Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sentimen agama, bangsa punca rusuhan pasca-PRU Indonesia
Diterbitkan:  May 22, 2019 4:43 PM
Dikemaskini: 8:43 AM

Ada teladan yang boleh diambil daripada kekacauan yang berlaku di Indonesia selepas negara itu selesai menjalani pilihan raya umum dan pemilihan presiden.

Kata penganalisis politik, Prof Dr Mohammad Agus Yusoff, ada tiga isu yang dimainkan pihak yang berkenaan di Indonesia dalam pemilihan presiden negara itu.

Menurut Agus, sebahagian rakyat Indonesia menyatakan rasa marah bukan disebabkan Joko Widodo - yang memenangi pemilihan presiden untuk penggal kedua - dikaitkan dengan rasuh.

Katanya isu yang dimainkan itu ialah mendakwa Islam sedang terancam dan pada masa sama ulama dizalimi, orang Cina akan menguasai negara itu jika Joko Widodo menang, serta badan pengendali pilihan raya Indonesia - Komisi Pemilihan Umum (KPU) - tidak adil.

"Di Indonesia sekarang, rakyat dirasuk bukan kerana Jokowi rasuah, tapi tiga perkara: agama terancam dan ulamak dizalimi, kaum Cina menguasai negara, dan KPU curang," katanya.

Pensyarah sains politik di Universiti Kebangsaan Malaysia itu menambah, sentimen seumpama itu memang berbahaya dan boleh menjangkiti negara ini jika tidak dikawal kerajaan.

"Untuk Malaysia, berhati-hati menggunakan isu agama dan kaum dalam politik. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga jangan curang dan perlu adil. Begitulah!" katanya dalam satu hantaran terbaru di Facebook.

Umum dini hari

KPU mengumumkan keputusan rasmi pemilihan presiden Indonesia semalam ketika pencabar Joko Widodo - atau lebih dikenali sebagai Jokowi - bertegas majoriti rakyat negara itu memilihnya sebagai pemimpin.

Kemenangan Joko Widodo memang sudah diramalkan pelbagai pihak termasuk beberapa badan penyelidik selepas PRU dilangsungkan pada 17 April lalu.

Bagaimanapun disebabkan pemilihan presiden dijalankan serentak dengan PRU, KPU mengambil masa untuk mencatat keputusan rasmi.

Joko Widodo dicabar kali kedua oleh bekas panglima tentera Indonesia pada zaman Suharto, Prabowo Subianto.

Prabowo pernah menjadi menantu kepada Suharto apabila dia berkahwin dengan Siti Hediati Hariyadi - atau lebih dikenali sebagai Titiek Suharto - pada 1983.

Pasangan itu kemudian bercerai pada 1998.

Sehingga petang ini sekurang-kurangnya enam orang terbunuh dalam keganasan di antara penyokong Prabowo dan pihak berkuasa Indonesia.

Beliau turut merakamkan rasa sedih ekoran keputusan Pilpres diumumkan jam 2 pagi 21 Mei.

Agus berkata tindakan KPU mengumumkan keputusan rasmi bahawa Joko Widodo memenangi pemilihan itu juga agak aneh apabila ia dibuat pada awal pagi.

"Aneh, diumumkan waktu rakyat sedang tidur," katanya.

Menurut Agus rusuhan tersebut wajar dihentikan segera kerana ia boleh merebak menjadi keadaan yang lebih buruk berbanding kekacauan pernah berlaku pada era reformasi 1998.

Jika rusuhan terdahulu berlaku akibat masalah ekonomi, katanya, rusuhan kali ini berpunca daripada sentimen agama.

"Inilah senjata orang politik. Hendak kuasa gunakan aparatus negara seperti polis, birokrat dan pengendali pilihan raya. Lebih teruk, gunakan agama dan kaum," katanya.

Joko Widodo, 57, dan pasangannya untuk jawatan naib presiden, Ma'ruf Amin, 76, memperolehi 85,607,362 undi.

Pasangan Prabowo, 67, dan Sandiaga Uno, 49, memperolehi 68,650,239 undi.

Majoriti 16.95 juta undi yang diperolehi Joko Widodo itu lebih tinggi berbanding undi yang diterimanya pada 2014, iaitu 6.4 juta.

Lihat Komen
ADS