Paling Popular
Terkini
story images
story images

Timbalan Presiden MIC M Saravanan menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof tidak melibatkan Jalan Tun Sambanthan, berhubung cadangannya untuk menukar nama salah satu jalan di Brickfields di Kuala Lumpur.

Beliau mengulas Mujahid yang mencadangkan agar nama salah satu jalan di situ - yang menempatkan rumah ibadat pelbagai agama - ditukar kepada Jalan Harmoni.

Saravanan berkata MIC telah berusaha sekian lama untuk menamakan jalan tersebut sempena VT Sambanthan, iaitu tokoh kemerdekaan dan presiden kelima parti itu.

"Jadi kami gesa kalau menteri mahu tukar nama di kawasan itu, jangan libatkan Jalan Tun Sambanthan.

"Boleh tukar nama dengan Jalan Scott, Jalan Thambipillay, Jalan Berhala atau Jalan Padang Belia (yang terletak di kawasan itu)," katanya kepada Malaysiakini.

Untuk rekod, Jalan Tun Sambanthan sebelumnya dikenali sebagai Jalan Brickfields sebelum ditukar pada 1982.

Tun VT Sambanthan

Menurut laporan Free Malaysia Today semalam, Mujahid berkata nama Jalan Harmoni itu sebagai simbolik kepada perpaduan masyarakat pelbagai agama.

“Saya sangat mengharapkan nama Jalan Harmoni dapat diberikan di kawasan ini, seperti di Pulau Pinang di mana ada satu jalan, lebih kurang 1 kilometer, sama macam di kawasan ini ada gereja, kuil, tokong dan masjid,” katanya seperti dipetik.

Mujahid juga berkata akan bertemu dengan Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad untuk membincangkan perkara itu.

Ketika menjadi timbalan menteri wilayah persekutuan dan kesejahteraan bandar, Saravanan pada 2010 memainkan peranan dalam projek "Little India", iaitu projek menaik taraf dan memperindahkan kawasan tersebut.

Lihat Komen
ADS