Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anak Taib Mahmud gagal lagi dapatkan injunksi terhadap NGO Swiss
Diterbitkan:  May 24, 2019 9:07 AM
Dikemaskini: 3:33 AM

Anak Yang di-Pertua Sarawak, Jamilah Taib Murray dan suaminya Sean Murray sekali lagi gagal dalam permohonan injunksi terhadap NGO Bruno Manser Fund (BMF) yang berpangkalan di Switzerland berhubung dakwaan fitnah.

Pada 22 Mei lalu, Mahkamah Rayuan Switzerland menolak permohonan bagi mendapatkan injunksi sementara untuk mengharamkan 255 penerbitan yang mengaitkannya, ahli-ahli keluarga terdekat beliau dan syarikat hartanah beliau - Sakto Corporation dan Sakto Development Corporation di Kanada - atas pertuduhan pengubahan wang haram dan rasuah di Sarawak.

"Kami gembira dengan penghakiman yang sangat jelas dan baik ini.

"Daripada nak menyaman sebuah badan bukan kerajaan yang bercakap benar, keluarga Taib akhirnya harus mendedahkan asal-usul kekayaan yang tidak dapat dijelaskan," kata Lukas Straumann, pengarah eksekutif BMF dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu juga berkata mahkamah memutuskan Jamilah terlalu lewat memfailkan kesnya, sembilan tahun selepas hartanya dikaitkan secara terbuka oleh defendan dengan dakwaan salah laku semasa tempoh bapanya, Taib Mahmud menjadi ketua menteri Sarawak.

"Dalam penghakiman 51 muka surat, mahkamah berkata, selama sembilan tahun, usahawan Malaysia-Kanada itu tiada masa langsung untuk memberi respons terhadap dakwaan Bruno Manser Fund, walaupun perhimpunan diadakan di hadapan kediaman peribadinya di Rockcliffe Park Ottawa bagi menggesa aset keluarga Taib dibekukan," menurut kenyataan itu.

Pada awal Februari tahun ini, Mahkamah Sivil Switzerland mengarahkan Jamilah, suaminya dan Sakto Corporations membayar 166,000 francs Switzerland (RM673,960) sebagai ganti rugi kepada BMF.

NGO yang berpangkalan di Basel itu dinamakan sempena kehilangan Bruno Manser, aktivis yang terlibat dalam melindungi hutan dan hak-hak masyarakat pribumi di Sarawak.

BMF sebelum ini mendakwa Jamilah dan firma hartanah suaminya yang ditubuhkan pada 1983, menguasai lebih RM1 bilion aset hartanah di Kanada, Australia, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Malaysia.

Percubaan NGO itu mengambil tindakan terhadap syarikat milik Murray melalui pendakwaan swasta gagal pada Februari 2018 apabila mahkamah Toronto enggan memberikan pendedahan mengenai rekod kewangan Sakto kepada BMF.

Terdapat gesaan di Malaysia agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) menyiasat Taib Mahmud dan keluarganya kerana melakukan rasuah besar-besaran.

Lihat Komen
ADS