Paling Popular
Terkini

MIC menggesa Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tidak berlagak seperti 'along' yang mencadangkan memperkenalkan semula sekatan perjalanan ke luar negara terhadap peminjam yang gagal membayar balik pinjaman.

Perbadanan tersebut dilapor turut mencadang supaya menyekat peminjam daripada memperbaharui pasport, lesen, cukai jalan dan lesen perniagaan.

"Saya terkejut dengan cadangan-cadangan PTPTN ini. Agaknya siapa pemegang kepentingan di PTPTN ini? 

"Bekas alongkah?” kata Anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC, M Veeran kepada Malaysiakini.

Menurutnya, sekatan-sekatan itu hanya merumitkan lagi keadaan peminjam

Katanya, kerajaan PH sepatutnya memberi perhatian khas kepada isu yuran pendidikan.

"Sebagai contoh, seorang pelajar yang melanjutkan pendidikan dalam bidang perubatan di IPTA menanggung kos antara RM180,000 hingga RM200,000.

“Di IPTS kos paling kurang pun RM350,000. Persoalannya, kenapa jurang ini sangat tinggi?

"Setahu saya, PTPTN hanya memberikan pinjaman sehingga RM150,000 sahaja bagi bidang perubatan. Bakinya, kena cari sendiri.

“Kebanyakan masa keluarga pelajar-pelajar ini mengambil pinjaman bank, mencagar rumah, tanah, aset peribadi, dan malah ada yang meminjam daripada along," kata beliau.

Jelasnya, selepas mereka ini mendapat kerja, keutamaan mereka adalah menjelaskan hutang luar berbanding pinjaman PTPTN.

"Maka, kerajaan PH perlu kena ada satu mekanisma untuk mengawal yuran pendidikan ini. Dengan itu, pinjaman pendidikan seseorang individu akan berkurang dan peluang mereka membayar pinjaman PTPTN sangat tinggi.

Tambahnya, selain bidang perubatan hampir kesemua bidang lain mengenakan yuran yang agak tinggi.

Veeran turut mendakwa gaji yang rendah merupakan satu lagi faktor, peminjam PTPTN tidak mampu membayarnya pinjamannya.

"Saya kenal banyak anak rakan-rakan saya, membelanjakan hampir RM30,000 hingga RM40,000 untuk bidang kejururawatan. Tapi, gaji permulaan hanya dalam lingkungan RM1,500 hingga RM2,500 saja.

"Jadi, bagaimana mereka nak bayar pinjaman PTPTN?" tanya beliau.

Katanya, selain gaji minimum RM1,500, kerajaan PH juga perlu mengkaji semula tangga gaji pemegang diploma dan ijazah sarjana muda.

"Walaupun, kerajaan PH sudah 'kencing' dengan janji awal iaitu memansuhkan pinjaman PTPTN. Saya menggesa agar kerajaan menyelesaikan dulu masalah peminjam PTPTN sebelum membentang cadangan-cadangan yang mencekik lehernya," tegas beliau lagi.

Lihat Komen
ADS