Malaysiakini BERITA

Kita semua masuk perangkap perkauman

S Arutchelvan

Diterbitkan

ULASAN | Kenyataan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik mengenai kuota matrikulasi mendapat kecaman hebat daripada pelbagai pihak, terutamanya golongan bukan Melayu dan mendapat sokongan pula daripada golongan Melayu secara amnya.

Siapakah sebenarnya rasis? Saya beranggapan bahawa majoriti rakyat kita adalah rasis dan ia tertanam dalam sanubari kita setiap orang. Namun, isu matrikulasi ini dipandang secara sempit oleh setiap kumpulan kaum demi mencapai agenda sempit masing-masing.

Sistem pendidikan kita, sistem politik kita, sistem ekonomi kita, semuanya berlandaskan perkauman, tetapi untuk memaparkan diri kita sebagai “bukan rasis”, maka ramai antara ahli-ahli politik cuba berhujah mengenai perpaduan, muhibah, 1Malaysia, Malaysian Malaysia, dan ini hanyalah menanam tebu di pinggir bibir kerana propaganda dan ceramah sebegini hanya ditujukan semasa mereka berdepan dengan masyarakat pelbagai kaum.

Memang ia adalah istilah politik yang betul (political correct), namun apabila mereka bersama kaum mereka sendiri, maka mereka akan biasanya bercerita mengenai bagaimana kaum masing-masing ditindas dan kurang mendapat perhatian.

Apabila Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran berucap di hadapan pengundi India di Port Dickson mengenai mengapa beliau suka makan di restoran India, sebenarnya ia adalah suatu kenyataan yang popular yang boleh membawa undi India.

Masalah hanya timbul apabila perkara itu disebar dan diviralkan kepada golongan Melayu. Begitu juga dengan kenyataan Mohamad Hasan di Port Dickson mengenai sekolah Cina dan India.

Beliau membangkitkan ini dalam satu ceramah untuk orang Melayu di mana pandangan sebegitu memang popular dan tidak salah. Namun, pada zaman sekarang setiap perkara boleh diviralkan.

Saya berpandangan bahawa Mohamad dan Kulasegaran memang kedua-duanya memancing undi daripada kaum masing-masing dan apabila didedahkan, maka mereka cuba buat damage control (kawalan kerosakan).

Bagi orang Melayu, Wahyamoorthy dan Lim Guan Eng adalah rasis; bagi orang India dan Cina pula, Zahid Hamidi dan Maszlee adalah rasis. Maka siapa sebenarnya adalah rasis atau bukan rasis di negara kita?

Budaya lapor polis dan viral

Hari ini wujudnya satu budaya di mana sekiranya seseorang membuat satu kenyataan yang berbaur rasis, maka ia akan diviralkan, sehingga pihak polis dan pihak pendakwa raya akan dipaksa untuk mengambil tindakan.

Maka, pesta membuat aduan polis akan bermula. Aduan polis ini dibuat oleh semua pihak sama ada orang Islam, Kristian, Hindu atau lain-lain. Ada pula kumpulan-kumpulan atau pasukan-pasukan yang seolah-olah menunggu isu-isu ini dan akan membuat aduan polis dan berkongsi dalam WhatsApp.

Setiap ayat yang sebelum ini boleh diabaikan atau tidak sensitif hari ini telah menjadi begitu sensitif. Kemudian mereka akan membanding-bandingkan tindakan penguatkuasa sama ada saksama atau tidak.

Hari ini begitu banyak kes mahkamah, baik kes penukaran agama, menghina agama dan lain-lain, semuanya dipesongkan dan dijadikan isu perkauman dan agama. Walaupun hampir semua kes ini adalah isu peribadi atau isu dalaman keluarga masing-masing, namun di negara kita, setiap isu perkahwinan campur, hak penjagaan anak atau penukaran agama mempunyai potensi untuk meletup dan menjadi satu isu nasional.

Begitu banyak ketegangan dan serangan juga berlaku di tempat ibadat. Seperti isu najis dan kepala babi dibuang dekat masjid dan surau, kepala lembu di kuil Hindu, gereja diserang dan sebagainya.

Azan dan loceng kuil yang sebelum ini tidak menjadi isu, hari ini pula sering menjadi isu. Sebagai seorang bekas Ahli Majlis MPKj, saya pernah menghadapi pelbagai isu di mana orang tidak suka tempat ibadat orang lain di kawasan perumahan mereka, orang tidak tahan bunyi azan dan lain-lain isu yang hanya memerlukan toleransi.

Hanya di Malaysia, anjing, lembu, kucing dan babi tidak ketinggalan dalam kontroversi perkauman.

Kuil Ladang Bangi dan Surau Berembang

Polarisasi kaum semakin merunding dalam masyarakat hari ini, dengan media sosial turut memainkan peranan dalam memburukkan keadaan. Biar saya menceritakan satu insiden sebenar yang berlaku minggu lalu.

