Paling Popular
Terkini

ULASAN | Kampung Baru Kuala Lumpur punyai sejarah tersendiri dalam lipatan sejarah negara. Di sini terpahat kisah perjuangan orang Melayu di Kuala Lumpur.

Menjadi lokasi penempatan terbesar orang Melayu di ibu kota, Kampung Baru membuka tirainya pada tahun 1899.

Dikurniakan oleh Sultan Selangor ketika itu, Sultan Alauddin Sulaiman Syah Raja Muda Musa (Sultan Sulaiman) kepada orang Melayu di atas desakan mereka kepada pentadbir British untuk mewujudkan perkampungan Melayu di Kuala Lumpur.

Tanah Kampung Baru diwartakan pada 12 Januari 1900 dan kemudiannya ditadbir melalui enakmen "Malay Agricultural Settlement" (MAS) 1950.

Berkeluasan asalnya seluas 223 ekar, Kampung Baru meliputi 7 buah kampung. Kampung Periuk, Kampung Masjid, Kampung Atas A, Kampung Atas B, Kampung Hujung Pasir, Kampung Paya dan Kampung Pindah.

Kawasan penempatan orang Melayu ini menyimpan pelbagai sejarah tersendiri termasuk peristiwa hitam 13 Mei 1969.

Di sinilah semangat kebangkitan Melayu disatukan bertempat di rumah Menteri Besar Selangor ketika itu di Jalan Raja Muda, Allahyarham Datuk Harun Hj. Idris.

Peristiwa berdarah yang menyimpan seribu kedukaan mendalam itu tentunya akan menjadi ingatan dan sebutan sepanjang hayat.

Tidak berhenti di situ, kisah kebangkitan rakyat sekali lagi mengambil tempat di Kampung Baru pada tahun 1998 setelah Timbalan Perdana Menteri ketika itu Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat.

Kali ini Masjid Jamek Kampung Baru menjadi tempat berkumpulnya rakyat marhaen setiap minggu bagi menentang tirani zalim.

Sesungguhnya penempatan tua orang Melayu ini tidak pernah sunyi dari kisah kebangkitan rakyat.

Arus Permodenan

Era permodenan sedikit demi sedikit mula menjajah ke kawasan penempatan tua orang Melayu di Kuala Lumpur.

Arus pembangunan mula mengambil tempat di sekitar kawasan Kampung Baru. Bangunan pencakar langit dan mercu tanda mula berdiri megah.

Menara Berkembar KLCC yang menjadi kebanggaan negara dibina agak hampir dengan lokasi penempatan di Kampung Baru.

Kemegahannya sedikit sebanyak memberi anjakan kepada kawasan penempatan tua ini untuk turut sama mengikuti arus pembangunan.

Stesen Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) Kampong Bharu mula beroperasi pada 1 Jun 1999. Dengan kemudahan pengangkutan serba canggih ini, Kampung Baru semakin menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara.

Terkenal dengan jolokan syurga makanan, Kampung Baru kerap dikunjungi pelbagai lapisan masyarakat untuk menjamu selera.

Dik kerana sering menjadi tumpuan, imej Kampung Baru semakin hari semakin perlu diperbaiki hari demi hari.

Rumah-rumah usang mula diganti dengan bangunan-bangunan baru hasil kesungguhan para pewaris membangunkan tanah mereka.

Penempatan-penempatan usang yang tidak lagi relevan dengan arus permodenan, mula diganti dengan projek-projek mega yang secara tak langsung mengangkat imej Kampung Baru.

Projek M101 Skywheel dan Saloma Link adalah di antara projek mega yang akan merubah imej Kampung Baru.

Perlahan demi perlahan pemilik dan pewaris tanah warisan di Kampung Baru mula terasak untuk menyertai arus pembangunan.

Akta 733 PPKB

Mengambil kira keperluan yang lebih tersusun untuk menguruskan pembangunan di Kampung Baru, kerajaan mula membentangkan Akta 733 Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PPKB) pada tahun 2011.

Bertitik tolak dari situ, sebuah perbadanan yang dianggotai oleh golongan profesional, pentadbir kerajaan dan para pewaris mula diwujudkan.

PPKB memulakan operasi secara efektif untuk mengawal selia dan merancang pembangunan di Kampung Baru.

Hasilnya lebih banyak pembangunan sama ada kecil dan besar mula berdiri menghiasi pemandangan di Kampung Baru.

Perparitan diperkemaskan, jalan-jalan usang diperbaiki, siar kaki yang lebih selesa dinaik taraf dan landskap dipercantikkan, menjadi antara peranan penting yang dimainkan oleh PPKB.

Namun di samping semua itu, terdapat tanggungjawab yang jauh lebih mencabar iaitu mencari dan menjejaki para pemilik dan pewaris tanah-tanah di Kampung Baru.

Tentunya pelbagai lapisan generasi lahir bagi sebuah perkampungan tua berusia 119 tahun ini.

Ada sebilangan tanah yang kini diwarisi oleh generasi yang ke-5 dan ke-6 warisan keluarga.

Tentunya cabaran utama untuk menjejaki kesemua pewaris bagi setiap lot bukanlah perkara kecil dan remeh.

Tugasan kompleks yang memerlukan kesabaran dan mengambil masa yang sangat panjang diperlukan untuk menjejaki setiap daripada mereka.

