Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Niat kembalikan sekatan PTPTN umpama pengkhianatan pada PH'
Diterbitkan:  May 17, 2019 3:06 PM
Dikemaskini: 8:33 AM

Exco Pulau Pinang Dr Afif Bahardin membidas Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Wan Saiful Wan Jan susulan cadangan untuk mengembalikan sekatan ke luar negara terhadap peminjam yang gagal membayar pinjaman pendidikan itu.

Afif yang juga merupakan Adun PKR menyifatkan cadangan itu sebagai mengkhianati perjuangan PH sebelum pilihan raya umum (PRU) lalu.

"Hanya dengan mempunyai niat untuk mengembalikan amalan (sekatan ke luar negara) tersebut umpama mengkhianati perjuangan awal pemuda-pemudi PH.

"Saya berpendapat jika saudara Wan Saiful tidak mampu mempertahankan janji PH, adalah kena pada masanya beliau memikirkan posisi beliau di dalam PTPTN sebagai pengerusi badan tersebut," katanya.

Terdahulu, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik menjelaskan bahawa cadangan untuk mengembalikan sekatan itu bukan dari PTPTN.

Sebaliknya, jelas Maszlee, ia dikemukakan dalam proses rundingan awam.

Bagaimanapun, Afif berkata, Wan Saiful tidak seharusnya mempertimbangkan untuk memperkenalkan semula amalan yang dipraktikkan oleh rejim lama BN.

"Saya ingin ingatkan saudara Wan Saiful bahawa isu PTPTN ini menjadi “rallying cry” bagi Pemuda PH di mana kami sebelum PRU ke-14 dahulu telah menggerakkan pemuda dan pemudi seluruh negara agar PTPTN mencari satu formula yang lebih berkesan untuk masa akan datang.

"Ia juga menjadi salah satu faktor penentu pemuda dan pemudi di negara ini mengubah sokongan mereka kepada Pakatan Harapan dan lantas menumbangkan rejim kleptokrat BN pada pilihan raya yang lalu," katanya.

Dalam kenyataan itu juga, Afif menggesa Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad masuk campur kerana menurutnya ia melibatkan janji PH dan juga aspirasi anak muda yang tidak ingin melihat isu kos sara hidup tinggi menjadi satu lagi beban kepada generasi yang akan datang.

Semalam, dalam taklimat media bersama pentadbiran tinggi PTPTN yang turut disertai Wan Saiful, PTPTN dikatakan sedang meneliti beberapa cadangan untuk mengutip baki pinjaman pendidikan.

Menurut Timbalan CEO PTPTN, Mastura Mohd Khalid, ia termasuklah cadangan menyekat peminjam daripada memperbaharui pasport, lesen, cukai jalan dan lesen perniagaan kepada kabinet.

Mastura juga menambah bahawa sekatan perjalanan ke luar negara merupakan kaedah paling berkesan oleh PTPTN dalam usaha mengumpul balik bayaran pinjaman daripada peminjam yang gagal membuat bayaran.

Dalam manifesto sebelum PRU ke-14, PH berjanji untuk menangguhkan pembayaran balik pinjaman PTPTN kepada semua peminjam yang mendapat gaji kurang dari RM4,000 sebulan dan memansuhkan dasar senarai hitam ke atas peminjam.

Pada Jun tahun lalu, sebanyak 265,149 nama daripada 433,708 peminjam PTPTN telah dikeluarkan daripada senarai hitam Jabatan Imigresen.

Bagaimanapun, peminjam bergaji RM4,000 ke bawah masih perlu membayar pinjaman seperti biasa kerana kedudukan kewangan negara dikatakan belum kukuh.

Lihat Komen
ADS