story image
mk-logo
Berita
Syed Saddiq ikrar tolak cadangan senarai hitam peminjam PTPTN
Diterbitkan:  May 17, 2019 2:20 PM
Dikemaskini: 2:27 PM

Menteri Belia dan Sukan berikrar akan membantah jika cadangan untuk menyenaraihitamkan peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang belum mendapat pekerjaan dan gaji yang ‘bermaruah’ jika dibawa kekabinet.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman beliau menyertai politik untuk membela anak muda yang merupakan pewaris negara tercinta.

“Bagi mereka yang meminjam daripada PTPTN dan masih belum dapat perkerjaan atau pun sudah mendapat pekerjaan tetapi belum dapat gaji bermaruah, mereka tidak sepatutnya disenarai hitamkan oleh PTPTN.

“Kalau cadangan untuk menyenaraihitamkan anak muda yang belum bekerja atau belum dapat gaji bermaruah dibawa ke kabinet, saya selaku menteri belia dan sukan akan membantahnya sekeras mungkin, saya tak akan benarkan ia diluluskan (di kabinet) ini adalah komitmen saya,” kata Syed Saddiq di Instagramnya, hari ini.

Syed Saddiq berkata demikian merujuk cadangan yang dibangkitkan dalam taklimat awam pentadbiran tinggi PTPTN, semalam.

Semalam PTPTN dilaporkan menerima cadangan untuk memperkenalkan semula sekatan perjalanan ke luar negara terhadap peminjam yang gagal membayar balik pinjaman jika perkara itu dimahukan orang ramai.

Bagaimanapun, malam ini Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan dipetik Berita Harian menjelaskan beliau secara peribadi tidak bersetuju dengan cadangan mengembalikan sekatan perjalanan terhadap peminjam yang gagal membayar hutang.

Wan Saiful juga menafikan cadangan itu datang daripada pihaknya.

Jelas Wan Saiful, cadangan itu adalah hasil perbincangan antara PTPTN dengan kumpulan tertentu dalam rundingan meja bulat sebelum ini dan bukannya keputusan muktamad.

Terdahulu, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata cadangan itu hanya "salah faham" dan "bukan daripada PTPTN".

Jelas Maszlee ia sekadar dikemukakan dalam rundingan awam bagi mendapatkan pandangan orang ramai.

Sementara itu, Syed Saddiq yang juga menteri termuda Pakatan Harapan (PH) berkata kerajaan seharusnya membela masa depan anak muda.

“Jangan risau, anak muda sentiasa jadi barisan hadapan negara,” tegasnya.

Lihat Komen (0)
ADS
Paling Popular
Terkini
ADS