Selepas pintu pagar Kuil Ladang Bangi berjaya dibuka oleh MPKj pada Jumaat lalu, saya duduk bersama beberapa orang India, termasuk seorang Ahli Majlis beretnik India daripada Pakatan Harapan (PH).

Rata-rata orang India yang duduk di sekeliling saya membuat satu kesimpulan bahawa, masalah ini hanya berlaku kerana ini adalah kuil Hindu, dan andaikata ini adalah surau, sudah tentunya perkara sebegini tidak akan berlaku. Masa itu saya mencelah.

Saya menceritakan semasa pihak berkuasa hendak merobohkan surau di Kampung Berembang di Ampang, saya adalah antara orang yang bersama penduduk tempatan yang cuba menghalang perobohan surau. Pada masa itu, ada seorang Melayu berkata, “kalau ini tempat ibadat orang India atau Cina, mesti tidak roboh.”

Beliau turut berkata bahawa di negara kita, pemimpim India dan Cina adalah bagus kerana membela kuil mereka masing-masing berbanding dengan pemimpim orang Melayu. Cerita itu mengejutkan orang India yang mendengarnya.

Beginilah masalah di Malaysia. Orang India hanya pergi ke upacara kematian orang India dan merungut bahawa ramai orang yang mati adalah orang india dan begitu juga orang Melayu pergi ke upacara kematian orang Melayu dan membuat kesimpulan bahawa majoriti orang Melayulah yang mati di negara ini. Masing-masing dengan persepsi mereka sendiri.

Suratkhabar-suratkhbar vernakular di Malaysia juga hanya biasanya menceritakan masalah masyarakat berlandaskan kaum dan budaya masing-masing. Bayangkan isu matrikulasi sekarang, bagaimana ia akan dipaparkan dalam suratkhbar Melayu, Mandarin dan Tamil.

Inilah masalah yang melanda negara kita. Setiap orang merasakan merekalah paling didiksriminasi dan perlu dibela.

PH terjerat dalam perangkap lama

PH sebenarnya tidak mempunyai keberanian untuk membicarakan sebarang isu perkauman yang melanda negara kita. Mereka cuba mengelak daripada menangani isu-isu, bukannya berhadapan dengannya.

Isu ICERD, Statut Rom, matrikulasi, UEC, Kuil Seafiled dan sebagainya, semuanya dielakkan daripada dibincang secara terbuka. Kerajaan menggunakan formula dulu, iaitu mengembalikan Akta Hasutan dan lain-lain untuk menyekat dan mengertak orang ramai daripada berbicara, bukannya menangani isu ini secara matang dan bersama.

Bagaimana kita hendak membawa perpaduan jika langsung tidak ada sebarang mekanisme untuk menangani masalah perkauman atau propaganda perkauman. Cara kita tangani isu ini pada hari ini adalah tidak berdepan dengannya.

Walaupun pada hakikatnya semua parti dominan dalam BN adalah parti perkauman – Umno, MCA dan MIC, dan begitu juga di Sabah dan Sarawak. Semasa Presiden Umno pertama Onn Jaafar cuba mengusulkan untuk Umno menjadi parti berbilang kaum, beliau telah disingkirkan daripada Umno dan beliau kemudianya menubuhkan Parti Negara yang selepas itu kecundang dalam Pilihan Raya Umum.

Walaupun DAP dan PKR secara teorinya adalah parti bukan perkauman, tetapi dalam parti-parti tersebut mempunyai bahagian India dan Cina untuk melobi isu-isu perkauman dalam parti dan juga menjadi jurucakap dalam isu-isu perkauman apabila melibatkan isu kaum masing-masing.

Dalam isu seperti hudud, Zakir Naik dan penukaran agama umpamanya, ahli-ahli dalam parti yang sama mempunyai posisi yang berbeza mengenai isu yang sama dan mereka menyokong mengikut prejudis kaum dan agama mereka.

Kapitalisme pisahkan rakyat

Perkauman sebenarnya adalah satu sistem dan di negara kita telah diinstitusikan semasa zaman penjajahan dulu, iaitu melalui dasar pecah dan perintah, manakala parti pemerintah selepas Merdeka terus mendukung sistem yang sama untuk terus memerintah.

Sistem yang diwujudkan daripada propaganda kerajaan dan pendukung sistem kapitalis, memastikan rakyat dipecah-belahkan mengikut kaum, agama dan kebudayaan.

Ini perlu bagi mewujudkan keseimbangan politik yang tidak mengganggu usaha eksploitasi kapitalisme tanpa disedari rakyat. Ia berkesan pada zaman penjajah dan terus diguna pakai selepas itu.

