Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Kaedah baru dapat lesen import arak, rokok tak ikut prosedur?

Dengan langkah kerajaan membanteras rasuah dan salah guna kuasa dalam perkhidmatan awam, kaedah baru untuk mendapatkan lesen import minuman keras dan rokok daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) tanpa mengikut prosedur didakwa mula diperkenalkan.

Menurut sumber dalaman JKDM yang tahu tentang perkara itu, kaedah itu melibatkan orang tengah atau perunding - seramai 12 orang di seluruh negara - dan pegawai dalam jabatan itu.

Sumber mendakwa pihak yang mahu mendapat lesen import alkohol dan rokok - untuk tempoh tiga bulan - diminta membayar antara RM100,000 hingga RM150,000 kepada orang tengah.

"Selepas itu orang tengah itu akan bertindak sebagai perunding untuk menguruskannya. Mereka menyediakan segala dokumen diperlukan dengan bantuan pegawai kastam, yang kemudiannya akan mempercepatkan proses.

"Permohonan mereka akan dihantar ke panel untuk diluluskan...Kelulusan akan diberi dalam masa sebulan dan pemohon tak perlu hadir temu duga," dakwanya kepada Malaysiakini.

Menurutnya, permohonan lesen import alkohol dan rokok biasanya memerlukan pemohon untuk hadir temu duga dan proses biasanya memakan masa tiga bulan.

Sumber mendakwa kaedah itu mula digunakan sejak Januari lalu.

"Penglibatan pegawai kastam sendiri menyebabkan panel yang menilai permohonan lesen import tersebut tidak mengesyaki apa-apa," dakwa sumber lagi yang enggan namanya didedahkan.

Dia juga mendakwa kaedah serupa digunakan oleh individu yang disenarai hitam kastam untuk mendapatkan lesen menggunakan nama pihak ketiga.

Selain itu, dakwanya lagi, ada juga orang tengah yang menjual lesen tersebut dengan harga mencecah jutaan ringit kepada sindiket penyeludupan yang menggunakan pihak ketiga sebagai proksi.

Dia berkata perkara ini akan berterusan selagi lesen import rokok dan minuman keras tidak dibekukan.

"Mengapa kastam mengeluarkan kesen kepada syarikat yang tiada premis operasi dan tiada latar belakang perniagaan rokok dan minuman keras.

"Malah syarikat diberi lesen import minuman keras yang dikilangkan syarikat tempatan sedangkan syarikat itu masih mampu menampung permintaan pasaran tempatan," katanya lagi.

'Pemberi maklumat perlu tampil'

Ketua Pengarah Jabatan Kastam Paddy Abd Halim ketika dihubungi Malaysiakini, meminta pengadu untuk membuat laporan secara terus kepada pihak mereka agar ia dapat disiasat.

Paddy Abd Halim

"Mereka yang ada maklumat disarankan untuk menyalurkannya kepada kastam atau pihak seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Kami akan sentiasa memberi kerjasama penuh.

"Maklumat terperinci berserta bukti diperlukan agar siasatan dapat dibuat dengan cepat dan telus," katanya.

Beliau menegaskan prosedur pemberian lesen import mengikuat perundangan dan peraturan dan kastam sentiasa membuat penguatkuasaan untuk membendung sebarang kegiatan yang boleh menyebabkan penyeludupan.

"Kastam tidak akan berkompromi dengan pegawai yang terlibat dalam sebarang kelulusan (lesen dan permit) yang tidak mengikut prosedur," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS