Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dialog LGBT ditangguh mungkin kerana reaksi warganet - Aktivis

Susulan penangguhan siaran bual bicara melibatkan dirinya, aktivis golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), Numan Afifi tidak dapat menyembunyikan kekecewaan.

“Mungkin disebabkan rasa terancam dengan reaksi warganet, jadi mereka ambil keputusan untuk tangguh, yang bagi saya, mengecewakanlah.

“Sebab perbincangan kita bukanlah sentuh isu kontroversi sangat pun,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Rakaman bual bicara bersama Numan sepatutnya disiarkan di rancangan Let’s Talk di saluran 501 Astro Awani pada 14 Mei, jam 10.15 malam.

Bagaimanapun, pada awal pagi hari yang sama, hos rancangan tersebut, Sharaad Kuttan mengumumkan di Twitternya tentang pengangguhan siaran itu sambil meminta maaf kepada Numan dan penonton.

Mengulas berkenaan bual bicara tersebut, kata Numan, perkara yang dibangkitkannya hanyalah tentang diskriminasi, undang-undang serta stigma yang dihadapi golongan itu di tempat kerja, sekolah dan sebagainya.

“Saya pun manusia yang bercakap, bukan alien. Saya rasa (sepatutnya) tak ada masalah, kita bukan mengajak orang kepada seks.

“[...] (Perkara dibincangkan ialah) Isu-isu sosial, yang saya rasa orang kebanyakan pun nak tahu, bila mereka dengar, saya rasa mereka akan faham kenapa.

“Cuma masalahnya ada kelompok yang mungkin ada cita-cita politik yang nampak benda ni isu sensasi, dan cuba menakut-nakutan. Bila orang dengar, mereka rasa macam takut. Sebenarnya tak ada masalah pun,” katanya lagi.

Numan turut mengingatkan bagaimana kerajaan menyatakan golongan LGBT juga adalah setara sebagai warganegara, selain mengulang kenyataan Menteri Luar Negeri di PBB tidak lama dahulu yang menyatakan ia bukan lagi isu tabu di negara ini.

Numan merujuk kenyataan Saifuddin Abdullah di Segmen Peringkat Tinggi Sesi Biasa Majlis Hak Asasi Manusia PBB ke-40 di Geneva pada 26 Februari bahawa ‘lebih banyak ruang diberikan untuk perbincangan berkesan tentang hak asasi termasuklah hal-hal yang pernah dianggap tabu seperti kebebasan beragama dan isu LGBT’.

Berdasarkan itu, Numan berpendapat, Malaysia sebenarnya ‘terlambat’ (long overdue) dalam usaha menganjurkan dialog melibatkan LGBT sendiri, sehingga menyebabkan segelintir masyarakat sanggup mengambil tindakan sendiri terhadap golongan itu seperti kejadian dua maknyah dipukul orang ramai akhir tahun lalu.

“Dialog atau forum memang sentiasa ada, oleh jabatan agama, universiti. Tapi selalunya forum-forum ini tidak menampilkan LGBT sendiri. Dia tampilkan orang yang kononnya pakar LGBT, ahli akademik atau ustaz-ustaz yang bukan komuniti (LGBT) sendiri.

“Yang cerita pasal komuniti ini tak datang daripada komuniti (LGBT) sendiri, tapi daripada orang lain yang membuat macam-macam anggapan dan andaian. Itu bukannya dialog sebenarnya, (tapi) ceramah,” jelasnya lanjut.

'Balik-balik Mujahid'

Selain itu juga, Numan turut menempelak kerajaan yang menurutnya seolah-olah ingin lari daripada masalah dan menolak isu LGBT hanya kepada menteri agama, Mujahid Yusof semata-mata.

“Balik-balik kepada Mujahid, balik-balik kepada Mujahid. Padahal bukan hanya bawah agama. Menteri dalam negeri pun terlibat, kementerian wanita, kementerian pendidikan- semua kementerian terlibat. Tapi itulah,” ujarnya kesal.

