Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sundra Rajoo peroleh kebenaran untuk hujah imunitinya
Diterbitkan:  May 24, 2019 11:52 AM
Dikemaskini: 3:52 AM

Bekas pengarah Asian International Arbitration Centre (AIAC), Datuk Prof Dr N Sundra Rajoo boleh berhujah sama ada beliau layak bagi imuniti untuk mana-mana pertuduhan semasa kapasiti rasminya di Mahkamah Tinggi.

Ini selepas beliau diberi pengecualian oleh Mahkamah Rayuan di Putrajaya semalam untuk memulakan satu prosiding reviu undang-undang bagi mencabar kelayakannya untuk imuniti bagi sebarang pertuduhan.

Ketika membenarkan rayuan Sundra Rajoo, Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli yang mengetuai barisan tiga orang hakim berkata, panel berkenaan sebulat suara berpandangan bahawa ini adalah kes sesuai untuk merayu reviu mahkamah.

“Kami bersetuju dengan penghujahan rayuan itu (Sundra Rajoo) bahawa hakim berkenaan melakukan kesilapan pada awal ketika memasuki merit kes berkenaan,” kata Hakim Abdul Rahman yang mempengerusikan rayuan itu bersama-sama Hakim-hakim Datuk Hasnah Mohammed Hashim dan Datuk Wira Kamaludin Md Said.

Beliau berkata, soalan-soalan yang dibangkitkan dalam permohonan kaji semula undang-undang itu memerlukan pertimbangan matang dan perbincangan pada perbicaraan substantif prosiding kaji semula undang-undang.

“Dalam sesuatu keadaan rayuan itu dibenarkan. Keputusan Mahkamah Tinggi diketepikan. Pengecualian diberi,” kata Hakim Abdul Rahman dan memerintahkan agar kes itu disebut di hadapan hakim Mahkamah Tinggi lain pada 29 Mei.

Sundra Rajoo, yang hadir di mahkamah merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 26 Mac, tahun ini yang menolak pengecualian beliau untuk kaji semula undang-undang terhadap kelayakan beliau untuk imuniti daripada sebarang pertuduhan.

Dalam permohonan itu, beliau menamakan Kementerian Hal Ehwal Luar Malaysia, Peguam Negara (AG), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dan Kerajaan Malaysia sebagai responden.

Terdahulu, peguam K. Shanmuga yang mewakili Sundra Rajoo, mengemukakan bahawa Mahkamah Rayuan itu perlu membenarkan anak guamnya berhujah atas merit bagi kes itu di Mahkamah Tinggi.

“Ini kes yang sempurna untuk didebat. Ia kes yang sesuai dan tepat yang patut dalam perbicaraan penuh,” katanya dan menambah bahawa Hakim Mahkamah Tinggi tersilap dalam undang-undang ketika menolak permohonan pengecualian anak guamnya.

Peguam Kanan Persekutuan, S Narkunavathy bertindak bagi pihak responden membalas bahawa kes itu bukanlah kes diperdebatkan yang memerlukan perbicaraan penuh.

Lagipun, katanya, tiada siapa pun menghalang perayu untuk mengemukakan perkara itu kerana dia boleh membawa isu itu ke Mahkamah Jenayah, di mana dia didakwa.

Pada 4 Mac, tahun ini, Sundra Rajoo, 63, yang ketika itu ketua AIAC dari 2010 hingga tahun lepas, mengemukakan pengecualian bagi prosiding kaji semula undang-undang di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi memohon satu pengisytiharan bahawa beliau mempunyai imuniti sebagai seorang bekas pegawai berjawatan tinggi iaitu pengarah AIAC (pusat berkenaan) atas tindakan yang dilakukan dalam kapasiti beliau sebagai pegawai.

Sundra Rajoo juga memohon satu perintah bagi peruntukan menghalang AG daripada meletakkan sebarang dakwaan atau membawa sebarang prosiding ke mana-mana mahkamah di Malaysia terhadap beliau berhubung dengan sebarang tindakan yang dilakukannya dalam kapasiti beliau sebagai pengarah AIAC, dan terutama berhubung sebarang tindakan atau pengabaian oleh beliau semasa tempoh beliau berkhidmat sebagai pengarah pusat itu yang berhubung dengan harta, dana atau dokumen pusat berkenaan atau sebaliknya yang berhubung dengan hal ehwal pusat berkenaan.

Beliau juga memohon satu perintah bagi peruntukan menghalang SPRM daripada menangkap, menahan, menyerahkan sebarang surat waran atau lain-lain ataupun mengemukakan sebarang prosiding undang-undang atas apa-apa ke atas beliau berhubung apa-apa yang dilakukan beliau dalam kapasiti sebagai pengarah AIAC, dan terutama lagi berhubung sebarang tindakan atau pengabaian oleh beliau semasa tempoh memegang jawatan sebagai pengarah pusat itu yang berkaitan dengan harta, dana atau dokumen pusat berkenaan atau sebaliknya atau apa-apa pun yang berhubung dengan hal ehwal pusat itu.

Pada 26 Mac, Sundra Rajoo mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan pecah amanah (CBT) dana AIAC berjumlah lebih RM1 juta, tiga tahun lepas.

- Bernama

Lihat Komen
ADS