Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Hari ke-20: 'Isu Najib minta percepat berbeza dengan pinjaman SRC dikurangkan'

LANGSUNG | Perbicaraan terhadap bekas perdana menteri Najib Razak dalam kes melibatkan dakwaan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd memasuki hari ke-20 di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini.

Malaysiakini membawakan laporan secara langsung perbicaraan kes ini:


4pm: Terima kasih kerana mengikuti laporan langsung Malaysiakini.

Laporan oleh Hariz Mohd dan Hidir Reduan. Gambar oleh Azneal Ishak, manakala kemas kini media sosial oleh Ewe Ling Yenn.

Jika anda suka laporan kami, sokong media bebas dengan menyertai program langganan kami pada serendah RM0.55 sehari. Maklumat lanjut di sini.


3.45pm: Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menangguhkan perbicaraan  sehingga 10 Jun ini.

Perbicaraan dijangka bermula pada pukul 9 pagi pada tarikh berkenaan dengan menyambung pemeriksaan balas terhadap saksi pendakwaan ke-38, Azian Mohd Noh, yang merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP).

Peguam, Harvinderjit Singh memberitahu mahkamah bahawa beliau memerlukan kira-kira sejam lagi untuk menyoal saksi.


3.05pm: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif KWAP, Azian Mohd Noh menjelaskan dua perkara berbeza antara - SRC International mengurangkan jumlah pinjaman yang dipohon, dan bekas perdana menteri Najib Razak didakwa meminta KWAP mempercepat proses kelulusan pinjaman.

Beliau memberitahu perkara itu kepada peguam Najib, Harvinderjit Singh semasa pemeriksaan balas.

Harvunderjit bertanya kepada saksi berkenaan sama ada terdapat sebarang kaitan antara Najib yang didakwa meminta KWAP mempercepatkan pinjaman pada tahun 2011 dan pinjaman pertama yang akhirnya diluluskan berjumlah RM2 bilion.

SRC International pada mulanya mahu meminjam RM3.95 bilion daripada KWAP.

Menurut keterangan Azian, Najib memberitahu pengerusi KWAP, Wan Abdul Aziz Wan Abdullah untuk mempercepat proses kelulusan pinjaman, dan pinjaman RM2 bilion adalah mencukupi.

Wan Abdul Aziz telah menyampaikan apa yang dikatakan Najib itu kepada Azian, yang kemudian memaklumkan mesyuarat panel pelaburan KWAP mengenai perkembangan itu pada 19 Julai 2011.

Harvinderjit: Permintaan untuk RM2 bilion ini adalah agak 'bebas' daripada apa yang Pengerusi KWAP beritahu kamu pada 19 Julai 2011?

Azian: Ia adalah dua perkara yang berbeza.

Harvinderjit: SRC International pada mulanya memohon RM3.95 bilion, maka permintaan itu telah dikurangkan kepada RM2 bilion?

Azian: Saya tidak boleh ingat.


2.20pm: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif KWAP, Azian Mohd Noh berkata nota bertulis bekas Perdana Menteri Najib Razak atas permohonan pinjaman SRC International sebanyak RM3.95 bilion pada tahun 2011, yang menyatakan bersetuju KWAP melabur dalam SRC International, tidak boleh disamakan sebagai satu arahan kepada KWAP untuk berbuat demikian.

Beliau memberitahu perkara itu kepada peguam Najib Harvinderjit Singh semasa pemeriksaan balas.

Azian: Cara yang saya lihat, Menteri Kewangan bersetuju KWAP melabur RM3.95 bilion dalam SRC International seperti surat (permohonan pinjaman oleh SRC International).

Harvinderjit: Adakah ini bermakna beliau (Najib) mengarahkan KWAP untuk memberi pinjaman?

Azian: Ia bermaksud dia bersetuju.

Harvinderjit kemudian bertanya Azian jika panel pelaburan KWAP mempunyai kuasa untuk meluluskan pinjaman tanpa terikat oleh Pejabat Perdana Menteri atau perdana menteri.

Dia menjawab, "Itulah yang disebutkan dalam Akta".

Akta Kumpulan Wang Persaraan 2007 mengawal fungsi dan kuasa KWAP.

Harvinderjit: Arahan kamu agar Norhisyam (kakitangan di Jabatan Pendapatan Tetap KWAP) agar tidak meluluskannya tetapi menyerahkan kepada budi bicara beliau?

Azian: Ya.

