Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN | Rakyat kian terbeban dengan peningkatan kos sara hidup akibat dasar-dasar ekonomi yang lemah oleh kerajaan Pakatan Harapan yang membawa aspirasi Malaysia Baru. 

Dewan Pemuda Ikatan Malaysia melihat isu penurunan beberapa harga komoditi bakal menjadi katalis atau punca kepada kegawatan ekonomi Malaysia Baru yang memberikan impak teruk kepada rakyat marhaen, terutama golongan pekebun kecil, peneroka dan petani.

Seawal tahun 2019, rakyat Malaysia dihadiahkan dengan pelbagai jenis kenaikan harga barang keperluan dan barang asas, termasuklah tarif elektrik, air, makanan, minuman dan yuran taska. Ini membuktikan kegagalan sistem cukai lama yang diperkenalkan kembali oleh kerajaan Pakatan Harapan – cukai jualan dan perkhidmatan (SST). Sistem cukai SST ini dilihat gagal menurunkan harga barang keperluan. Mungkin juga disebabkan oleh kenyataan menteri kewangan yang hentam sahaja senarai barangan yang mana dikenakan SST atau dikecualikan SST.

Kegawatan ekonomi ini bakal menjadi lebih parah apabila beberapa komoditi hasil negara yang menjadi sumber export mengalami penurunan harga yang teruk sejak PRU14. Dewan Pemuda Ikatan sangat prihatin dengan keadaan harga minyak kelapa sawit yang semakin merudum setiap bulan. Berdasarkan fakta semasa, harga minyak kelapa sawit pada akhir bulan Mac 2018 adalah AS$706.19/tan metrik (bersamaan RM 2,966.00/tan metrik). 

Jika dibandingkan harga komoditi minyak sawit pada bulan April 2019, harganya adalah AS$588.45/mt (RM2471.49/tan metrik). Ini menunjukkan penurunan sebanyak hampir 17 peratus harga minyak sawit secara keseluruhan berbanding setahun yang lalu.

Golongan yang paling terkesan disebabkan kejatuhan teruk harga minyak kelapa sawit ini adalah golongan petani dan pekebun kecil. Sehingga ke hari ini, masih tiada pelan yang jelas dikongsi oleh Menteri Industri Utama, Teresa Kok untuk memulihkan keadaan harga minyak kelapa sawit yang jatuh merudum. 

Seperti yang kita semua sedia maklum, apa yang dikongsi oleh menteri adalah menubuhkan kelab kelapa sawit dan menjadikan pelajar sekolah dan universiti sebagai duta minyak kelapa sawit. Idea beliau adalah cetusan idea yang kreatif dan memberikan pengetahuan kepada anak-anak muda, namun Pemuda Ikatan berpandangan bahawa idea tersebut tidak akan menaikkan harga minyak kelapa sawit.

Pada masa yang sama, Belanjawan 2019 menyaksikan banyak subsidi kepada petani dan pekebun kecil dipotong sehingga 75 peratus, malah ada subsidi yang turut dihapuskan. Keadaan petani dan pekebun kecil kita ibarat jatuh ditimpa tangga. 

Kerajaan Pakatan Harapan juga setakat ini tidak memberikan keputusan muktamad berhubung pemberian ‘duit raya’ kepada 112,635 peneroka Felda di seluruh negara. Seperti biasa, dialog dan lirik sama dimainkan, iaitu keadaan kewangan negara yang dibebani pelbagai hutang.

Jika dahulu, ketika era BN, duit raya mampu diberikan kepada peneroka Felda di saat belanjawan yang optimum, kenapa kini duit raya tidak mampu diberikan walaupun belanjawan Pakatan Harapan merupakan belanjawan terbesar dalam sejarah negara. Ini ditambah dengan belanjawan tambahan yang diumumkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng. 

Pemuda Ikatan berpendapat bahawa belanjawan terbesar ini tidak dinikmati rakyat marhaen, malah tidak mampu menurunkan hutang negara. Persoalannya, ke manakah perginya peruntukan-peruntukan tersebut? Golongan peneroka juga yang terbeban.

Harga getah dan nilai ringgit

Komoditi kedua yang mengalami penurunan harga yang teruk adalah getah. Penurunan harga getah juga dilihat sejajar dengan penurunan harga minyak kelapa sawit. Jelas sekali, harga getah sebelum PRU14 jauh lebih tinggi daripada harga getah pada hari ini. 

Golongan yang paling terkesan adalah pekebun kecil. Seharusnya menteri memainkan peranan yang sewajarnya untuk menjadikan Malaysia sebagai penentu harga getah dunia. Getah keluaran negara kita menjadi rebutan seluruh dunia kerana kualitinya. Malaysia sepatutnya mampu bangkit dan menjuarai isu harga komoditi getah dan minyak kelapa sawit.

Penurunan harga berikutnya adalah ringgit itu sendiri. Penurunan nilai ringgit yang makin teruk menjadi pencetus kepada krisis kegawatan ekonomi di Malaysia. Berdasarkan kajian Pemuda Ikatan, nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) sebelum PRU14 pada bulan April 2018 adalah bersamaan RM3.87. Namun begitu nilai ringgit makin jatuh merudum setiap bulan. Hari ini pada bulan Mei 2019, nilai ringgit berbanding AS$1 adalah sekitar RM4.20, penyusutan hampir 10 peratus.

Seorang pekebun getah di Kelantan, gambar hiasan

Ini menunjukkan kegagalan kerajaan Pakatan Harapan dalam mengukuhkan nilai matawang negara, seterusnya melemahkan ekonomi Malaysia. Jika dinilai bersama matawang asing negara jiran, nilai ringgit lebih lemah dibandingkan baht Thailand dan rupiah Indonesia. 

Faktor ekonomi global bukanlah penyebab matawang ringgit menjadi lemah, tetapi faktor dasar ekonomi negara kita sendiri yang menjadi penyebabnya. Dasar-dasar ekonomi Pakatan Harapan yang lemah menyebabkan kegawatan ekonomi Malaysia.

Penyusutan nilai ringgit sebenarnya memberi impak besar kepada keseluruhan sistem ekonomi Malaysia. Nilai ringgit yang lemah menyebabkan pertambahan hutang semasa negara yang dipinjam daripada negara luar yang mengguna pakai benchmarking nilai mata wang dolar AS atau nilai mata wang negara lain yang lebih kukuh. 

Nilai ringgit yang lemah juga menyebabkan pelabur tidak yakin dengan pelaburan di negara ini, seterusnya menyaksikan berbondong-bondong pelabur lari dari Malaysia. Keadaan ini jelas dilihat daripada statistik pelaburan luar dalam negara jika dibandingkan sebelum PRU-14 dan sekarang ini.

Jelas menunjukkan bahawa tahun 2019 merupakan menjadi tahun yang mencabar kepada seluruh rakyat Malaysia dek dasar-dasar ekonomi kerajaan PH yang lemah terhadap isu harga komoditi dan penurunan nilai ringgit. 

Seharusnya Malaysia memainkan peranan proaktif kerana minyak kelapa sawit dan getah merupakan hasil utama ekonomi pertanian negara. Pemuda Ikatan menggesa kementerian dan menteri bertanggungjawab untuk menjawab persoalan-persoalan yang kami suarakan mewakili rakyat marhaen yang makin dihimpit kegawatan ekonomi.

Sebagai penutup tinta kali ini, Pemuda Ikatan menyeru rakyat terus ingat dan jangan lupa susah payah yang kita terpaksa tempuhi ini sehingga PRU-5. Pada waktu itu, rakyat boleh menghukum kealpaan mereka. Pemuda Ikatan sentiasa cakna akan hal-hal penindasan yang berlaku kepada rakyat Malaysia. Bertabahlah rakyat sekalian. Salurkan kegusaran anda kepada kami kerana kami mendengar denyut nadi kalian.

Demi Bangsa Malaysia!


SHAHIR ADNAN ialah ketua Pemuda Ikatan merangkap timbalan ketua Pemuda Gagasan Sejahtera.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS