Kerajaan sedang menggubal satu undang-undang baru bagi membolehkan tindakan diambil terhadap mereka yang menggunakan daun ketum dan gam sebagai bahan ketagihan.

Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri Datuk Mohd Johari Baharom berkata Peguam Negara telah diarah menggubal undang-undang baru itu kerana pada masa ini tiada undang-undang atau akta khusus bagi kesalahan itu.

Undang-undang itu membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan lebih berkesan serta mendakwa mereka yang terlibat dengan pengambilan, pemilikan atau pengedaran bahan itu, katanya kepada pemberita selepas merasmikan pertandingan wau di Kampung Raja di Jitra.

Menurut laporan Bernama, Mohd Johari berkata terdapat penagih dadah yang dikesan menghidu tahi lembu bagi melepaskan ketagihan mereka.

Beliau juga berkata Agensi Anti-Dadah Kebangsaan mengesan banyak kes ibu bapa melindungi anak mereka yang menjadi penagih dadah.

Mohd Johari berkata 40 orang penagih baru berusia 18 hingga 25 tahun dikesan setiap hari.

Kerajaan, katanya, tidak akan berputus asa mencari jalan mengatasi sebarang masalah berkaitan penyalahgunaan dadah walaupun sukar menghapusnya.