Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penggantungan Abibullah bukan kerana video - Yapeim
Diterbitkan:  May 23, 2019 4:54 PM
Dikemaskini: 9:32 AM

Lembaga Pemegang Amanah (LPA) Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) menjelaskan bahawa faktor utama penggantungan Ketua Pengarah (KP) Yapeim, Abibullah Samsudin bukanlah disebabkan oleh video berunsur ugutan yang tular pada minggu lalu.

Sebaliknya, menurut pengerusi LPA, Dr Mohd Daud Bakar asas utama penggantungan Abibullah adalah bagi membolehkan siasatan dalaman dilakukan berhubung dakwaan salah laku dalam Yapeim.

“Asas utama penggantungan perkhidmatan KP Yapeim adalah bagi membolehkan pihak Yapeim melaksanakan proses siasatan dalaman berhubung dakwaan salah laku selaras dengan dapatan laporan audit oleh firma PwC baru-baru ini.

“Penggantungan perkhidmatan adalah suatu proses standard di dalam mana-mana organisasi jika terdapat kemungkinan dakwaan salah laku di mana seseorang staf boleh disiasat berdasarkan kepada peraturan dalaman organisasi tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, biarpun laporan media mengaitkan penggantungan Abibullah dengan penularan rakaman ucapan beliau sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 itu, Mohd Daud memaklumkan bahawa dua perkara itu ‘tiada kaitan sama sekali’.

“Sehubungan dengan itu, LPA Yapeim memohon kerjasama dan jasa baik pihak media dan media sosial untuk menghentikan segala spekulasi (tersebut) [...] bagi membolehkan pihak LPA Yapeim melaksanakan tugas yang sewajarnya,” katanya lagi.

Kelmarin, Yapeim mengumumkan penggantungan sementara Abibullah dari menjalankan tugas sebagai KP bagi membolehkan siasatan menyeluruh berhubung dakwaan salah laku yang dikaitkan dengannya.

Pengumuman itu dibuat beberapa hari selepas penularan video yang memaparkan seorang individu yang didakwa Abibullah membuat ucapan berbaur ugutan terhadap kakitangan Yapeim agar tidak mengundi PH dalam PRU lalu.

Individu tersebut mengugut untuk memeriksa satu persatu undi kakitangannya dan berkata “kalau anda mengundi PH, anda tak layak duduk di Yapeim. Pergilah cari kerja dengan DAP”.

Yapeim sebelum itu berdepan dengan dakwaan penyalahgunaan RM1 juta daripada dana anak yatim yang diamanahkan kepadanya bagi membayar yuran guaman peguam yang juga pembantu kepada bekas perdana menteri Najib Razak pada tahun 2017.

Bagaimanapun, Yapeim menafikan dakwaan tersebut dan menjelaskan yuran guaman itu diambil daripada dana am dan bukannya dana amal jariah serta melibatkan jumlah yang jauh lebih kecil.

Selain itu, Yapeim turut dilaporkan mengalami kerugian RM12 juta menerusi skim gadaian emasnya melibatkan 1,000 pelanggan projek gadaian Islam Ar-Rahnu.

Kerugian tersebut dikatakan berlaku disebabkan Yapeim gagal membuat lelongan ke atas barang kemas tidak ditebus sebanyak 300 kg dengan nilai RM80 juta, dari 2012 hingga 2014.

Pada sidang media 15 Mei lalu, Mohd Daud mengakui bahawa selepas meneliti laporan audit luar oleh firma PwC, wujud kemungkinan salah laku dan kecuaian terhadap pihak pengurusan yayasan itu sejak beberapa tahun yang lepas.

Jawatan KP Yapeim kini dipangku oleh pengarah kanannya, Parihah Hasan.

Lihat Komen
ADS