Harvinderjit: Tidak pada bila-bila masa kamu, Norhisyam, atau jabatan pendapatan tetap terpaksa meluluskannya, kamu tidak menganggapnya sebagai arahan?

Azian: Saya tidak menganggapnya sebagai arahan.

Keterangan sebelum ini mendedahkan bahawa surat permohonan dua halaman SRC International untuk pinjaman RM3.95 bilion daripada KWAP, mempunyai anotasi (nota catatan) Najib yang bersetuju dengan permohonan itu.

Surat permohonan itu dikemukakan kepada KWAP pada tahun 2011 ketika Azian merupakan Ketua Pegawai Eksekutif tabung berkenaan.


1.51pm: Prosiding perbicaraan bersambung semula dengan peguam Harvinderjit Singh menyoal balas bekas CEO KWAP, Azian Mohd Noh.


1pm: Mahkamah berhenti rehat selama 45 minit


11.57am: Perbicaraan bersambung.


11.15am: Mahkamah berhenti rehat selama 15 minit.


11am: Mahkamah Tinggi menyaksikan bekas Ketua Pegawai Eksekutif KWAP, Azian Mohd Noh enggan menjawab beberapa soalan daripada peguam bela, Mohd Yusof Zainal Abiden.

Ini berlaku apabila Yusof bertanya prosedur KWAP dalam meluluskan permohonan pinjaman oleh SRC International pada tahun 2011 dan 2012 berjumlah RM4 bilion.

Di antara soalan-soalan yang enggan dijawab beliau adalah sama ada biasa bagi KWAP untuk meluluskan permohonan pinjaman berdasarkan jaminan kerajaan sebelum mereka mendapatkan surat jaminan itu sendiri.

"Saya tidak boleh komen tentang tu. Saya tidak boleh komen kerana saya tidak ada pengalaman dalam perkara itu," katanya.

Terdahulu, Azian ketika memberi keterangan semasa sesi pemeriksaan balas oleh Yusof berkata pertimbangan utama KWAP dalam meluluskan pinjaman SRC International adalah berdasarkan keupayaannya untuk membayar balik.

Jaminan dari kerajaan, katanya hanya memberikan keselesaan kepada KWAP dalam meluluskan permohonan itu.

"Jaminan ini menguatkan justifikasi pinjaman, kerana jika dijamin, risiko KWAP adalah sifar," katanya.


10.15am: Hakim Mahkamah Tinggi,  Mohd Nazlan Mohd Ghazali bertanya terus kepada bekas ketua pegawai eksekutif KWAP, Azian Mohd Noh berkenaan urutan peristiwa antara Perenggan 23 dan 24 dalam keterangan saksi ke-38 itu.

Nazlan: Menurut perenggan 23, saksi yang merupakan ketua pegawai eksekutif KWAP telah pergi bersama pengerusi KWAP untuk bertemu Perdana Menteri (Najib Razak) untuk memberikan taklimat mengenai keputusan (awal) panel pelaburan KWAP untuk hanya membenarkan RM1 bilion pinjaman (untuk SRC International).

Tetapi pada ayat seterusnya (24) tiba-tiba ia kata Amirul (saksi sebelum ini yang bersama dengan KWAP) menyediakan kertas (pelaburan) untuk RM2 bilion (pinjaman oleh KWAP untuk SRC International). Ia tidak mengikut urutan.

Keseluruhan keterangan saksi kamu adalah kronologi, kemudian tiba-tiba melompat dari RM1 bilion kepada RM2 bilion.

Azian: Saya tidak ingat urutan peristiwa (secara spesifik). Tetapi saya ingat mesyuarat yang panel pelaburan KWAP berikutnya di mana pengerusi (KWAP) menghubungi saya untuk memberitahu ahli-ahli panel bahawa Perdana Menteri telah berhubung dengannya agar KWAP mempercepatkan pinjaman dan RM2 bilion adalah mencukupi.

Nazlan: Ini disebut di mana-mana (dalam kenyataan saksi). Dari segi kronologi?

Ishak: Ada pada perenggan 30 (yang menyebut tentang Azian memaklumkan panel pelaburan KWAP mengenai Najib mahu mempercepatkan pinjaman).

Nazlan: Okay.


10am - Peguam Najib Razak, Harvinderjit Singh membantah soalan diajukan oleh DPP, Ishak Mohd Yusoff kepada bekas CEO KWAP, Azian Mohd Noh.

