BERITA Malaysiakini

K'jaan harap dapat swastakan projek RTS, kata menteri

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Kerajaan Malaysia berharap akan dapat menswastakan projek Sistem Transit Rapid Johor-Singapura (RTS), kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Loke berkata demikian ketika bercakap kepada media selepas menandatangani perjanjian tambahan untuk penggantungan projek berkenaan dengan rakan sejawatannya dari Singapura, Khaw Boon Wan hari ini.

Loke berkata tempoh enam bulan sehingga September akan membolehkan kerajaan memiliki lebih banyak masa untuk memikirkan pilihan yang ada dalam mengurangkan kos RTS, yang sebelum ini dianggarkan sebanyak RM4 bilion.

"Kita ambil pendekatan untuk runding semula kerana kita nak melihat projek ini dapat dilaksanakan dengan kos yang lebih efektif dan kita juga berharap bahawa kos ini diambil alih ataupun dilaksanakan oleh pihak swasta.

"Sebelum ini projek ini adalah projek yang dilaksanakan oleh kerajaan (BN) dan kerajaan melalui Prasarana sepatutnya menanggung kos pembinaan ini.

"Tetapi kita mengharapkan bahawa kalau boleh, ada pihak swasta yang menanggung kos pembinaan ini dan juga dioperasikan melalui pihak swasta," katanya.

Ditanya jika ada syarikat swasta telah dikenal pasti untuk melaksanakan projek itu, Loke menafikannya dan menegaskan keperluan untuk perbincangan lebih lanjut dengan Singapura.

Katanya, selain itu penangguhan projek berkenaan juga akan membolehkan kerajaan mengkaji terma dan syarat projek yang sedia ada untuk menurunkan tambang RTS.

"Supaya pada akhirnya, apa yang kita nak lihat ialah bukan sahaja projek ini dapat dilaksanakan tetapi kadar tambang yang akan dikenakan kepada penumpang nanti lebih rendah daripada apa yang disasarkan sebelum ini.

"Sebelum ini apa yang kami lihat struktur kos agak tinggi dan ini melibatkan kadar tambang yang dicadangkan adalah RM15 satu hala.

"Jadi kalau RM15 satu hala, kita bimbang ia akan memberikan satu tekanan dan juga satu beban tinggi kepada rakyat Malaysia, terutamanya mereka yang ulang alik ke Singapura untuk bekerja setiap hari," katanya.

Singapura bersetuju menggantung projek berkenaan sehingga 30 September, dengan syarat Malaysia membayar kos penangguhan (abortive cost) sebanyak RM2 juta.

Loke berkata, pembayaran itu akan dibuat sebelum 30 Julai.