Malaysiakini
BERITA

PKR minta polis siasat video kakitangan Yapeim diugut

M Fakhrull Halim

Diterbitkan
Dikemaskini 18 Mei 2019, 9:11 pagi

Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil membuat laporan polis terhadap video individu dipercayai pegawai kanan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) ‘mengugut’ kakitangannya supaya tidak mengundi Pakatan Harapan (PH).

Kata Fahmi, ramai warganet mendakwa individu dalam video tersebut ialah Ketua Pengarah (KP) Yapeim, Abibullah Samsudin.

“Saya membuat laporan ini untuk mengesahkan sama ada benar itu adalah KP Yapeim Dato Abibullah Samsudin atau tak.

“Sekiranya benar apa yang disebut dalam video itu saya meminta pihak polis menyiasat bawah Seksyen 503 Kanun Keseksaan berkaitan ugutan jenayah dan Seksyen 9 (1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, kerana pengaruh tak wajar,” katanya di hadapan Balai Polis Pantai.

Dalam video yang tular kelmarin memaparkan ucapan seorang lelaki dipercayai pegawai kanan Yapeim ‘mengugut’ kakitangannya supaya ‘jangan undi Pakatan Harapan (PH).

Malah pegawai itu juga mengugut akan memeriksa satu persatu undi kakitangannya dan berkata “kalau anda mengundi PH, anda tak layak duduk di Yapeim. Pergilah cari kerja dengan DAP”.

Video berdurasi hampir dua minit itu dipercayai dirakam sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

'Bukan untuk pecat'

Mengulas lanjut Fahmi berkata sekiranya terbukti individu dalam rakaman itu merupakan pengarah Yapeim, ia merupakan satu kesalahan besar kerana mengugut kakitangannya.

Tambahnya, beliau juga akan menyemak dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berikutan kata-kata individu tersebut yang mendakwa ‘akan memeriksa satu persatu undi’ kakitangannya.

Ditanya sekiranya PH akan mengambil tindakan memecat sekiranya terbukti pegawai itu ialah ketua pengarah Yapeim, Fahmi menolak cadangan tersebut.

Katanya, PH tidak berniat untuk mengekang kebebasan bersuara tetapi menggunakan saluran undang-undang sekiranya berlaku kes ugutan atau salah laku.

“Bukan (untuk pecat). Kenapa saya tekankan saluran perundangan dan mahkamah, kerana kita perlu hantar satu mesej jelas. PH sendiri tak berniat untuk mengekang kebebasan bersuara.

“Tapi undang-undang sedia ada menyatakan kita tak boleh mengugut sesiapa dan kita tak boleh mengenakan pengaruh tak wajar terhadap pengundi menggunakan kedudukan untuk mempengaruhi (mereka)," jelasnya.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.