Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MPS nafi menyamar tangkap orang tak puasa
Diterbitkan:  May 23, 2019 9:58 AM
Dikemaskini: 10:16 AM

Majlis Perbandaran Segamat (MPS) dalam suatu kenyataan hari ini menafikan laporan pegawainya melakukan penyamaran sebagai pekerja kedai makan bagi menangkap orang Islam yang makan secara terbuka di bulan puasa.

MPS juga menafikan Yang Dipertuanya Mohd Masni Wakiman yang dipetik dalam laporan itu telah membuat kenyataan tersebut. 

Malahan, kata MPS, Mohd Masni tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan berkenaan perkara itu.

"Pihak MPS juga menafikan kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan akhbar-akhbar tersebut yang kononnya oleh YDP sendiri.

"Pihak MPS tidak pernah melakukan operasi penyamaran untuk mengintip atau menangkap individu Islam yang tidak berpuasa dalam bulan Ramadan sebagaimana yang dinyatakan.

"Perkara tersebut adalah di luar bidang kuasa pihak MPS.

"Untuk makluman juga, dalam syarat lesen perniagaan yang dikeluarkan, tiada larangan waktu tertentu untuk peniaga menjalankan aktiviti perniagaan dalam bulan mulia ini," kata majlis tempatan itu.

Terdahulu, Mohd Masni dipetik harian berbahasa Inggeris New Straits Times (NST) berkata seramai 32 orang penguat kuasa Majlis Perbandaran Segamat (MPS) menyamar sebagai pekerja kedai makan bagi menangkap orang Islam yang makan secara terbuka di bulan puasa.

Dua daripadanya, yang pandai membuat roti canai, teh tarik dan mee goreng mamak, akan menyamar sebagai tukang masak dan dan pelayan, lapor NST lagi.

"Kami telah memilih secara khas pegawai-pegawai yang berkulit gelap untuk melakukan tugas penyamaran.

"Mereka kedengaran meyakinkan apabila bercakap bahasa Indonesia dan Pakistan, jadi pelanggan akan percaya bahawa mereka benar-benar diupah untuk memasak, menyediakan makanan dan mengambil pesanan," katanya.

Katanya terdapat 185 gerai dan premis makanan berlesen bawah MPS yang terletak di 15 lokasi, antaranya Segamat, Bandar Putra IOI, Segamat Baru, Jalan Segamat Muar, Taman Yayasan, Buloh Kasap, Jementah, Batu Anam, dan Bandar Utama.

Mohd Masni selanjutnya dipetik NST berkata selepas pesanan makanan dibuat, anggota penguat kuasa MPS akan mengambil gambar secara rahsia pihak yang makan dan segera melaporkannya kepada Majlis Agama Islam Segamat.

Bagaimanapun, MPS menafikan kenyataan tersebut dibuat yang dipertuanya, tetapi tidak menjelaskan secara terperinci sama ada Mohd Masni disalah petik atau ulasannya diambil di luar konteks.

Lihat Komen