Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Suhakam digesa siasat kes tahanan reman dakwa diseksa

Dua badan bukan kerajaan (NGO) menggesa anggota polis yang didakwa menyeksa individu yang ditahan reman.

Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dan Penghapusan Kematian dan Keseksaan Bersama (Edict) menggesa Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menjalankan siasatan mengenai penahanan Mahendra Samudam di ibu pejabat polis daerah (IPD) Sentul April lalu.

Pengerusi Edict, M Visvanathan, anggota polis yang terlibat dalam penahanan itu menyalahgunakan kuasa sebagai pihak berkuasa.

Visvanathan mendakwa, Mahendra hadir ke IPD Sentul 29 April lalu selepas dipanggil kerana disyaki suspek berhubung kes di bawah Akta Kanun Keseksaan Seksyen 395 dan 397 iaitu kesalahan rompakan.

Tambahnya antara penyeksaan yang dialami Mahendra sepanjang tempoh reman selama sembilan hari adalah ditendang di kepala, dikenakan renjatan elektrik beberapa kali dan dipukul dengan teruk.

“Mereka (pihak polis) tidak sepatutnya berbuat demikian ke atas seseorang.

“Saya anggap apa yang dilakukan sangat serius dan tidak berperikemanusiaan,” katanya.

Selain itu, Visvanathan juga menggesa agar kerajaan mewujudkan penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) agar dapat mengurangkan penyalahgunaan kuasa oleh pihak polis.

“Kes ini wajib disuarakan seiring dengan kebimbangan salah guna polis yang berlanjutan.

“Mengapa pentingnya IPCMC diwujudkan segera bagi mengelakkan lebih banyak penderaan, penyeksaan dan kematian dalam tahanan berlaku,” katanya.

Visvanathan berkata demikian ketika ditemui selepas sidang media dan penyerahan memorandum di ibu pejabat Suhakam Kuala Lumpur.

Sementara itu, ahli jawatankuasa Suhakam, Cheah Swee Neo berkata pihaknya akan meneliti dakwaan berkenaan.

“Kami (Suhakam) dah dengar penjelasan (pihak Edict dan Mahendra) dan akan lihat kembali memorandum diberi.

“Setelah itu kami akan buat keputusan lanjutan berkenaan isu ini,” katanya ketika ditemui di sidang media yang sama.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner S Shanmugamoorthy mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung dakwaan berkenaan dan akan melakukan siasatan.

Lihat Komen
ADS