Paling Popular
Terkini

Ketika ada gerakan untuk membawa kembali Ahmad Zahid Hamidi aktif sebagai presiden Umno, salah seorang naib presiden parti itu menegaskan bekas timbalan perdana menteri itu kini "betul-betul bercuti".

Menurut Ismail Sabri Yaakob tidak ada sebarang tempoh masa ditetapkan buat presiden Umno itu bercuti selepas beliau berbuat demikian hujung tahun lalu.

Kata Ismail Sabri, buat masa ini Ahmad Zahid tidak terlibat dengan sebarang urusan parti.

Ditanya sehingga bila Ahmad Zahid akan bercuti, Ismail Sabri yang juga anggota parlimen Bera berkata terserah kepada presiden Umno itu untuk membuat keputusan.

“Dalam Perlembagaan Umno tak disebut berapa lama orang itu perlu cuti, terserah kepada dia.

“Yang penting sepanjang tempoh bercuti Zahid tak campur tangan dalam Umno, dia betul-betul bercuti," katanya dalam sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur hari ini.

Ahmad Zahid mengumumkan untuk bercuti pada 18 Dis 2018 selepas mendapat desakan daripada pelbagai pihak - termasuk pemimpin dalaman Umno - agar berbuat demikian.

Rakyat akan nilai

Alasan yang diberikan ialah, Ahmad Zahid terpalit dengan tuduhan rasuah dan salah guna kuasa.

Untuk rekod setakat ini beliau berdepan hampir 50 tuduhan rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram di mahkamah.

Ditanya apakah kesan kepada Umno jika Ahmad Zahid bercuti lama, Ismail Sabri berkata, beliau tidak boleh menjangkakan perkara berkenaan.

Namun, katanya, timbalan presiden Umno yang mengambil alih tugas Ahmad Zahid ketika ini, Mohamad Hassan, mempunyai caranya tersendiri mengemudi parti.

“Secara jelas saya tak tahu, tapi apabila dipimpin Mat Hasan beliau ada stail dia.

"Kalau orang boleh terima, alhamdulilah. Rakyat akan buat penilaian,” katanya.

Ditanya bilakah Mohamad akan mengambil kedudukan Ahmad Zahid, Ismail berkata semuanya terletak pada pemilihan Umno kelak.

“Kita ada perlembagaan, setiap tiga tahun ada pemilihan, semua boleh bertanding, kita serah kepada masing-masing (untuk tentukan). Umno terima siapa jadi pemimpin, janji ahli terima,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai dakwaan cadangan pindaan perlembagaan Umno dibuat untuk mengetepikan Ahmad Zahid dan Najib Razak, Ismail Sabri berkata, ia bersifat spekulasi.

“Sehingga kini tidak ada sesiapa tahu mengenai butiran pindaan. Ia tetap akan menjadi cadangan sehinggalah pindaan dilakukan," katanya.

Lihat Komen
ADS