Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Perbicaraan kes Musa Aman dijadual bermula tahun depan

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 8 Jun 2020 sebagai tarikh perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan bekas ketua menteri Sabah, Musa Aman.

Perbicaraan akan berlangsung setiap hari kecuali Jumaat, sehingga 23 Julai, tahun depan.

Pertuduhan 35 kes rasuah dan 16 pengubahan wang haram itu dibacakan semula kepadanya hari ini di Mahkamah Tinggi di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Kesnya kemudian dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi selepas permohonan oleh pihak pendakwa.

TPP Raja Rozela Raja Toran berkata disebabkan oleh "beberapa perkembangan", pihak pendakwaan sedang menimbangkan untuk meminda beberapa tuduhan.

"Kami jangkakan keputusan (sama ada untuk mengubah pertuduhan) tidak lama lagi," katanya kepada mahkamah hari ini.

Mahkamah kemudian menetapkan 24 Julai tahun ini untuk pengurusan kes.

Pada 5 Mac lalu, Musa memohon untuk dibicarakan bagi 16 pertuduhan di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001(AMLATFAPUAA) membabitkan AS$37.8 juta (RM155.5 juta).

Selain itu, Musa juga menghadapi 35 pertuduhan rasuah di bawah Seksyen 11 (a) Akta Pencegahan Rasuah 1997.

Dia dituduh menerima sejumlah AS$63.2 juta (RM260 juta) sebagai rasuah dalam pertukaran untuk kontrak pembalakan.

Kesalahan itu didakwa berlaku di Hong Kong dan Singapura, melalui proksi, antara tahun 2004 dan 2008.

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan Musa mengekalkan pengakuan tidak bersalah atas 35 pertuduhan rasuah berhubung kontrak konsesi balak di Sabah dan 16 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah lebih AS$37.8 juta dan S$2.5 juta, di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur, hari ini.

Kesemua 51 pertuduhan dibacakan semula satu persatu terhadap Musa, 68, oleh dua jurubahasa mahkamah selama hampir satu jam di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Beliau yang dibenarkan duduk di dalam kandang tertuduh atas faktor kesihatan menjawab “minta bicara” ketika ditanya apakah pengakuannya terhadap kesemua pertuduhan itu.

Hari ini merupakan sebutan kali pertama kes itu di Mahkamah Tinggi selepas kes berkenaan dibenarkan dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran memohon 35 pertuduhan rasuah dan 16 pertuduhan pengubahan wang haram itu dibicarakan bersama kerana ia membabitkan transaksi yang sama.

Tiada sebarang bantahan dikemukakan barisan peguam yang diketuai Francis Ng Aik Guan.

Hakim Sequerah membenarkan permohonan itu dan menetapkan perbicaraan selama 22 hari bermula 8 Jun 2020 dan dijangka 30 saksi pendakwaan akan dipanggil memberi keterangan.

Tarikh perbicaraan yang ditetapkan ialah 8 hingga 11 Jun, 15 hingga 18 Jun, 22 hingga 25 Jun, 6 hingga 7 Julai, 13 hingga 16 Julai dan 20 hingga 23 Julai. Perbicaraan akan berlangsung pada Isnin sehingga Khamis dan dilapangkan pada setiap Jumaat.

Mahkamah turut menetapkan 24 Julai ini untuk pengurusan kes.

Mengikut semua 35 pertuduhan rasuah, Musa, sebagai seorang ejen kerajaan negeri Sabah iaitu Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah, dengan secara rasuah memperoleh untuk diri beliau suapan iaitu wang keseluruhan berjumlah AS$63.3 juta (RM263,460,962.313).

Wang suapan itu ialah sebagai dorongan untuk melakukan perbuatan berhubung hal ehwal prinsipal beliau, iaitu memberikan kontrak konsesi balak Sabah kepada beberapa buah syarikat antaranya Syarikat Segar Tepat Sdn Bhd dan JV Lestari Sdn Bhd.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di tujuh bank dan institusi kewangan di luar negara, antaranya HSBC Bank, Claymore Plaza, dan Ocean Tower di Singapura serta UBS AG Bank, Central, Hong Kong, China.

Pendakwaan mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama.

Jika disabitkan, beliau boleh dihukum maksimum penjara 29 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan jika ia dapat dinilai dalam bentuk wang, atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi.

Mengikut pertuduhan pertama bagi tuduhan pengubahan wang haram, Musa didakwa telah melibatkan diri secara tidak langsung dalam transaksi pengubahan wang haram dengan mengarahkan Richard Christopher Barnes, 67, untuk membuka satu akaun di Bank UBS AG Singapura di atas nama Richard untuk menerima hasil dari aktiviti haram di Bank UBS AG, Singapura pada 21 Jun, 2006.

Musa juga dituduh atas pertuduhan alternatif bagi pertuduhan pertama iaitu telah melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan mengarahkan Richard untuk membuka satu akaun di Bank UBS AG Singapura melalui akaun atas nama Richard untuk menyembunyikan pemunyaan Musa ke atas hasil dari aktiviti haram di tempat dan pada tarikh sama.

Bagi pertuduhan kedua hingga ke-15, Musa didakwa telah melibatkan diri secara tidak langsung dalam pengubahan wang haram dengan menerima wang daripada individu dan syarikat melalui akaun atas Barnes di mana kesemua wang itu adalah hasil daripada aktiviti haram.

Bagi pertuduhan terakhir iaitu pertuduhan ke-16, Musa didakwa cuba untuk melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan mengarahkan Barnes memindahkan semua aset dan kemasukan wang yang akan datang dari akaun di atas nama Barnes ke akaun miliknya di Bank UBS AG Zurich di mana kesemua aset dan kemasukan wang tersebut adalah hasil dari aktiviti haram.

Mengikut pertuduhan kedua sehingga ke-16, Musa dituduh melakukan perbuatan itu di Bank UBS AG, Central Hong Kong Special Administrative Region of the Republic of China antara 21 Jun 2006 dan 14 Mei 2008.

Semua pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda lima kali ganda nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Lihat Komen
ADS