Ishak bertanya Azian sama ada beliau pernah melihat keadaan di mana Kementerian Kewangan mengeluarkan jaminan kerajaan untuk pinjaman besar.

Selepas Azian memberikan jawapan negatif, DPP kemudian bertanya apakah mengejutkan untuk melihat perkara ini berlaku kepada dana awam, dalam kes melibatkan pinjaman KWAP kepada SRC International.

Harvinderjit kemudian membantah dengan memberitahu Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali bahawa soalan Ishak adalah "terlalu longgar dengan kata-kata".

Ishak: Kementerian Kewangan berharap KWAP akan mengeluarkan pinjaman (RM2 bilion kepada SRC International) terlebih dahulu dan kemudian kementerian akan mengeluarkan jaminan 10 hari kerja selepas itu (selepas pinjaman itu dikeluarkan). Pernahkah kamu melihat ini sebelum ini semasa kamu menjadi ketua pegawai eksekutif KWAP?

Azian: Tidak dalam senario yang sama, ia tidak pernah berlaku sebelum ini.

Ishak: Ini adalah dana awam, adakah ia mengejutkan untuk melihat ini berlaku?

Harvinderjit: Saya bantah. Di manakah bukti untuk mengatakan ini (pinjaman RM2 bilion) adalah dana awam? Ini adalah pinjaman. Sahabat saya (DPP) tidak boleh 'terlalu longgar' dengan kata-kata. (Dia) mesti tunjukkan bukti terlebih dahulu walaupun dana awam.


9.30am: Pengarah Urusan Ihsan Perdana, Shamsul Anwar Sulaiman memberi keterangan bahawa Najib Razak kecewa apabila mengetahui RM42 juta dipindahkan dari akaun Ihsan Perdana ke akaun AmIslamic milik bekas Perdana Menteri itu.

Dia memberitahu peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah semasa pemeriksaan balas hari ini.

Ihsan Perdana mengendalikan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bagi bekas anak syarikat 1MDB, SRC International.

Shamsul berkata beliau melihat reaksi pada muka Najib ketika berjumpanya di kediamannya di Langgak Duta, berikutan penahanan Shamsul oleh SPRM selama beberapa hari pada 2015.

Shafee: Apabila kamu pergi berjumpa Najib dan bercerita (mengenai tahanan reman dan soal siasat oleh SPRM), apakah reaksi Najib?

Shamsul: Dia terkejut mendapati seseorang memasukkan wang ke akaunnya. Dia tidak tahu siapa yang letakkan wang itu. Kenapa ia dilakukan melalui syarikat saya (Ihsan Perdana).

Dia sangat kecewa, dan saya mohon maaf kepadanya (kerana Ihsan Perdana digunakan untuk memindahkan wang ke akaun Najib).

Syarikat terakhir yang memindahkan wang itu adalah syarikat saya. Kalaulah hanya saya tahu sumber dana itu.

Shafee: Kamu beri keterangan di di mahkamah bahawa kamu hanya mengikut arahan (memindahkan RM42 juta ke dua akaun Najib)?

Shamsul: Tidak (dengan niat tidak jujur). Pemikiran saya jelas. Kesemua wang ini (yang melalui Ihsan Perdana dan akaun lain) adalah untuk CSR. Saya percaya ia adalah untuk tujuan yang baik.

Shafee: Apakah reaksi Najib nampak asli?

Shamsul: Dia benar-benar terkejut.

Semasa pemeriksaan semula oleh DPP Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi, Shamsul mengakui walaupun terkejut, Najib tidak memintanya membuat laporan dengan pihak berkuasa.

Saifuddin: Adakah dia (Najib) meminta kamu buat laporan dengan polis atau SPRM?

Shamsul: Tidak.

Terdahulu, Shamsul memberi keterangan bahawa semasa tahana reman itu, beliau mendapati pegawai SPRM menyoal beliau atas dakwaan berkaitan dengan pemindahan Ihsan Perdana.


9.20am: Perbicaraan bermula hari ini dengan barisan peguam diketuai Muhammad Shafee Abdullah meneruskan pemeriksaan balas terhadap saksi ke-37 pendakwaan, Dr Shamsul Anwar Sulaiman.

Menjawab soalan daripada peguam, Shamsul, yang merupakan pengarah urusan syarikat CSR, Ihsan Perdana Sdn Bhd, memberitahu mahkamah mengenai penahanan beliau oleh SPRM pada tahun 2015.

Shamsul berkata SPRM mahukan beliau mengakui beliau tahu RM42 juta dipindahkan daripada akaun Ihsan Perdana ke akaun bekas Perdana Menteri Najib Razak.

Menurut Shamsul, SPRM telah mengingatkan beliau bahawa beliau adalah prospek yang didakwa bersubahat atas kesalahan pecah amanah.

Shafee: Mereka sentiasa ingatkan kamu bahawa kamu adalah prospek yang didakwa?

Shamsul: Ya

Shafee: Adakah kamu bimbang?

Shamsul: Tetapi saya menafikan. Bahawa saya tidak tahu siapa penerimanya. Jadi saya beritahu mereka yang kamu mahukan kebenaran atau kamu mahu saya berbohong.

Jadi saya beritahu mereka yang benar, yang saya tidak tahu. (Dan) wang itu adalah untuk CSR (tanggungjawab sosial korporat).

Shafee: Apabila kamu beritahu mereka mahukan kebenaran atau cerita bohong, mengapa kamu mengatakan itu. Adakah mereka mencadangkan kamu mengatakan sesuatu yang berlainan?

Shamsul: Mereka mahu saya untuk mengatakan sesuatu yang lain, tapi saya tidak berganjak.

Shafee: Apa yang mereka mahu kamu untuk katakan?

Shamsul: Mereka mengatakan saya tahu siapa yang memiliki akaun peribadi itu. Itu perkara yang paling penting. Tetapi saya tidak tahu

Shamsul juga bersetuju kepada soalan Shafee bahawa SPRM mahu beliau mengaitkan orang lain dalam kes itu.

Katanya, beliau kemudian tahu bahawa ia adalah Najib.

Shafee: Adakah terdapat sebarang soalan yang mereka mahu kamu untuk membabitkan orang lain?

Shamsul: Ya, Najib, saya tahu selepas saya ditahan reman. Kemudian selepas itu dari media saya tahu ia adalah Najib.


9.10am: Memakai sut kelabu, bekas perdana menteri, Najib Razak memasuki kandang tertuduh apabila prosiding bermula.

Kelihatan dalam kandang saksi ialah saksi ke-37 yang juga Pengarah Urusan Ihsan Perdana, Shamsul Anwar Sulaiman, yang akan menyambung keterangan dalam pemeriksaan balas oleh pasukan peguam Najib.

Difahamkan pemeriksaan utama terhadap CEO KWAP dan saksi ke-38, Azian Mohd Noh akan disambung semula selepas Shamsul selesai memberi keterangan.


Bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), Azian Mohd Noh akan menyambung keterangan pada hari ke-20 perbicaraan melibatkan bekas perdana menteri Najib Razak hari ini.

Saksi ke-38 itu dijangka memberikan bukti lisan berhubung peranannya dalam penyaluran dana daripada pinjaman sebesar RM4 bilion kepada anak syarikat 1MDB, SRC International.

Beliau akan memberi keterangan semasa pemeriksaan utama oleh pihak pendakwaan di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan bermula kira-kira jam 9 pagi ini.

Semalam, Azian memberitahu mahkamah beliau diserahkan permohonan pinjaman SRC International oleh pegawai khas Najib, Allahyarham Azlin Alias di sebuah hotel di KL Sentral pada Jun 2011.

Saksi itu menceritakan beliau merasakan surat tersebut tidak memenuhi syarat asas untuk permohonan pinjaman daripada KWAP walaupun surat itu ditujukan kepada Najib selaku perdana Menteri.

Beliau berkata Pengerusi KWAP Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah mengajaknya ke Pejabat Perdana Menteri pada Jun 2011 untuk memaklumkan kepada Najib bahawa keputusan awal panel pelaburan KWAP hanya meluluskan pinjaman RM1 bilion daripada permohonan SRC sebanyak RM3.95 bilion.

Azian berkata, panel pelaburan KWAP kemudian sebulat suara memutuskan untuk meluluskan pinjaman RM2 bilion berikutan Najib mendesak untuk mempercepat permohonan pinjaman.

Beliau juga memberi keterangan bahawa Najib selaku menteri kewangan menasihatkan SRC International untuk mendapatkan pinjaman tambahan daripada KWAP kerana ia telah diberikan pinjaman awal RM2 bilion oleh dana persaraan itu pada akhir 2011.

SRC International memperoleh pinjaman RM2 bilion lagi dari KWAP pada awal 2012.

Lihat Komen
ADS