Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kedai buku henti jual karya penulis doakan 'pengkhianat Melayu' dibunuh
Diterbitkan:  May 29, 2019 9:33 PM
Dikemaskini: Jun 11, 2019 3:56 AM

Sebuah kedai buku dalam talian menggugurkan penjualan dua judul yang dihasilkan seorang penulis selepas dia membuat kenyataan agar 'pengkhianat' Melayu dibunuh.

Menurut kenyataan Kedai Fixi, berkuat kuasa serta-merta syarikat itu menghentikan penjualan buku tulisan Helmi Effendy.

"Kami menyokong kebebasan bersuara tetapi bukan ancaman atau doa untuk orang dibunuh," kata syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini.

Helmi ialah pengasas syarikat penerbitan berhaluan kanan, The Patriots.

Bagaimanapun, kata Buku Fixi, di sebalik keputusan untuk menghentikan penjualan buku Helmi, tindakan sama tidak diambil ke atas judul-judul lain yang diterbitkan The Patriots.

"Kami akan terus menjual buku-buku lain The Patriots. Hal ini kerana kami tidak mahu menghukum penulis lain dalam syarikat itu," kata kenyataan tersebut.

Pada 12 Julai tahun lalu - melalui hantaran di Facebook - Helmi mengecam Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik kerana sedia mempertimbangkan pengiktirafan kepada Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang digunakan di sekolah persendirian Cina.

Katanya dia berdoa agar ada parti nasionalis Melayu lahir dalam tempoh lima atau 10 tahun akan datang.

Dalam kenyataan sama dia juga menulis harapan pemimpin dan pengundi Melayu yang "mengkhianati agama dan bangsanya" akan dibunuh.

Ungkapan "night of broken glasses" digunakan Helmi itu merujuk kepada pembunuhan beramai-ramai komuniti Yahudi di Jerman pada 1938.

"The night of the long knives" pula merujuk kepada siri pembunuhan politik oleh tentera Nazi di Jerman pada 1934 dan membawa kepada pengukuhan kuasa Adolf Hitler.

Hantaran Helmi itu dibangkitkan pengguna media sosial di Twitter sehingga akhirnya menarik perhatian Buku Fixi.

Sementara itu dalam komennya di Facebook hari ini Helmi mengecam tindakan syarikat penjual buku dalam talian itu dan mendakwa bukunya "diharamkan".

Bagaimanapun untuk rekod buku berkenaan tidak diharamkan oleh pihak berkuasa di negara ini.

"Tapi aku peduli mende. I dont give a f***. Aku anggap bahawa bila kedai Buku Fixi tarik buku dari rak diaorang, ini bermaksud someone out there, is very very afraid of me," katanya.

Dalam hantaran berlainan Helmi mendakwa dia berjaya menjual 20 naskhah bukunya hanya dalam tempoh sejam selepas mendedahkan Buku Fixi menggugurkan karyanya daripada jualan mereka.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS