Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
DBKL ambil alih semua dewan komuniti di KL selepas Aidilfitri

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengambil alih semula semua 331 dewan serba guna atau dewan orang ramai di bawah badan-badan pengurusan komuniti yang terletak di sekitar ibu negara.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, DBKL terpaksa mengambil langkah sedemikian bagi mengelak penyalahgunaan kuasa oleh pihak tertentu ke atas dewan orang ramai itu.

"Kita terpaksa lakukan (pengambil alihan dewan-dewan ini) kerana pentadbiran dahulu telah bertindak atas kepentingan politik dengan menyerahkan dewan-dewan ini kepada pihak yang tidak wajar termasuk cawangan-cawangan dan ketua-ketua bahagian.

"Jadi, kita nak perbetulkan keadaan yang sudah lama tak betul ini supaya kita dapat jadikan dewan orang ramai ini milik orang ramai dan diuruskan secara profesional serta tidak ada pilih bulu atau pilih kasih dan semua pihak nak adakan program kita benarkan," kata Khalid pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Dewan-dewan tersebut terletak di kawasan perumahan awam, perumahan rakyat, tanah DBKL, rizab DBKL, rizab selain DBKL, tanah kerajaan dan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan di sekitar ibu kota.

Menurut Khalid, ketika ini, sebanyak 157 dewan orang ramai sudahpun diserahkan kepada DBKL oleh pengurusnya manakala 46 lagi masih berdegil.

Guna orang berkuasa

“Sejak kita keluarkan arahan itu untuk ambil alih, daripada 203, 157 pengurus dewan telah setuju untuk pulang balik dewan itu kepada DBKL, dan 46 unit lagi pengurusnya enggan menyerahkan.

“Jadi, saya nak menyeru kepada 46 kumpulan yang mengurus dewan-dewan ini tanpa kebenaran rasmi daripada DBKL atau mana-mana pihak untuk memberikan kerjasama sepenuhnya dan menyerahkan balik dewan-dewan itu kepada DBKL," katanya.

Kata Khalid, pihaknya telah mengenal pasti berlaku penyalahgunaan harta awam membabitkan dewan orang ramai berkenaan apabila ada pihak yang meraih untung dengan mengutip hasil atu sewa daripada penggunaan dewan tersebut.

"Alasan untuk mereka tidak menyerahkan ini banyaklah, salah satunya kerana mereka ini didakwa mendapat hasil sewaan daripada dewan-dewan ini dan kita sedia maklum mereka ini menggunakan kuasa orang yang berkuasa (pentadbiran BN lalu).

"Di mana, dia menguruskan dewan itu atas kuasa orang yang berkuasa ketika itu. Jadi, nak kata halal atau haram itu, terpulanglah," katanya.

Katanya, semua itu berlaku ketika pentadbiran kerajaan BN terdahulu dan ia berkemungkinan terjadi sejak 30 tahun lalu.

"Kita tak kira lagi (berapa jumlah kerugian), sepatutnya kita tak sewakan tetapi sebaliknya pula berlaku apabila mereka-mereka ini menyewakan dewan terbabit kepada orang ramai.

"Jadi, pendapatan DBKL selama ini memang terjejaslah. Tapi kita tak nilailah. Cuma katakanlah kita sewakan RM300 sebulan pun untuk setahun dah RM3,600. Kemudian darab dengan 331 dewan tadi dengan sebulan dah RM99,300.

"Itu belum kita kira berapa tahun mereka uruskan dan paling lama kita boleh katalah 20-30 tahun," katanya.

Ajak berbincang tak datang

Oleh itu, tegas Khalid pihaknya akan sekali lagi memberi amaran untuk mereka yang terlibat segera bertindak mengikut arahan atau berdepan tindakan undang-undang.

"Selepas hari Raya ini kita akan berikan satu lagi notis dan mungkin yang terakhir, kita juga berharap tidak ada tindakan keras yang kita perlu ambil ketika proses ambil alih dewan-dewan terlibat, kerana ini untuk kepentingan awam.

"Kalau tidak kita terpaksa gunakan hak kita mengikut undang-undang, kita kena ambil tindakan mahkamah untuk dapatkan perintah mahkamah serta terpaksa ambil balik dewan terbabit. Ini bukan PH yang nak ambil balik dewan ini tetapi kerajaan," katanya.

Sementara itu mengulas tindakan sekumpulan pengusaha kendera saji mogok di Dataran Merdeka malam tadi, Khalid menegaskan isu terbabit telah diselesaikan oleh DBKL.

"Isu itu selesai semalam, saya pun dah beritahu mereka yang terlibat dan berbincang dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur," katanya.

Khalid berkata ketika kerajaan merangka rancangan berkaitan tapak kendera saji itu pihak yang berkenaan tidak hadir berbincang.

Bagaimanapun katanya mereka menyatakan keinginan untuk menyertai pelan tersebut pada saat-saat akhir.

"Jadi, susahlah untuk kita bawa mereka masuk ke Dataran Merdeka sebab sudah ada 40 peniaga yang meminta untuk berniaga di tapak tersebut, dan mereka ini mengikut giliran," katanya.

Justeru Khalid berkata DBKL tidak seharusnya dipersalahkan dalam perkara tersebut.

"Jadi, benda ini tak boleh salahkah DBKL, sebab mereka datang pada saat akhir.

"Semasa kita ajak berbincang dulu mereka yang tak nak," katanya.

Lihat Komen
ADS