Jelasnya lagi, biarpun kerajaan berpendirian untuk tidak mengiktiraf LGBT, kerajaan juga mengakui menolak diskriminasi terhadap golongan tersebut, maka hal itu perlu segera dibangkitkan dalam dialog.

“Kita memang tak ada platform hendak sampaikan pendapat, jadi ini akan membahayakan lagi kepada komuniti LGBT khususnya, kerana ia (dialog) hanya berlaku secara sebelah pihak sahaja.

“Bab diksriminasi tu rasanya adalah dasar persetujuan (mutual ground) yang kita boleh ada dialog. Diskriminasi memang berlaku, memang wujud.

“Kerajaan pun kata antidiskriminasi (terhadap LGBT), jadi kenapa tidak kita bercakap tentang antidiskriminasi?” soalnya lagi.

Ruang secara tertutup

Sementara, Timbalan Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (Ummah) Kamaruzzaman Mohamad bersetuju golongan LGBT perlu diberikan ruang untuk meluahkan pandangan mereka.

Bagaimanapun, ruang itu tidak harus dilakukan secara terbuka kerana boleh dianggap seolah-olah mempromosikan idea dan gaya hidup mereka.

“Saya secara peribadi simpati dengan golongan yang terperangkap dengan idea dan anutan LGBT ini.

“Mereka sepatutnya diberikan ruang meluahkan pandangan mereka, dan satu pandangan balas perlu diberikan (bahawa) mereka ini sebenarnya tersasar daripada naluri fitrah penciptaan manusia itu sendiri,” katanya.

Ruangan tertutup yang dimaksudkannya ialah yang tidak melibatkan penonton dan hanya untuk golongan itu menyampaikan pandangan mereka kepada pihak berkaitan dan pihak kerajaan.

Kata Kamaruzzaman, gejala LGBT itu sendiri jelas bertentangan dengan undang-undang negara dan mana-mana ajaran agama di seluruh dunia, justeru ia tidak wajar dibincangkan secara terbuka, apatah lagi disiarkan di media arus perdana.

“Apabila pandangan sebegini dah masuk TV, seolah-olah ia memberikan isyarat bahawa kerajaan yang ada hari ini tidak cuba menyekat aktiviti yang jelas bertentangan dengan undang-undang negara ini,” ulasnya lanjut.

Menurut kertas kajian ‘Salah Laku LGBT Dalam Perundangan Malaysia: Undang-undang Sebagai Mekanisme Pembanterasan dan Kawalan’ oleh Mohd Izzat Amsyar Mohd Arif et al., antara kesalahan melibatkan LGBT ialah kesalahan seksual bebas dan luar tabi'e (Kanun Keseksaan, seksyen 377A, 377B, 377C, 377CA dan 377D dan beberapa peruntukan undang-undang jenayah syariah).

Selain itu, kesalahan lain ialah berperwatakan dan berpakaian secara berlainan jantina dan menukar jantina (beberapa peruntukan undang-undang jenayah syariah) dan anjuran program selain aktiviti berkaitan atau mempromosi LGBT (Akta Perhimpunan Aman 2012, seksyen15(2)(f)).

Menjawab dakwaan LGBT bahawa mereka ditindas di negara ini, Kamaruzzaman menjawab dakwaan tersebut dengan memberikan perumpamaan.

“Contohnya penagih dadah berasakan tertindas sebab tak boleh hisap dadah. Golongan pengganas melaungkan slogan ‘kami ditindas, kami tak boleh bom orang’. Adakah ini dikatakan penindasan?” soalnya.

Mengulas lanjut, kata Kamaruzzaman, penindasan terjadi apabila berlakunya penafian terhadap hak yang selari dengan agama dan undang-undang, contohnya hak untuk penganut sesuatu agama mengamalkan agama masing-masing.

“Tapi kalau gagasan yang mereka nak bawa itu jelas bertentangan dengan naluri fitrah manusia, undang-undang, dan agama, adakah ini satu penindasan?

“Bahkan kita memuji polis yang menangkap penjenayah, pengganas, penagih dadah, penagih ketum dan sebagainya. Maka adakah kita nak katakan polis ini mengekang hak asasi?” soalnya lagi.

Lihat Komen
ADS