Perpaduan pelbagai kaum dan agama akan membawa kerisauan yang amat ketara kepada pihak kapitalis dan juga pemerintah, kerana solidariti bersama mereka akan membawa padah kepada kaum minoriti penindas.

Maka memecahbelahkan rakyat berlandaskan agama dan kaum adalah satu perancangan yang sistematik, teratur dan berniat untuk memastikan bahawa tidak wujudnya perpaduan di kalangan rakyat atau golongan yang tertindas. Ia digunakan setiap kali.

Dasar-dasar diskriminasi diwujudkan untuk mengukuhkan fahaman ini. Dasar Hak Istimewa untuk orang Melayu dan sistem kuota merupakan polisi-polisi yang dijunjung mulia oleh orang Melayu walaupun yang benar-benar untung daripadanya adalah golongan kapitalis dan kroni pemerintah sedangkan sebahagian besar orang Melayu terus ketinggalan akibat penindasan kapitalisme.

Walaupun dasar-dasar sedemikian mewujudkan pelbagai konflik dan mengancam perpaduan, pemerintah berjaya menyemai polisi-polisi sedemikian melalui propoganda dan paksaan. Sistem kapitalisme dan perkauman saling bantu-membantu untuk mengekalkan kuasa 1% terkaya dan mereka yang mendapat faedah daripadanya.

Belajar dari sejarah

Sejarah kita mempunyai penyelesaian untuk masalah ini. Penyelesaian ini dicapai melalui penyertaan ramai dalam projek politik yang dibawa oleh Putera-AMCJA dalam Perlembagaan Rakyat.

Perlembagaan ini begitu menggerunkan pemerintahan penjajah British sehingga mereka telah memberikan kemerdekaan kepada Umno dan Parti Perikatan demi menghancurkan alternatif rakyat.

Perlembagaan Rakyat anjuran Putera-AMCJA mengusulkan bahawa kerakyatan dibuka kepada semua dengan syarat semua menerima konsep negara sebagai Melayu. Antara cadangan Perlembagaan Rakyat pada masa itu adalah menubuhkan satu Majlis Kaum-kaum untuk menangkis diskriminasi kaum dalam undang-undang.

Yang menarik adalah, gabungan bukan Melayu pada masa itu, iaitu AMCJA, mengusulkan dalam dokumen 10 prinsip antara termasuk agama Islam sebagai agama rasmi, adat yang perlu dibawa orang Melayu sendiri dan perhatian khas harus diberi kepada kemajuan orang Melayu.

Jika Perlembagaan Rakyat menjadi perlembagaan kita, maka hari ini kita tidak ada isu Melayu, Cina dan India atau isu Bumiputera dan bukan Bumiputera. Semua akan dikenali sebagai orang Melayu dan ini dipersetujui oleh semua parti besar yang terdiri daripada semua kaum termasuk Cina dan India pada masa itu.

Hari ini apa yang PH kena buat adalah belajar daripada muafakat ini. PH kena ikhlas menangani isu ini secara terbuka dan mengadakan perbincangan dengan semua rakyat Malaysia.

Semua rakyat sebenarnya mencintakan keamanan dan semua rakyat boleh membincangkan masa depan bersama dengan syarat pemerintah hari ini dapat mewujudkan suasana untuk semua kaum supaya dapat membincangkan kemajuan negara kita bersama, bukannya hanya membincangkan masalah satu-satu kaum secara khusus.

Kita kena mencari penyelesaian bersama sepertimana pernah dilakukan oleh Putera-AMCJA. Isu ini tidak boleh terus ditunda atau dielak. Memandangkan perkauman di Malaysia bersifat institusi dan mendapat sokongan padu daripada kelas pemerintah, maka kita harus melawan struktur perkauman dan idelogi kelas pemerintah yang bersandar kepada politik kaum dan agama untuk mengekalkan kuasa politik.

Struktur perkauman hanya boleh runtuh apabila parti politik pemerintah yang sedia ada berani keluar daripada struktur ini dan membina struktur baru yang berdasarkan polisi berasaskan keperluan bukannya perkauman (need-based rather than race-based).

PH perlu mempunyai komitmen untuk membina struktur baru ini dengan melibatkan semua lapisan golongan masyarakat daripada peringkat kampung, rumah pangsa kos rendah sehinggalah ke taman perumahan, surau, kuil dan tokong, untuk membincangkan kepentingan bersama.

Perbincangan terbuka ini di semua peringkat akan dapat mewujudkan satu Malaysia yang bersatu dan menggariskan kepentingan-kepentingan nasional yang baru untuk Malaysia Baru secara organik.

Tanpa kita menukar struktur dan merobohkan tembok ini, segala desakan umpamanya meminta Dr. Maszlee meletak jawatan, hanyalah sandiwara dan retorik politik yang akan terus menebalkan polirasasi dan tempok perkauman ini.


S ARUTCHELVAN merupakan AJK Pusat PSM.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.