusia 34 tahun berdasarkan maklumat daripada orang awam.

"SUspek merupakan anggota sel "wolf pack" IS yang turut ditangkap pada 5 dan 7 Mei 2019 serta turut terlibat dalam rancangan untuk melakukan operasi pembunuhan dan serangan ke atas tempat-tempat ibadat agama Kristian, Hindu, Budha dan pusat-pusat hiburan di sekitar Lembah Klang.

"Suspek terdedah dengan ideologi kumpulan IS semasa menjalani hukuman penjara selama lima tahun di Surabaya, Indonesia," jelasnya lagi.

Menurut Abdul Hamid kesemua suspek ditahan di bawah Akta 574 Kanun Keseksaan dan suspek akan disiasat di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma).

Lihat Komen
ADS