Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SPRM mungkin panggil Zahid
Diterbitkan:  May 21, 2019 1:00 PM
Dikemaskini: 5:00 AM

Presiden Umno yang sedang bercuti, Dr Ahmad Zahid Hamidi, mungkin akan dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak lama lagi bagi membantu siasatan kes pertukaran tanah (land swap) Kementerian Pertahanan.

Ditanya mengenai hal itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata sesiapa saja yang dilihat ada kaitan dengan kes yang sedang disiasat itu akan diambil keterangannya.

"Saya kena tengok dulu (keperluan memanggil Ahmad Zahid) tapi saya tak tolak kemungkinan itu.

"Sesiapa saja yang terlibat, SPRM akan panggil," katanya kepada media di Kuala Lumpur hari ini.

Untuk rekod, sebelum ini Ahmad Zahid pernah dilantik menjadi menteri pertahanan. Beliau berkhidmat di kementerian itu dari 2009 hingga 2013.

Terdahulu Azam berkata SPRM sudah menyiasat kes pertukaran tanah tersebut sejak beberapa bulan lalu ekoran dua aduan dibuat Kementerian Pertahanan kepada agensi terbabit.

Katanya SPRM juga meneliti laporan audit mengenai 16 pertukaran tanah melibatkan Kementerian Pertahanan yang didakwa meragukan, selain menyebabkan kerajaan kerugian sebanyak RM500 juta.

70 kertas siasatan

Azam memberitahu sebelum ini SPRM juga menerima aduan daripada wakil seorang lagi bekas menteri pertahahanan, Hishammuddin Hussein.

Anggota parlimen Sembrong itu berkhidmat sebagai menteri pertahanan dari 2013 hingga 2018.

Menurut Azam setakat ini belum ada tangkapan dibuat kerana SPRM masih di peringkat meneliti laporan yang diterima bagi melihat unsur-unsur kesalahan yang berada dalam bidang kuasa agensi terbabit.

Berkenaan siasatan terhadap kakitangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang yang disiasat kerana disyaki menerima suapan pihak tertentu, Azam berkata siasatan sudah di peringkat akhir namun belum disempurnakan sepenuhnya.

Katanya tidak kurang 70 kertas siasatan dibuka sehingga kini.

"Saya jangkakan selepas Hari Raya Puasa ini - atau mungkin sebelumnya - akan ada beberapa kes dibawa ke mahkamah," katanya.

Sementara itu ditanya mengenai siasatan projek pembangunan Taman Rimba Kiara, Azam berkata, SPRM menafikan badan itu tidak bertindak atas aduan yang dikemukakan.

Katanya penyiasat SPRM sudah diarahkan untuk mendapatkan maklumat lanjut daripada pihak tertentu.

Katanya SPRM akan mengemukakan hasil siasatan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

Lihat Komen
ADS