Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata bahawa beliau memandang serius laporan seorang bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat telekomunikasi yang ditahan atas dakwaan mencabul anak gadisnya sendiri.

"Saya memang serius dengan dakwaan ini. Kita tidak boleh tolak ansur gangguan seksual ke atas sesiapa sahaja.

"Apa jua isunya, yang penting adalah masa depan anak-anak kita," katanya kepada pemberita di satu majlis di Menara Axiata, KL Sentral, pagi tadi

Mengulas lanjut, Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, berkata sekiranya perlu beliau akan menggesa pihak berkuasa agar membuat siasatan dengan lebih mendalam.

Katanya, beliau telah dimaklumkan polis telah menyiasat kes ini dan pendakwaan mengeluarkan notis tiada tindakan lanjut.

"Saya dapat laporan bahawa timbalan pendakwa raya mengeluarkan notis NFA (tiada tindakan lanjut) setelah menerima maklumat daripada polis dan pemeriksaan.

"Kes ini telah disiasat. Kes ini dibawah bidang kuasa polis dan hospital bukan JKM (Jabatan Kebajikan Malaysia)," katanya lagi.

15 laporan sejak 2015

Terdahulu, portal The Star melaporkan pihak polis menahan seorang bekas CEO syarikat telekomunikasi selepas didakwa mencabul anak gadisnya sendiri.

Difahamkan, beliau ditahan oleh polis selepas bekas isterinya telah membuat sekurang-kurangnya 15 laporan polis sejak tahun 2015, selepas pasangan itu berpisah.

Beliau didakwa telah mencabul anak-anak mereka. Kedua-duanya mempunyai hak penjagaan bersama dua anak perempuan mereka dan seorang anak lelaki.

Bekas CEO itu ditahan di Balai Polis Hulu Kelang Khamis lalu selepas didakwa menceroboh masuk ke rumah bekas isterinya.

Dia dibebaskan dengan jaminan polis pada hari Ahad, sehari sebelum perintah tahanan reman empat hari terhadapnya berakhir.

Laporan itu turut memetik kenyataan Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman, ASP Choo Lily sebagai berkata bahawa kes tersebut diklasifikasikan sebagai NFA selepas berunding dengan Timbalan Pendakwa Raya (DPP) yang terlibat.

"Beberapa kes ini dikelaskan sebagai NFA oleh DPP kerana kekurangan bukti," tambah Choo lagi.

Menurut laporan The Star, dipercayai ibu kepada dua anak tersebut mengesyaki sesuatu yang tidak kena telah membawa dua anak perempuannya kepada seorang kaunselor pada tahun 2015.

Sesi kaunseling ini yang dirakam video itu, lapor The Star lagi memaparkan kanak-kanak berkenaan secara grafik menceritakan beberapa perkara yang bapa mereka lakukan kepada mereka.

Kaunselor tersebut kemudian dilaporkan memberi nasihat kepada isteri CEO itu untuk membuat laporan polis selepas mendengar pengakuan kedua-dua anak perempuannya, yang berusia lapan dan 10 pada masa itu.

"Kes ini di bawah bidang kuasa polis dan hospital. Kita tunggu siasatan mereka. Kes ini berbunyi sangat serius.

"Kalau ada apa-apa, kami akan tekan mereka (pihak berkuatkuasa) untuk ambil tindakan," tegas Wan Azizah lagi.

Lihat Komen
ADS