Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dakwaan tipu status GLC T'ganu: Lebih baik diam diri - MB

Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengambil pendekatan mendiamkan diri dari mengulas dakwaan dirinya berbohong berkenaan status sebuah syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC).

Sebaliknya, Ahmad Samsuri menyerahkan segala tindakan lanjut kepada syarikat perlombongan yang membuat dakwaan sedemikian.

"Saya rasa kalau ia merujuk kepada apa yang saya katakan (isu GMSB), kalau dia rasa tidak betul, saya serahkan kepada dialah.

"Apa juga langkah seterusnya, kita tidak ada apa-apa lagi yang hendak diperkatakan dan saya rasa di pihak kita adalah lebih baik kita berdiam diri dan biarlah langkah-langkah yang dia hendak buat," katanya kepada Malaysiakini  di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), baru-baru ini.

Pada 21 Mei lalu, pengarah urusan sebuah syarikat perlombongan mendakwa Ahmad Samsuri berbohong kepada media berkenaan status sebuah syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC).

R Rajagopal, pengarah kepada Golden Mineral Sdn Bhd (GMSB) yang baru-baru ini menang saman terhadap GLC, Permint Mineral Sdn Bhd (PMSB), mendakwa Samsuri memberi kenyataan palsu apabila mengatakan PMSB telah dibubarkan.

Rajagopal merujuk kenyataan Samsuri yang disiarkan Berita Harian 15 Mei lalu, yang mengatakan kerajaan negeri menyerahkan soal melunaskan pampasan RM15.3 juta kepada GMSB kepada proses undang-undang.

Beliau juga dipetik berkata, kerajaan negeri tidak boleh berbuat apa-apa kerana syarikat itu telah dibubarkan, dan soal perundangan itu antara dua syarikat tersebut.

Mahkamah Rayuan pada September 2018 mengarahkan PSMB membayar pampasan RM15.3 juta kepada GMSB.

Pampasan itu untuk 20 bulan - antara Ogos 2010 hingga Mac 2012 - ketika Golden Mineral tidak dapat menjalankan kegiatan perlombongan di Kemaman, Terengganu ekoran pertikaian kontrak antara kedua-dua pihak.

Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan pada 14 Mac lalu.

Lihat Komen
ADS