Cabaran yang paling getir adalah menyelesaikan status tanah setiap lot. Pelbagai ragam terpaksa dihadapi dan pelbagai karenah terpaksa dituruti.

Namun tugas hakiki ini perlu diuruskan dengan kemas kerana jika terdapat satu status tanah tidak berjaya diselesaikan, maka tidak akan terkabullah impian untuk melihat Kampung Baru dibangunkan.

Hakikatnya masih terdapat lot tanah yang pewarisnya gagal dijejaki. Belum lagi dikira pewaris yang ditemui tetapi enggan mengerti akan maksud pembangunan.

Tidak dinafikan terdapat juga usaha para pewaris untuk membangunkan tanah-tanah mereka secara berkelompok.

Ada segelintir yang berjaya mendirikan bangunan megah termasuk hotel mewah.

Namun cabarannya tetap sama iaitu menyelesaikan status tanah setiap lot, dan kemudiannya mendapatkan kata putus para pewaris.

Pembangunan Kampung Baru

Pilihan raya tahun 2018 menyaksikan buat pertama kalinya kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran lama.

Seperti kisah-kisah sebelum ini, kerajaan baru juga tidak tertinggal dari memberi perhatian kepada pembangunan di Kampung Baru.

Kerajaan PH mula mewujudkan jawatankuasa kerja pemandu bagi mengkaji dan meneliti bentuk pembangunan yang sesuai dibangunkan di Kampung Baru.

Cabaran getir untuk diselesaikan sebelum pembangunan boleh dikecapi masih berkisar tentang status pemilikan tanah dan menjejaki pewaris.

Sama ada kerajaan PH berani untuk menguatkuasakan akta pengambilan tanah 1960, atau kekal dengan kaedah mencari dan menjejaki para pewaris, menjadi taruhan untuk melaksanakan pembangunan.

Tentunya pengambilan tanah melalui akta pengambilan tanah 1960, bukanlah jalan terbaik bagi sebuah kawasan legasi terkuat orang Melayu di bandar metropolitan.

Ia bukan sahaja akan menimbulkan keresahan di kalangan penduduk dan pewaris, malah akan menjadi senjata politik kepada pihak-pihak yang berkepentingan.

Namun hakikatnya jalan terbaik adalah dengan menyatukan semua pihak untuk mencari kata sepakat demi masa depan Kampung Baru.

Pihak-pihak yang masih berkeras perlu ditangani dengan cara bijak termasuk negosiasi ketahap yang paling mikro.

Tawaran-tawaran yang sesuai dan menguntungkan demi menjamin masa depan mereka tentunya akan menjadi perkiraan kepara pewaris untuk menyertai plan pembangunan.

Pengambilan secara paksa dan tawaran dengan harga yang tidak sesuai akan menimbulkan penentangan yang maha hebat dari kalangan pewaris.

Kebanyakan pewaris mahu menyertai pembangunan namun dalam masa sama mereka tidak sanggup kehilangan hak ke atas tanah warisan mereka.

Mencapai kata sepakat

Jalan terbaik adalah negosiasi dengan tawaran pelaburan yang memberikan keuntungan jangka panjang seperti menawarkan sejumlah harga dengan kadar berpatutan dalam masa sama memberikan hak unit pembangunan kepada pewaris.

Misalnya dibangunkan sebuah kondominium, sejumlah harga perlu dibayar oleh pemaju dan unit-unit tertentu perlu diserah balik kepada pemilik setelah projek disiapkan dalam perjanjian sesuatu tempoh.

Tawaran yang berupa "win-win situation" akan menjadi kaedah yang menarik untuk dipertimbangkan.

Tidak dinafikan terdapat segelintir pewaris yang sanggup melepaskan tanah warisan mereka dengan harga yang tinggi.

Maka kerajaan dan badan-badan bertanggungjawab perlu menyediakan plan yang teratur bagi menangani kesemua permintaan sebelum pembangunan boleh mengambil tempat.

Akhir kata tidak akan ada satu pun kejayaan yang akan dikecapi jika mereka yang terlibat tidak bersatu hati dan berpecah belah.

Kejayaan akan dimulai dengan langkah pengorbanan yang memeritkan sebelum keindahan boleh dilihat oleh generasi yang akan datang.

Selagi ego dan nafsu menguasai diri, tidak akan ada satu pon kejayaan yang akan dikecapi.

Selagi terdapat penghasut dan duri dalam daging yang sentiasa berhasad dengki melihat kejayaan, selagi itu tidak akan maju sesebuah masyarakat.

Sebuah institusi masyarakat akan kekal utuh jika setiap isinya bersatu hati dan mengekalkan jati diri demi mengangkat martabat bangsa.

Bangsa yang bermaruah adalah mereka yang memelihara hak dimasa kini dan membuka jalan yang lebih bermanfaat dimasa depan.

Saya optimis bahawa pembangunan di Kampung Baru boleh direalisasikan jika semua pihak bersedia untuk mencapai kata sepakat.

Bulat pembentung kerana air, bulat kata kerana muafakat.


SYED BADLI SHAH SYED OSMAN ialah Ahli Majlis Penasihat termuda dalam Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PPKB), yang juga merupakan anak jati Kampong Bharu.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS